.
Promosi
.

Malam Nur Kasih

Cita Pemuda

Sahabat Dan Kasih Sayang


Sahabat Dan Kasih Sayang

Daripada Abu Hurairah (r.a) bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :
"Pada Hari kiamat Allah akan berfirman, 'Dimanakah orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Hari ini Aku akan melindungi mereka sebab hari ini tiada perlindungan selain daripada perlindungan-Ku."


(Riwayat Muslim)

Dalam Hadis Qudsi daripada Ubadah bin Samit, Allah berfirman :

"Kecintaan-Ku hanya untuk orang-orang yang saling mencintai, saling menghubungkan silaturahim dan saling berkorban kerana-Ku. Orang-orang yang saling mencintai kerana-Ku berada di atas mimbar-mimbar cahaya. Para Nabi dan Syuhada merasa cemburu terhadap mereka."
(Riwayat Ibn Hibban). 

Kita sudah mengetahui keutamaan dan kedudukan kasih sayang di sisi Allah, ukuran dan pengaruhnya di dunia dan akhirat kelak. Kalau begitu apakah hak dan kewajipannya?Imam Al-Ghazali telah membahaskan hak-hak kasih sayang dalam kitab Ihya Ulumuddin. Selama ini umat Islam mengabaikannya. Kita merasa malu, hati kita merasa pilu melihat remehnya kedudukan kasih sayang ini dalam jiwa umat ini. Banyak terjadi kesalahan di antara sesama umat Islam yang bersaudara. Seharusnya orang mukmin menyerahkan kepimpinan kepada saudaranya sesama muslim, dan berusaha sekuat tenaga untuk membahagiakan dan sekaligus merendahkan hati terhadap mereka. 

Apabila merendahkan hati terhadap mereka, jangan pula menyebabkan saudaramu itu takabur kerana merendahkan hati terhadap sesama muslim kerana Allah adalah salah satu sifat yang tidak dapat dipisahkan daripada orang-orang mukmin. Ia merupakan sifat yang tetap wujud pada pengikut-pengikut Nabi SW sampai hari kiamat. Allah swt berfirman :

"bersikap lemah-lembut terhadap orang-orang mukmin dan bersikap keras terhadap orang-orang kafir"
( Al-Maidah : 54) 

Sebenarnya sikap lemah-lembut terhadap saudara seagama bukanlah kerana keturunan atau kehebatannya tetapi kerana iman yang memenuhi hatinya dan akidah yang ada dalam jiwanya. Orang bijak mengatakan :

"Kami menjadi Raja disebabkan akidah ini (tetapi) kami menjadi hamba kepadanya." 
Sesiapa yang mencintai akidah, tentu ia mencintai penganutnya dan semua yang berhubungan dengan mereka. Sebuah syair mengatakan : "Aku melewati rumah si Laila, ku cium dinding rumah itu. Sebenarnya aku bukan mencintai rumahnya, tetapi mencintai penghuni rumah itu." Oleh itu, berusahalah menjaga hak dan kewajipan kasih sayang, semoga Allah mencucuri rahmat-Nya keatasmu, mengampuni dosa-dosamu dan menolongmu terhadap dirimu.
Berikut ini dihuraikan dengan ringkas hak-hak kasih sayang berpandukan kitab Ihya 'Ulumiddin. 

Sesungguhnya para salafus-soleh telah menunjukkan contoh-contoh yang nyata yang dapat dilihat oleh manusia dengan mata mereka dan menyentuh dengan tangan mereka. Kemudian jejak mereka diikuti oleh da'ie-da'ie Islam dalam menahan bala seksaan yang mereka alami. Betapa banyak saudara-saudara kita yang menebus saudaranya dengan jiwa. Betapa banyak pula yang meninggalkan keluarga dan rumah mereka, menemui saudara-saudara mereka untuk membantu keperluan mereka, sedang hati mereka sentiasa membaca firman Allah:

"kami tidak menghendaki balasan darimu, tidak pula ucapan terima kasih. Sesungguhnya kami takut kepada azab Tuhan kami pada hari semua orang bermuka masam dan merasa kesulitan."
(Al-Insan : 9-10) 

Kasih sayang seperti ini sungguh unggul dan agung, sehingga orang-orang yang suka berbuat dosa tidak sanggup mencapainya. Kasih sayang seperti ini hanya terdapat pada jiwa orang-orang mukmin. Hakikat ini tidak dapat dipinda oleh orang-orang keras kepala yang hatinya tidak disinari oleh nur Islam. Seperti halnya orang buta yang tidak dapat melihat cahaya matahari, tidak bererti matahari sudah terbenam. 

