.
Promosi
.

Bersedekah sebagai tanda bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah.


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : ” Tangan yang menghulur lebih baik daripada tangan yang menerima, mulakanlah dengan mereka yang di bawah tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah itu adalah yang tidak mengorbankan keperluannya atau keluarganya, sesiapa yang menahan daripada meminta sedekah dia akan dijaga oleh Allah S.W.T, sesiapa yang merasa berpada-pada maka diberikan Allah S.W.T kelegaan kepadanya.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Penerangan :-

Pengajaran hadith.

i) Amalan memberi sedekah disifatkan sebagai penebus dan pelupus dosa dan ia merupakan pintu kebajikan yang boleh menghalang daripada api neraka. Orang yang suka bersedekah menunjukkan dia bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah di mana ia merupakan kunci utama ketenangan dan kebahagian hidup di dunia.

ii) Aspek yang terpenting dalam bersedekah ialah keikhlasan niat bahawa amalan itu adalah kerana Allah S.W.T semata-mata, tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk kononnya kita adalah seorang yang pemurah dan sebagainya.

iii) Tidak sewajarnya kita bersedekah kepada orang lain, sedangkan keperluan diri dan keluarga sendiri diabaikan. Oleh itu sebaik-baik cara bersedekah ialah ia dimulakan dengan orang yang di bawah tanggungan sendiri, keluarga dan sanak saudara kerana memberi kepada orang yang berhak itu adalah lebih utama.

iv) Bersedekah sesungguhnya akan memuliakan maruah seseorang sebaliknya meminta sedekah akan menjatuhkan maruah diri sendiri. Itulah sebabnya mengapa Islam menggalakkan umatnya agar berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh dalam mencari rezeki, bukan mengharapkan belas kasihan orang lain.

Wallahua'lam.

Isteri Derhaka




Dari Ibnu Abbas r.a katanya Rasulullah SAW bersabda : ”Diperlihatkan (Allah) kepadaku akan neraka. Ketika itu kulihat kebanyakan isinya terdiri daripada perempuan-perempuan kafir.” Baginda ditanya oleh seseorang:”Apakah mereka kafir kepada Allah?” Jawab Rasulullah, “Mereka kafir kepada karib (suami) dan (tidak tahu berterima kasih) atas kebaikan (yang diterimanya). Biarpun engkau telah berbuat baik kepadanya sepanjang masa, kemudian dilihatnya daripadamu sedikit kesalahan sahaja, lantas ia berkata : ”Saya tidak pernah melihat kebaikan darimu sedikit pun!”

(Riwayat Al-Bukhari)

Penerangan :

1. Seorang suami tidak boleh membenci isterinya sampai menceraikannya hanya kerana satu kelakuan isterinya yang tidak menyenangkan. Tetapi hendaklah dipertimbangkan dengan perilaku lain yang menyenangkan dari isterinya. Begitu jua keadaannya bagi seorang isteri terhadap suaminya.

2. Tugas seorang isteri di samping harus taat kepada Allah SWT hendaklah taat kepada suaminya. Sekiranya kedua-dua tugas ia dapat dilaksanakan dengan baik, maka syurgalah baginya. Sabda Rasulullah: "Jika seorang perempuan telah sembahyang lima waktu, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya pasti ia masuk syurga dari berbagai pintu yang dikehendakinya." (Riwayat Ibnu Hibban)

3. Sebagai perempuan atau wanita yang bergelar isteri, kita mempunyai satu kewajipan yang besar dan penting terhadap suami. Sebelum kewajipan lain dilaksanakan, kewajipan terhadap suami harus didahulukan. Manakala bagi lelaki mereka pula mempunyai kewajipan yang amat besar terhadap ibunya. Sejauh kemampuannya, ia perlu memenuhi setiap kewajipan terhadap ibunya, kerana itu kewajipan yang mesti dilaksanakan.

4. Rasulullah bersabda: "Wanita yang taat terhadap suaminya, diminta ampun oleh burung di angkasa, ikan-ikan di dalam air, malaikat di langit, matahari dan bulan, selama wanita itu ada dalam kerelaan suaminya. Dan setiap wanita yang derhaka kepada suaminya, maka kepadanyalah laknat Allah, malaikat dan manusia semuanya. Dan setiap wanita yang bermuka masam pada suaminya, ia adalah dalam kemurkaan Allah Ta'ala sampai ia (wanita/isteri) bersenda gurau dengan suaminya dan ia meminta kerelaanya. Dan setiap wanita yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya, malaikat melaknatnya hingga ia pulang." (Riwayat Al Bazzar).

Wallahua'lam.

Design by FARISZ@AZ.Com