.
Promosi
.
Showing posts with label Akhlak. Show all posts
Showing posts with label Akhlak. Show all posts

Mukmin Yang Berakhlak Mendapat Darjat Yang Tinggi


Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya seseorang mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang ditengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia”.

(Riwayat Abu Daud)

Penerangan :

1. Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia, setaraf dengan orang yang berpuasa serta mendirikan sembahyang di tengah malam.

2. Setiap Muslim hendaklah berusaha mempertingkatkan kualiti akhlaknya agar menjadi baik dan lebih baik sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini kerana setiap amalan akan dihitung dan dihisab di akhirat kelak.

3. Mukmin yang mempunyai akhlak mulia, bukan sahaja mendapat kemulian di dunia, bahkan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah di akhirat nanti.

Wallahua'lam.

Islam Melarang Umatnya Memohon Untuk Mati


Rasulullah S.A.W Bersabda bermaksud : “Janganlah ada diantara kamu yang bercita-cita hendak mati. Sekiranya ia seorang yang baik mudah mudahan ia dapat menambahkan lagi kebaikan, dan sekiranya ia seorang yang jahat mudah mudahan ia dapat bertaubat kepada Allah”.

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Penerangan :

1. Haram hukumnya bagi seseorang muslim bercita cita dan berdoa untuk mati apabila hidup didalam kesengsaraan dan menderita.

2. Setiap mukmin yang panjang umurnya mempunyai banyak peluang untuk ia beramal ibadat kepada Allah sebagai bekalan di akhirat nanti.

3. Islam tidak membenarkan umatnya bercita cita untuk mati, tetapi menggalakkan umatnya supaya bercita cita untuk menambahkan ilmu pengetahuan demi kemajuan ummah.

Wallahua'lam.

Amanah Kunci Keamanan

Bismillahirrahmaanirrahiim,


Dari Huzaifah, katanya : “Diajarkan oleh Rasulullah S.A.W kepada kami dua buah hadis ; salah satu dari padanya telah saya lihat kenyataannya dan sekarang saya sedang menunggu kenyataan hadis yang kedua. Hadis yang pertama, bahawa amanah itu turun lalu masuk ke lubuk hati orang, Kemudian turun Al-Quran lalu menjadi pedomannya, demikian pula sunnah Rasulullah S.A.W. Hadis yang kedua, tentang pencabutan amanah. Kata Rasulullah S.A.W : “Seseorang tidur sekejap lalu dicabut amanah dari hatinya dan tinggallah bekasnya seperti titik yang kecil; kemudian ia tidur pula lalu dicabut lagi sisa amanah itu, dan hanya tinggal seperti bengkak kecil di telapak tangan yang timbul setelah mengerjakan sesuatu dengan memakai kapak atau sebagai bengkak di kaki kerana memijak bara, isinya hanya sedikit cairan. Pada masa itu kelak hampir saja tak ada lagi amanah dalam masyarakat sehingga dikatakan: “Oh, di sana ada orang yang amanah; kata orang kepadanya; alangkah sabarnya, alangkah baiknya, alangkah cerdiknya; tetapi sebenarnya batin orang itu kosong dari keimanan, Kata Huzaifah : ” Pada masa yang silam, zaman kejujuran itu telah ku alami, sehingga saya biasa berniaga dengan siapa pun; jika dengan orang Muslim ia jujur kerana agamanya, jika dengan orang Nasrani atau Yahudi maka kejujuran itu ada di tangan atasannya.” Adapun zaman sekarang, aku tidak mahu lagi berniaga kecuali dengan si Anu dan si Anu (kerana amanah)”.

(Riwayat Muslim)

Penerangan :

Dunia hari ini sering digemparkan dengan berita-berita mengenai pecah amanah di sana sini. Bapa merogol anak, bayi baru lahir dibuang, warga tua diragut, kanak-kanak didera, dan berbagai-bagai lagi kejadian yang menyentuh hati dan membangkitkan kemarahan banyak pihak. Semuanya berpunca daripada hilangnya sifat amanah dari jiwa manusia. Sesungguhnya di akhir zaman ini amat sukar untuk mencari orang yang benar-benar amanah sedangkan apa jua perkara dan tindakan yang diambil perlukan sifat amanah. Seorang bapa yang khianat tidak akan menjaga anak yang menjadi amanah Allah kepadanya bahkan diperkosa anaknya sendiri atau dia berzina dengan wanita lain. Begitu juga dengan kerajaan yang dipimpin oleh penguasa yang tidak amanah sudah pasti suatu hari nanti umat akan hancur. Fakir yang sombong juga tidak akan sudi menerima bantuan dan perhatian orang lain sedangkan ia sangat memerlukannya. Kesudahannya hidupnya tidak akan berubah sampai bila-bila hinggakan kefakiran tersebut membawanya kepada kekufuran. Hakikatnya janganlah kita mengkhianati amanah sedangkan kita mengetahuinya. Balasannya di hari akhirat kelak amat dahsyat menunggu kita.