Sesiapa yang mempunyai hati, dengarlah kebenaran ini. Sesiapa yang tidak mempunyai hati, pertama-tama carilah hatinya yang telah hilang itu, kemudian perhatikanlah orang-orang mukmin. Ia pasti akan terkejut melihat apa yang disaksikannya dan akan lupa tentang kewujudan dirinya. Kemudian dirinya akan fana dalam erti kasihsayang yang paling unggul yang pernah dikenali oleh umat manusia. Tidak akan ada yang lebih agung daripadanya sampai akhir zaman. 

Hati, diibaratkan seperti alat pengirim dan peka penerima, sebahagiannya ada yang sangat peka, sehingga suara yang perlahan pun tidak akan terlepas dari tangkapannya. Sebahagian yang lain ada yang kurang peka sehinggakan suara yang kuat pun tidak dapat dikesannya. Jika ada orang yang tidak mampu menggambarkan hidupnya dan tidak dapat membayangkan bentuk kehidupan yang kita serukan, hendaklah mereka memperbaiki hati mereka, membersihkannya daripada segala dosa dan kesalahan sehingga mereka dapat menerima rahmat dan petunjuk daripada langit. 

Ada Tiga hak-hak kasih sayang yang akan diperjelaskan secara ringkas: 

1. Hak sahabat terhadap harta.
Ada tiga tahap dalam hak saudara terhadap harta:
i- Memenuhi keperluan saudaramu daripada kelebihan hartamu
ii- Memberikan separuh hartamu
iii- Menyerahkan seluruh hartamu untuk memenuhi keperluan mereka kerana lebih mengutamakan keperluan mereka daripada keperluan sendiri.
Tahap ketiga inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah swt :
"mereka mengutamakan (saudaranya) daripada dirinya sendiri, sekali pun mereka dalam kesusahan."
(Al-Hasyr :9) 

Ada beberapa contoh kasih sayang, dalam tahap ini : 

a) Fath al-Musaili datang ke rumah saudaranya. Kebetulan pula, saudaranya tidak ada di rumah. Ia meminta pembantu rumah saudaranya mengeluarkan sebuah peti kepunyaan tuannya. Fath mengambil benda-benda yang diperlukan dari peti saudaranya itu. Setelah tuannya kembali, pembantu ia menceritakan kejadian tersebut. Oleh kerana gembira terhadap apa yang dilakukan oleh hambanya, ia berkata, "Kalau betul kamu memberikannya, maka saya merdekakan kamu kerana Allah". 

b) Ali Bin Al-Husein berkata kepada temannya. "Bolehkah seorang menyeluk saku dan mengambil sesuatu dari kocek saudaranya tanpa izin?" Temannya menjawab, "Tidak". Kata Ali, "Kalau begitu kamu bukan bersaudara".


c) Seseorang mengatakan, "Jika kamu meminta wang daripada saudaramu, lantas ditanya untuk apa, ini bererti hak persaudaraannya telah hilang".


d) Seorang sahabat Rasulullah SAW menghadiahkan sesuatu (kepala kambing) kepada sahabatnya, kemudian dia menghadiahkannya lagi kepada sahabat yang lain. Demikianlah seterusnya hingga kembali kepada yang pertama setelah beredar kepada tujuh orang sahabat.


e) Abu Sulaiman ad-Darani berkata : "Aku menyuapkan sesuap makanan kepada seorang saudaraku, kurasakan lazatnya di dalam tekakku".


f) Masruq mempunyai hutang yang banyak. Saudaranya Khaithamah juga berhutang kepada yang lain. Masruq membayar hutang Khaithamah tanpa diketahuinya. Begitu pula Khaithamah membayar hutang Masruq tanap diketahuinya. 

2. Hak sahabat terhadap dirimu 
Tahap bantuan yang paling rendah ialah memenuhi keperluan mereka sekiranya kamu mempunyai waktu lapang dan menyelamatkan mereka daripada bahaya yang akan menimpa sekiranya ia tidak membahayakan kamu. Manakala tahap bantuan yang paling tinggi sekali ialah mengutamakan keperluan mereka dan menyelamatkan mereka daripada bahaya walaupun ianya membahayakan diri kamu sendiri. Melalui perkataan Nabi Musa (a.s), Allah berfirman :

"Berkata Musa, 'Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasik." 

a) Ibn Shabramah telah menunaikan keperluan besar salah seorang saudaranya lalu saudaranya itu datang membawa hadiah. Maka Ibn Shabramah bertanya : "Apakah ini". Saudaranya menjawab : "Ini adalah balasan jasamu." Lalu Ibn Shabramah berkata : "Ambillah hartamu ini, semoga Allah mengampunimu".
Seterusnya Ibn Shabramah berkata : "Apabila kamu meminta saudaramu memenuhi hajatmu dan dia tidak berusaha sedaya upaya untuk menunaikannya maka ambillah air sembahyang, bertakbirlah empat kali dan anggaplah dia sebagai orang yang telah mati."

b) Al-Hassan selalu mengatakan : "Saudara-saudara kami lebih kami cintai daripada isteri-isteri dan anak-anak kami. Keluarga kami memperingatkan kami tentang dunia dan saudara-saudara kami memperingatkan tentang akhirat".


3. Hak sahabat terhadap lidahmu 
Ada di antara sahabatmu yang tidak memerlukan bantuan harta, kerana Allah telah melimpahkan kurnia-Nya atau telah ada orang yang memenuhi keperluannya. Akan tetapi ia sangat memerlukan lidah dan hatimu (nasihat dan kebaikanmu).
Apa gunanya harta benda dan bantuanmu, jika disertai dengan kata-kata yang meyinggung perasaan. Apa gunanya erti harta dan nasihatmu jika tidak disertai kesetiaan dan kasih sayang serta keikhlasan. Jika kamu ingin kedudukan yang telah dijanjikan Allah bagi saudara-saudara fiLlah, peliharalah hak-hak saudaramu atas lidah dan hatimu.



Ada Empat hak saudara terhadap lidahmu
Pertama
 
Bersikap diam terhadap keaibannya, dengan syarat tidak mengabaikan amar ma'ruf dan nahi mungkar. Jangan menghina, mengumpat, berbohong, mencaci, memberi gelaran yang tidak ia sukai, menyebarkan rahsia-rahsianya, memburukkan keluarga serta kawan-kawannya dan menceritakan keaibannya yang kamu lihat. Tetapi carilah jalan untuk menutupi keaiban yang kamu dapati padanya. Lihatlah kata-kata Nabi Isa (a.s) kepada pengikutnya, "Apakah yang akan kamu lakukan apabila melihat pakaian saudaramu yang sedang tidur terbuka oleh angin?". Mereka menjawab, "Kami akan menutupnya." Kata Nabi Isa, "Malahan kamu membuka auratnya". Mereka bertanya, "SubhanaLlah, siapakah yang berbuat demikian?". Beliau menjawab, "Salah seorang daripada kamu, mendengar cerita saudaranya, kemudian dia tambah dengan lebih banyak lagi". 

Allah berfirman : "Celaka besar bagi orang-orang yang curang, orang yang apabila menerima takaran daripada orang lain mereka minta dipenuhi. Bila menakar untuk orang lain mereka kurangi".
(Al-Muthafifin :1-3)


Kedua
Bincangkan dengan sahabatmu hal-hal yang disukainya dengan syarat tidak pula mengakibatkan penipuan terhadap dirimu sendiri atau menyebabkan kamu menyimpang daripada bercakap benar. Jika kamu melihat pada dirinya kebaikan yang menakjubkanmu sebagai seorang mukmin, dorongkan ia agar terus melaksanakannya. Apabila kamu mendengar pujian terhadapnya, ingatkan kepadanya agar jangan sampai sifat sombong masuk ke dalam jiwanya. Sekiranya didapati ia cenderung untuk berbuat baik atau berhubungan dengan orang-orang terhormat, berikan penjelasan sebaik mungkin sejauh yang diketahui tentang orang itu. Sudah pasti seorang sahabat ingin kamu membantunya bila ia diserang semasa dia ada atau tidak ada. Jika kamu tidak berbuat demikian, kamu laksana orang mati bukan hidup. Termasuk dalam hal ini juga meninggalkan perdebatan yang tidak baik. Dalam hal ini Abdullah bin Hassan berpesan, "Tinggalkanlah fikiran orang-orang yang pintar mahupun serangan mengejut orang-orang yang rendah dan hina".

Ketiga 
Mendoakannya baik semasa hidup atau setelah meninggal dunia, kerana doa itu tanda kecintaan dan kekariban. Al-Imam Hasan Al-Banna telah mengumpulkan doa-doa yang dapat mempengaruhi ikatan hati dan kasih sayang. Doa itu dijadikan wirid rabithah (doa pengikat hati) yang dibaca setiap hari dengan khusyuk dan ikhlas sambil merenung maknanya baik oleh saudara yang ada di Timur mahupun di Barat, sehingga dengan doa itu kita dapat bersatu hati (seperti kata pepatah, jauh di mata dekat di hati). Peliharalah amalan doa tersebut kerana Rasulullah SAW bersabda : "Apabila seseorang mendoakan saudaranya dari jauh, malaikat akan berkata kepadanya, untukmu seperti itu pula."
(Riwayat Muslim) 

Hendaklah kita mendoakan sahabat-sahabat kita di dunia dan jika di antara mereka telah pulang ke Rahmatullah, hendaklah kita mendoakan dan memohon keampunan baginya.