Wallahua'lam.

Bertimbang Rasa Dengan Orang Bawahan

Diriwayatkan daripada Abu Dzar R.A : “Aku mencerca seseorang dengan memanggil ibunya dengan sapaan yang buruk. Nabi Muhammad SAW bersabda kepada ku : ” Ya Abu Dzar! Apakah kau mencaci maki seseorang dengan menyeru ibunya dengan sapaan yang buruk? Dalam diri mu masih tertinggal sifat-sifat Jahiliah. Pembantu-pembantu mu adalah juga saudara-saudara mu dan Allah menempatkan mereka di bawah perintah mu. Maka sesiapapun yang saudaranya di bawah perintahnya harus diberi makanan yang sama dengan yang ia makan dan diberi pakaian yang sama dengan yang ia pakai. Jangan suruh mereka mengerjakan pekerjaan di luar kemampuannya dan apabila kamu terpaksa melakukannya, bantulah mereka”.

(Riwayat al-Bukhari)

Penerangan :

Komunikasi dua hala seharusnya berlaku antara majikan dan orang bawahan. Seseorang majikan atau pun ketua tidak seharusnya mempunyai sikap angkuh pada kedudukan atau jawatan yang disandangnya. Sikap ‘egoist’ akan menyebabkan seseorang majikan itu tidak dapat bekerjasama dengan orang bawahan sehingga menerbitkan perasaan dendam dan benci mereka terhadap ketua. Seharusnya seorang ketua mestilah menghargai setiap usaha yang dilakukan oleh pekerjanya, biarpun betapa kecil kerja tersebut atau ianya belum mencapai piawaian yang dikehendakinya kerana tanpa usaha yang dilakukan oleh orang bawahan mustahil seorang ketua dapat mencapai tahap kecemerlangan. Justeru jangan menganggap orang bawahan sebagai hamba dan hendaklah menghormati maruahnya sebagai seorang manusia seterusnya memberikan penghargaan seadil-adilnya tanpa adanya sifat pilih kasih.

Wallahua'lam.

Sebaik-baik Orang Yang Berhijrah


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a : “ Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya : ” Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT”.

(Riwayat al-Bukhari)

Penerangan:

Hijrah mengandungi hikmah yang besar sekali peranannya dalam pembangunan ummah. Suatu kumpulan masyarakat tidak akan menjadi baik jika setiap individu yang ada di dalamnya telah rosak kerana kumpulan masyarakat itu bergantung kepada individu itu sendiri. Oleh itu hijrah amat ditekankan di dalam al-Quran dan disebutkan sebanyak lebih 28 kali di dalam berbagai bentuk dan makna. Dengan hijrah, hati, perkataan dan perbuatan kita akan menjadi bersih dari segala maksiat, dosa dan syirik seperti kisah khalifah Umar bin al-Khathab r.a yang menarik untuk kita renungkan bahawa beliau sebelum memeluk Islam dikenali dengan julukan “penghulu para pelaku kejahatan”, namun setelah berhijrah, beliau menjadi pemimpin yang disegani, tawaddhu’ dan suka menolong orang miskin, menjadi tonggak bagi berkembangnya agama Islam. Hakikatnya hijrah sangatlah berat, kerana di samping harus memiliki kesabaran, kita juga dituntut memiliki keteguhan aqidah dan keyakinan agar tidak mudah termakan dengan pujuk rayu dan godaan dari kenikmatan dunia yang fana.

Wallahua'lam.

Punca Segala Bencana


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah S.A.W bersabda : ”Kelak bumi akan memuntahkan jantung hatinya berupa tiang-tiang emas dan perak. Maka datanglah seorang pembunuh seraya berkata : ”Kerana inilah aku jadi pembunuh. Kemudian datang pula si perompak, lalu berkata : ”Kerana inilah aku putuskan hubungan silaturrahim. Kemudian datang pula si pencuri seraya berkata : ”Kerana inilah tanganku dipotong” Sesudah itu mereka tinggalkan sahaja harta kekayaan itu, tiada mereka mengambilnya sedikitpun”.