Firman Allah SWT : "Mereka bergembira terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati".
(Ali-Imran :170)

Firman Allah SWT : "Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa, 'Ya Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman terlebih dahulu daripada kami dan janganlah engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang."
(Al-A'raf :151-152) 

Empat
 
Hak sahabat terhadap hatimu tersimpul di dalam dua perkataan iaitu kemaafan dan kesetiaan. Yang dimaksudkan dengan kemaafan ialah sebelum kamu mengambilnya menjadi sahabat haruslah diingat bahawa ia bukan seorang yang maksum (terpelihara daripada kesalahan) kerana ini adalah sifat para nabi. Pasti ia ada kesalahan-kesalahan kecil dan kesilapan tetapi kesalahan itu akan terserlah setelah berkawan rapat dan bergaul lama dengannya. Kemungkinan jika berjauhan kamu tidak melihat kesalahannya. Akan tetapi suatu ketika kamu pasti dapat melihat sesuatu yang tidak kamu sukai dan berdiam diri terhadap kesalahannya. 

Seorang penyair pernah berkata, "Menyendiri atau bergaullah dengan temanmu, kerana kadang kala ia membuat kesalahan dan kadang-kadang menjauhinya. Jika kamu setiap saat kamu mencela saudaramu, kamu tidak akan dapat menemui orang yang tidak dapat dicela".
Penyair lain mengatakan, "Maafkan kecacatan atau keaiban saudaramu sebagai simpanan kebaikan bagimu. Hindarkan umpatan-umpatan keji sebagai kebaikan hatimu." 
Penyair lain pula mengatakan, "Ambillah yang baik daripada saudaramu, tinggalkanlah yang mengandungi kerosakan kerana umur lebih pendek daripada pekerjaan mencela satu sama lain". 

Allah memerintahkan agar selalu memaafkan orang lain seperti yang terdapat dalam banyak ayat didalam kitab-Nya yang mulia. Di antaranya ialah : 
"Sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, pahalanya ditangan (kuasa) Allah. Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim".
(Asy-Syura : 40) 

Perhatikan pula firman Allah SWT ketika menyuruh Abu Bakar (r.a), supaya memberi kembali nafkah kepada kerabatnya yang terlibat dalam penyebaran berita bohong terhadap diri 'Aisyah :
"Janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan diantaramu bersumpah, bahawa mereka tidak akan memberi bantuan pada kaum kerabatnya, orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah. Hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(An-Nur :22) 

Dalam ayat lain disebutkan :

"Orang-orang yang bertaqwa ialah : Orang-orang yang menafkahkan hartanya pada waktu lapang dan sempit, orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik."
(Ali-'Imran : 134) 

Allah SWT telah menyifatkan orang-orang mukmin dengan firman-Nya :
"Berkasih sayang sesama m
ereka".
(Al-Fath : 29) 

Adakah dia seorang yang berkasih sayang sekiranya ia tidak memaafkan keterlanjuran saudaranya? Allah menyifatkan mereka dengan firman-Nya :
"Berlemah lembut terhadap orang-orang mukmin".

Adakah dia bersikap lemah lembut jika ia tidak memaafkan kesalahan dan sabar atas kesilapan mereka. 

Kesetiaan terhadap sahabat yang menunaikan hakmu adalah hal yang jelas jika ia memberi hakmu dengan sempurna. Akan tetapi yang kita maksudkan di sini ialah kesetiaan pada waktu sahabatmu melalaikan hak-hak itu. Hal ini telah dihuraikan ketika membicarakan kemaafan. Yang penting bagi kita sekarang ialah mengkaji sikap yang perlu diambil apabila sahabat kita melalaikan hak dan agamanya. 

Para sahabat telah menerangkan masalah ini dengan jelas.Abu Dzar berpendapat bahawa apabila anda membenci saudaramu, hendaklah atas dasar kamu mencintainya. Ini bermaksud kamu mencintainya kerana ada sifat yang menarik perhatianmu. Ketika sifat itu hilang daripada dirinya, maka kamu tidak lagi diwajibkan mencintainya. 

Abu Darda berpendapat : "Jangan tinggalkan saudaramu bila sifatnya berubah daripada biasa kerana yang bengkok pada suatu saat akan dapat diluruskan." 
Jadi Abu Dzar berpendapat supaya jangan membenci dan memutuskan hubungan dengan saudara yang begitu. Sementara Abu Darda' pula mengharapkan agar hubungan dengan saudara itu tetap berjalan seperti biasa. Ibrahim Nakha'i juga berpendapat seperti Abu Darda'. Ia berkata, "Jangan kamu putuskan hubungan dan jangan kamu tinggalkan saudaramu yang membuat kesalahan yang dilakukan pada saat itu akan ia tinggalkan keesokkan harinya".
Imam Al-Ghazali menguatkan juga pendapat Abu Darda' dengan beberapa alasan, antara lain : "Kalau kita memutuskan hubungan dengan saudara kita, dari satu segi kita telah kehilangan kesempatan untuk mengembalikannya ke jalan yang baik." 

Di segi yang lain ini bererti tidak setia kepadanya. Ini adalah kerana sehingga hari ia membuat kesalahan itu ia masih memelihara persaudaraannya dengan kita. Oleh sebab itu hendaklah kita menolongnya ketika ia berbuat kesalahan. Ketika saudara kita memerlukan bantuan kebendaan, kita wajib memberikan pertolongan kepadanya. Keperluan terhadap agama lebih penting daripada keperluan kebendaan. Oleh sebab itu diutamakan lagi memberi bantuan ketika ia memerlukan agama. 

Tidak diragukan lagi, cara yang dipilih oleh Imam Al-Ghazali mempunyai faedah dan keuntungan tetapi orang yang menempuh cara ini harus berhati-hati, sehingga saudara yang setia itu, dapat membezakan di antara mencintai saudaranya, dengan mencintai perbuatannya yang menyimpang dari jalan yang benar. Tidak ada perbezaan pendapat tentang wajibnya membenci perbuatan yang salah. 

Kita haruslah sentiasa berada dalam hubungan kasih sayang dengan saudara yang membuat kesalahan itu, dan kita harus memandang dengan penglihatan kasih sayang, bukan dengan pandangan dengki dan marah kerana saudara kita itu sedang diuji. Kalau kita biarkan dia bersama syaitan, syaitan akan menghilangkan sifat malu dan melenyapkan perasaannya. Tetapi kalau kita tetap mengadakan hubungan dengannya, bererti kita telah memberikan kesempatan baginya untuk menyelamatkan dirinya.


Wallahua'lam.

Peranan Bapa


Kefahaman Mengenai Institusi Keluarga

Sesebuah institusi keluarga merupakan unit-unit asas yang penting di dalam pembinaan struktur sesebuah masyarakat yang mantap.Institusi keluarga ini pula dikemudi oleh dua insan yang amat penting iaitu “Ibu” dan “Bapa”. Jika terdapat kecacatan pada salah seorang dari mereka dalam melaksanakan tanggungjawab mereka maka akan cacat dan terencatlah kelancaran bahtera institusi keluarga ini. Ibu dan bapa amat penting dalam pembangunan sesebuah keluarga; hubungan antara keduanya dan juga dengan anak-anak mestilah erat dan rapat.

Menurut Tengku Intan Zarina di dalam bukunya, Keibubapaan – Mengenalpasti sifat dan Cabarannya, perkataan keluarga dalam bahasa Arab disebut “usrah”. Dan dari sudut bahasa ia bermakna kuat, urat dan kejadian yang kukuh.

Keluarga juga boleh ditakrifkan sebagai sekelompok individu yang mempunyai pertalian darah,yang hidup bersama berlandaskan satu nilai/ pegangan hidup yang dikongsi dan yang terikat di antara satu sama lain dengan perasaan kasih sayang. Memandangkan keluarga adalah unit asas di dalam sesuatu masyarakat, maka jika cacat sesebuah keluarga itu, maka pincanglah juga masyarakat tersebut.

Keluarga atau rumahtangga juga merupakan unit asas di dalam sesebuah negara. Jika negara diibaratkan seperti sebuah rumah, maka rumahtangga adalah asas binaan rumah tersebut. Dalam membangun sebuah negara yang maju dan progresif , asas binaan inilah yang perlu diperkukuhkan terlebih dahulu. Jika asasnya kukuh, akan teguhlah negara yang akan dibangunkan nanti. Jika sebaliknya, negara tersebut tidak akan bertahan lama dan hanya menantikan saat runtuhnya sahaja.

Sebuah keluarga Islam sudah tentunya akan mempunyai satu pegangan hidup yang dikongsi bersama ke arah mendapat keredhaan ALlah di dunia dan akhirat. Walaubagaimanapun, seringkali diperhatikan seolah-olah pegangan hidup ini tidak dikongsi bersama dan tidak dihayati sepenuhnya sehingga anak-anak dan cucu-cicit menyimpang jauh dari wawasan orang tua mereka. 
 
Kemantapan Keluarga Dan Gejala Sosial

Banyak kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa gejala sosial yang berlaku adalah berpunca dari kerosakan dan keruntuhan institusi keluarga akibat hubungan yang retak di antara ahli keluarga. Gejala sosial seperti merokok, penyalahgunaan dadah, pengambilan minuman keras, seks bebas, dan pelbagai kegiatan jenayah yang melibatkan remaja yang semakin meningkat dan membimbangkan adalah berpunca dari lemahnya institusi keluarga dan kegagalan ibu-bapa dalam mendidik dan menyediakan model ikutan kepada anak-anak. Fenomena ini amatlah menggerunkan dan perlu ditangani segera disemua peringkat.