(Muslim)

Penerangan :

Lazimnya manusia mencari kekayaan dan harta benda. Malah kadangkala kerana gila mengejar harta dunia, manusia terpengaruhi oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan sehingga ada yang sanggup berbunuh-bunuhan, merompak dan memutuskan silaturrahim. Dunia dicipta untuk menguji manusia siapakah yang paling bertakwa. Sesungguhnya harta dunia tidak akan membawa membawa apa-apa erti jika ia tidak dimanfaatkan ke jalan yang diredhai Allah. 

Hakikat harta diterangkan Rasulullah s.a.w seperti sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah : 
"Seorang hamba (manusia) berkata, 'Hartaku, hartaku!' Padahal hartanya itu sesungguhnya ada 3 jenis: (1) Apa yang dimakannya lalu habis. (2) Apa yang dipakainya lalu lusuh. (3) Apa yang disedekahnya lalu tersimpan untuk akhirat. Selain yang ke 3 itu, semuanya akan lenyap atau ditinggalkan kepada orang lain". (Muslim)

Wallahua'lam.

Menjauhi Perbuatan Yang Mendatangkan Bahaya

Rasulullah S.A.W bersabda : "Sesungguhnya syaitan ada baginya bisikan ke hati anak Adam, dan Malaikat juga ada bisikannya; ada pun bisikan syaitan itu ialah galakannya supaya seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan bisikan Malaikat pula ialah galakannya supaya seseorang mengamalkan kebaikan dan meyakini kebenaranya; oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik, maka hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, serta hendaklah ia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah dari angkara syaitan".

(Ibn Mas'ud r.a)
 
Penerangan :

1. Setiap manusia mempunyai lintasan hati yang berlainan kerana berlainan sebabnya.

2. Satu daripada jenis lintasan itu adalah lintasan yang dibawa oleh malaikat yang bertugas memancarkan ke dalam hati manusia perasaan suka berbuat kebajikan dan menerima kebenaran; sementara satu lagi lintasan adalah lintasan syaitan iaitu lintasan untuk melakukan kejahatan dan menolak kebenaran.

3. Lintasan malaikat ini dinamakan sebagai “ilham” dan lintasan jahat syaitan itu sebenarnya adalah “was-was” di mana kita diperintahkan memohon perlindungan Allah daripadanya sebagaimana yang dimaksudkan di dalam al-Quran, Surah an-Nas.

4. Oleh yang demikian selaku manusia biasa, apabila datang sesuatu lintasan hati, maka hendaklah kita mempertimbangkannya terlebih dahulu dengan neraca syarak ; jika bersesuaian kerjakanlah, jika sebaliknya jauhkanlah.

Wallahua'lam.

Sifat Tamak Manusia

Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya : “Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat”.

(Riwayat Ahmad)

Penerangan :

1. Manusia secara semulajadinya bersifat tamak dan dengki terhadap kelebihan orang lain.

2. Kedua-dua sifat ini membawa kerugian kerana ia akan melahirkan individu yang tidak bersyukur sehingga hubungan dalam masyarakat menjadi rosak akibat daripada berlakunya pergaduhan dan persengketaan sesama sendiri.

3. Selaku umat Islam kita dituntut untuk sentiasa bersyukur kepada Allah kerana dengan bersyukur hati kita akan tenang dan redha di samping mempercayai bahawa rezeki itu terletak di tangan Tuhan. Kita wajib berusaha sedangkan yang menentukannya adalah Allah S.W.T. Bahkan Allah telah berjanji bahawa rezeki orang yang bersyukur akan ditambah sebaliknya pula bagi orang kufur (tidak bersyukur).

4. Lawan kepada sikap tamak itu adalah bersikap sederhana iaitu menolak keterlaluan di mana kita dituntut agar bersederhana dalam menetapkan sesuatu peraturan, perbelanjaan dan sebagainya tetapi mestilah menyeimbangkannya terutama dalam memenuhi tuntutan keduniaan dan tuntutan akhirat.

Wallahua'lam.

Tiada Tolak Ansur Dalam Maksiat


Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : ”Sesungguhnya kecacatan pertama yang berlaku pada Bani Israil ialah apabila seorang lelaki melihat lelaki lain melakukan maksiat, dia akan berkata: ”Wahai si fulan! Takutlah kepada Allah dan tinggalkan kerja maksiat yang engkau sedang lakukan itu kerana ia tidak harus bagi engkau untuk melakukannya. Kemudian pada keesokan harinya lelaki yang menegah itu melihat lelaki yang melakukan maksiat itu masih melakukan maksiat yang sama, tetapi dia tidak mencegahnya kerana barangkali pelaku maksiat itu merupakan orang yang memberinya makan dan minum atau rakan baiknya. Apabila Bani Israel melakukan perbuatan seperti itu, maka Allah telah memperlagakan sesama hati mereka dan kemudian Allah melaknat mereka melalui lidah para anbiya’-nya.”
(Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Penerangan :

1. Allah SWT melarang kita daripada bertolak ansur dan berkompromi dalam perbuatan maksiat kerana perkara tersebut merupakan suatu dosa besar dan mengundang laknat daripada-Nya.