Sebuah keluarga du’at yang sentiasa menyantuni masyarakat untuk menyebarkan risalah Islam sudah tentunya adalah permata di dalam masyarakat. Sayang sekali permata–permata ini berselerak dengan cahaya terpancar-pancar. Seringkali permata ini pudar sinarannya, tidak menyerlah cahayanya. Ada juga yang tidak digilap langsung.

Peranan Seorang Bapa dan Suami

Manusia diciptakan dan dianugerahkan oleh Allah SWT dengan susuk kehidupan spiritual dan fizikal serta dikurniakan aqal untuk mereka berfikir. Analisis dan pertimbangan aqal mereka dengan petunjuk dari Al Quran & As Sunnah seharusnya membolehkan mereka untuk mencorak kehidupan yang diredhai Allah SWT dan akhirnya, membolehkan mereka bertemu Allah SWT kelak di dalam keredhaanNya.

Sehubungan dengan itu, Allah SWT mengingatkan kita di dalam Surah Ibrahim, ayat 52 :-
(Al Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya ; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujah-hujah yang tersebut di dalamnya) bahwa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf ”.

Maka dengan itu, para bapa dan suami juga tidak terkecuali dalam hal ini, iaitu menjadikan Al Quran sebagai peringatan dan nasihat buat diri mereka. Mereka mempunyai tanggungjawab khusus dan umum yang perlu dilaksanakan agar tuntutan sebagai seorang bapa atau suami dapat dilaksanakan dengan baik untuk membangunkan sel-sel keluarga yang sejahtera seperti dilakarkan di awal penulisan ini.

Di dalam bingkisan ini , saya ingin mengajak para bapa & suami untuk merenung kembali PERANAN mereka sebagai ketua dalam mengemudi institusi keluarga ke arah melahirkan dan membangunkan unit keluarga yang sejahtera. Unit-unit keluarga yang sejahtera pula akan melahirkan generasi yang berkualiti, yakni yang soleh wa musleh
 
1. Berperanan seperti Chief Executive Officer (CEO).

Bapa dan suami boleh diumpamakan sebagai seorang “CEO” dalam sebuah syarikat. Sebagaimana seorang CEO beliau mestilah mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi dan dapat melaksanakan tugas dengan berkesan samada melibatkan kemaslahatan kakitangan, soal kewangan dan urusan perniagaan yang ditangani oleh syarikat. Sebagaimana seorang CEO juga yang sentiasa berusaha menggerakkan inisiatif baru bagi memastikan syarikat terus progresif, seorang bapa dan suami harus memikirkan langkah-langkah untuk menyediakan keluarga yang mampu untuk berdepan dengan pelbagai cabaran terutama dalam era globalisasi yang menghakis nilai-nilai murni kehidupan pada hari ini. Kesimpulannya seorang bapa dan suami perlu melengkapkan dirinya dengan pelbagai persiapan, ilmu dan kemahiran jika ia ingin melaksanakan tugas beliau dengan jaya dan berkesan.

Menyedari betapa pentingnya peranan yang perlu dimainkan oleh para bapa dan suami dalam pembentukan institusi keluarga, maka saya ingin mengambil kesempatan di dalam penulisan ini untuk mengenengahkan akan keadilan dan hak yang perlu diberikan kepada para bapa dan suami tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mereka sudah begitu lama ditahan tanpa bicara. Mereka ini telah terpisah dari keluarga mereka untuk sekian lama dan dinafikan dari menyempurnakan tanggungjawab sebagai suami dan bapa terhadap keluarga mereka. Isteri dan anak-anak yang telah terpisah sekian lama tanpa kasih sayang dan belaian sempurna seorang bapa atau suami sudah tentunya akan mengundang kepincangan kepada institusi keluarga mereka. Kepincangan ini pula akan menambahkan lagi statistik gejala sosial masyarakat di Malaysia secara umumnya.

Walaupun baru-baru ini 17 orang telah dibebaskan, namun bagaimana pula dengan yang lain? Bebaskan mereka segera atau hadapkan mereka ke muka pengadilan untuk mendapat pembelaan/ pertuduhan yang sewajarnya. Penyiksaan emosi dan mental para isteri-isteri dan anak-anak yang tidak berdosa kerana terpisah dari bapa atau suami mereka tanpa sebab-sebab yang tidak difahami sendiri oleh ahli keluarga tidak sepatutnya dilakukan.

Para bapa dan suami yang sedang menggalas tanggungjawab dan tuntutan sebagai ketua keluarga/CEO ini hendaklah sentiasa berdoa dan menghayati firman Allah SWT dalam Surah Furqaan, ayat 74 agar mereka dan keturunan mereka menjadi pemimpin orang-orang yang bertakwa (”...waj ’alnaa lil muttaqiina imaamaa.”)
Maksud ayat :-
Dan orang-orang beriman berdoa : ” Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami dari isteri dan keturunan kami anak yang menyejukkan mata; dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa”.

2. Pengukuh Dan Penstabil Institusi keluarga

Para bapa dan suami sewajibnya berusaha bersungguh- sungguh untuk mengukuhkan institusi keluarga yang telah mereka pilih dan mereka bina sekian lama. Institusi keluarga yang mantap dan kukuh memerlukan seorang bapa dan suami yang mampu memimpin dengan adil dan saksama. Para bapa dan suami hendaklah menerajui dan memainkan peranan aktif dalam memakmurkan rumahtangga dan keluarga mereka. Mereka hendaklah dengan penuh rasa tanggungjawab memimpin keluarga berlandaskan aqidah yang mantap dengan berpandukan kepada Al Quran dan As Sunnah.

Mungkin para bapa dan suami hari ini mudah lupa. Oleh itu, mari kita sama-sama mengimbau kembali amanah-amanah yang telah diperingatkan oleh jurunikah yang telah melafazkan khutbah nikah kepada kita disaksikan oleh saudara-mara dan rakan taulan. Imbau kembali semangat dan komitmen kita yang cukup tinggi ketika itu sebelum menerima isteri kita sebagai isteri yang sah.

Singkap kembali pesanan RasuluLlah s.a.w. di dalam khutbah wida’ baginda kepada para sahabat dan di antaranya merupakan amanah untuk menjaga kaum wanita.
Para suami dan bapa mesti menjadi penstabil dan pengukuh aspek fizikal, kewangan, mental dan emosi keluarganya. Kestabilan dan pengukuhan sel-sel keluarga ini akan menyumbang kepada kestabilan masyarakat dan negara, Insya Allah.

3. Berperanan sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab dan memenuhi hak-hak ahli keluarganya.

Sebagai ketua keluarga, seorang bapa dan suami bertanggungjawab untuk menyediakan pendidikan yang mencukupi kepada ahli keluarganya yang terdiri dari isteri dan anak-anak. Ini adalah kerana anak-anak bakal mewarisi dan mengambil tempat ibu bapa pada hari ini. 

Pendidikan amat penting kerana melaluinyalah nilai-nilai masyarakat seperti akhlak dan pegangan hidup dapat diperturunkan kepada anak-anak yang merupakan pewaris generasi akan datang. Pendidikan juga dapat mengatur anggota masyarakat agar hidup berdasarkan kasih-sayang, hormat-menghormati dan mempunyai sifat kepedulian yang tinggi, yang akan mewujudkan sebuah negara yang aman makmur.
Surah An Nisaa’, ayat 9 bermaksud :
Dan hendaklah takut kepada ALlah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap kesejahteraan mereka….”

mengingatkan ibu bapa agar tidak meninggalkan anak-anak yang lemah sebagai generasi pelapis. Seorang bapa haruslah mendidik anak-anak agar mereka mempunyai kualiti yang diperlukan untuk menjalani kehidupan di zaman mereka kelak.
 
4. Berperanan sebagai pelindung kepada setiap ahli keluarga.

Al Quran merakamkan kisah Nabi Zakariyya a.s. di dalam doa baginda untuk isteri dan anaknya melalui Surah Ali Imran, ayat 36 yang bermaksud :-
....Dan sesungguhnya aku (Zakariyya) memohon perlindungan kepadaMu bagi dirinya (Maryam) dan keturunannya dari syaitan yang terkutuk ”
Ayat di atas mengajar kepada semua bapa dan suami agar memohon kepada Allah SWT untuk menjaga ahli keluarganya dari gangguan makhluk halus serta gangguan dari segala fenomena buruk di sekitar mereka.

Selain dari doa, adalah menjadi tanggungjawab asasi bagi seorang bapa dan suami melindungi ahli keluarganya. Mereka menjadi benteng dan pagar terhadap maruah ahli keluarga mereka. Mereka seharusnya mewujudkan suasana yang aman dan persekitaran tempat tinggal yang selamat dan bebas dari segala bentuk gangguan yang boleh mengancam ahli keluarganya, samada dari sudut fizikal, mental dan emosi.

Di dalam hal ini, cukuplah dipaparkan pula doa Nabi Ibrahim a.s. di dalam Surah Ibrahim, ayat 35 – 37 yang mengambar atau melambangkan naluri semua ibu bapa yang waras terhadap keselamatan dan perlindungan bagi anak-anak mereka, iaitu :-
Dan ingatlah ketika Ibrahim berdoa : ” Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Makkah) tempat yang aman; dan jauhkanlah diriku dan anak-anakku dari penyembahan berhala. Wahai Tuhanku, sesungguhnya mereka telah menyesatkan sebahagian manusia; maka barangsiapa mahu mengikuti agamaku,bererti dia dari golonganku. Dan barangsiapa derhaka kepadaku, maka Engkau sesungguhnya Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.Wahai Tuhan kami, aku telah tempatkan anak keturunanku di lembah yang tidak tumbuh sesuatu tumbuhan berada di sisi rumahMu yang mulia.
Wahai Tuhan kami, jadikanlah mereka orang yang dapat menegakkan solat, dan jadikanlah sebahagian hati manusia suka kepada mereka. Dan berilah mereka rezeki, buah-buahan agar merek bersyukur ”.

Doa ini dikuatkan lagi dengan peringatan Rasulullah s.a.w. kepada umatnya, mafhumnya :
Mukmin yang paling sempurna imannya ialah mukmin yang paling baik akhlaknya dan mukmin yang paling lemah lembut terhadap isterinya” (Hadith riwayat Tarmidhi) 
 
5. Menjadi contoh terbaik (“role model”) dalam mendidik ahli keluarga untuk menghayati prinsip hidup yang positif.

Pernahkah kita melihat seekor itik mengajar anaknya berjalan dengan betul ? Mungkin soalan sebegini melucukan, namun realiti masyarakat hari ini melambangkan keadaan tenat yang sedemikian.

Umpamanya, bagaimanakah keberkesanan nasihat seorang bapa terhadap ahli keluarganya untuk mendirikan solat atau berhenti merokok sedangkan si bapa atau suami juga tidak melakukan solat dan masih merokok ?

Lisaanul hal ataupun contoh melalui perbuatan ini merupakan senjata yang sangat berkesan dan kukuh apabila mendidik, namun ia boleh menghasilkan pengajaran sebaliknya apabila kata-kata yang dituturkan dan amalan seharian yang ditunjukkan oleh para bapa dan suami tidak sejajar dengan sahsiah yang mereka pamerkan setiap hari.

Hayatilah dengan teliti firman Allah SWT, Surah As Saff, ayat 2 – 3, mafhumnya :-
Wahai orang-orang yang beriman,mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat ? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan ”.

Rumusan

Pihak berwajib mempunyai tanggungjawab untuk menjadi penstabil dan pengukuh terhadap pimpinan dan ahli masyarakat di bawah kelolaannya. Dalam pada itu, para bapa dan suami pula menjadi pihak berwajib di dalam keluarganya dan mesti memainkan peranan yang sewajarnya yang telah ditaklifkan oleh Allah dan RasulNya. Pelbagai cabaran keluarga yang berlaku hari ini tidak mudah untuk diselesaikan kerana punca cabaran ini datangnya dari para bapa dan suami sendiri.

Maka berubah dan bertindaklah dari sekarang untuk mengislahkan diri kita menjadi suami dan bapa yang soleh agar kehidupan keluarga kita diredhai dan diberkati Allah swt.

Sumber : Jemaah Islah Malaysia

Anak Soleh - Aeman



Kami anak-anakmu
Ingin memohon restu
Wahai ibuku wahai ayahku
Ampunkan dosa-dosaku
Wahai ibuku wahai ayahku
Redhakan akan diriku

Ku hulurkan salam
Untuk Rasul Junjungan
Moga disyafaatkan
Ya Allahu Ya Rabbi
Ya Fattahu Ya 'Alim
Ya Rahmanu Ya Rahim

Wahai Tuhanku
Kasihi daku
Kasih ibu dan ayahku
Wahai tuhanku rahmati daku
Rahmati ibu dan ayahku

Selamatkan mereka dari azab neraka
Dan bencana dunia
Hubungkan mereka dengan talimu
Amin ya rabbal alamin

Ku hulurkan salam
Untuk Rasul Junjungan
Moga disyafaatkan
Ya Allahu Ya Rabbi
Ya Fattahu Ya 'Alim
Ya Rahmanu Ya Rahim

Wahai Tuhan limpahkan hidayahMu
Untuk ayah dan ibuku
Wahai Tuhanku
Berkati daku
Berkati ibu ayahku

Sayangilah mereka sepertimana
Mereka menyanyangiku
Dan mengasihiku waktu kecilku
Tak terbalas budi jasanya

Ku hulurkan salam
Untuk Rasul Junjungan
Moga disyafaatkan
Ya Allahu Ya Rabbi
Ya Fattahu Ya 'Alim
Ya Rahmanu Ya Rahim

Wahai ibuku wahai ayahku
Didiklah anak-anakmu
Moga menjadi penyejuk di mata
Penawar resah hatimu

Ampunkan segala keterlanjuranku
Halalkan makan minumku
Doakan semoga aku selamat
Dunia dan di akhirat

Ku hulurkan salam
Untuk Rasul Junjungan
Moga disyafaatkan
Ya Allahu Ya Rabbi
Ya Fattahu Ya 'Alim
Ya Rahmanu Ya Rahim



Anak Soleh
Album : Permata Ayah Bonda
Munsyid : Aeman
http://liriknasyid.com

Design by FARISZ@AZ.Com