2. Segala kebaikan dan kesenangan yang diperolehi adalah rahmat daripada Allah SWT. Oleh itu, sebagai hamba-Nya kita wajib bersyukur dengan melakukan ketaatan dan menjauhi sebarang perbuatan maksiat kerana melakukan maksiat adalah sifat hamba yang tidak tahu bersyukur.

3. Sesungguhnya apa jua yang kita perolehi yang berupa kebaikan segalanya adalah daripada Allah SWT dan apa jua keburukan yang menimpa maka itu adalah disebabkan diri kita sendiri disebabkan oleh dosa-dosa yang dilakukan.

Wallahua'lam.

Tetap Pendirian (Istiqomah)


Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : “Tidak lurus (istiqomah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya”.

(Riwayat Ahmad)

Penerangan :

1. Maksud istiqomah ialah tetap teguh di atas jalan yang betul lurus yang membawa keredhaan Allah S.W.T.

2. Dasar istiqomah adalah istiqomah hati iaitu lurusnya hati di atas tauhid. Apabila hati telah beristiqomah kepada Allah dalam erti kata takut, cinta, tawakkal dan mengagungkan Allah maka seluruh anggota tubuh akan taat kepadanya. Ini ialah kerana hati adalah raja kepada badan manakala anggota badan adalah rakyatnya.

3. Anggota terpenting selepas hati yang mesti diberi perhatian serius agar beristiqomah ialah lidah kerana lidah adalah terjemahan hati yang menggambarkan pemikiran seseorang.

Wallahualam.

Kemuliaan Diri Dengan Berakhlak Baik


Rasulullah S.A.W bersabda : “Sebesar-besar kebajikan itu ialah berakhlak dengan akhlak yang baik, dan dosa itu ialah perasaan bimbang dalam jiwa dan engkau tidak suka keadaan itu diketahui oleh orang lain”.

(Riwayat Muslim)

Penerangan :

1. Seseorang yang berakhlak mulia akan mendapat pahala dan boleh mendatangkan kebaikan untuk diri sendiri dan kebajikan kepada orang lain.

2. Orang yang melakukan dosa tidak akan mendapat ketenangan jiwa didalam hidupnya.

3. Berakhlaklah dengan akhlak yang mulia kerana ia sebesar besar kebajikan dan janganlah melakukan dosa kerana dosa itu ialah azab seksa, yang dirasai baik didunia mahupun diakhirat.

Wallahualam.

Sifat Malu Mendatangkan Kebaikan


Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Sifat malu itu akan menghasilkan kebaikan”.

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Penerangan :

1. Sifat malu adalah suatu sifat yang terpuji. Sesiapa yang memilikinya akan terlepas daripada segala kejahatan kerana dengan adanya sifat malu kita tidak akan melakukan segala keburukan.

2. Sifat malu juga akan meninggikan darjat keimanan orang yang memilikinya.

Wallahualam.

p/s : Namun sifat malu semakin terhakis pada masyarakat Islam.Kebanyakan masyarakat Islam hilang sifat malu apabila melayari laman web seperti facebook dan blog apabila segala keaiban diri dibuka dengan mempamerkan aurat dan bergaya dengan perbagai gaya yang menghairahkan malah sehingga adakalanya mempamerkan pasangan couple mereka di facebook atau blog (pelik : kenapa TAK MALU pamerkan pakwe/makwe tapi malu pamerkan ibubapa/ahli keluarga?)

Berbuat Baik Dan Bersabar Di Atas Perilaku Manusia


Seorang lelaki bertanya : “ Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar menghadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.” Kemudian baginda menjawab,” Sekiranya benar sepertimana yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah Taala selama mana engkau berada di dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu”.

(Riwayat Muslim)

Penerangan :

1. Islam mengajar umatnya supaya banyak bersabar di dalam semua keadaan sama ada ketika senang atau pun susah kerana ia merupakan pengukur darjat keimanan seseorang.

2. Islam mengajar umatnya supaya jangan membalas keburukan orang sebaliknya menambahkan lagi kebaikan terhadap mereka mudah-mudahan dengan itu hati mereka menjadi lembut dan baik.

3. Allah sentiasa memberi pertolongan kepada orang yang sentiasa sabar dan benar dalam bertindak.

4. Setiap umat Islam wajib menghubungkan silaturrahim dan haram memutuskannya.

Wallahua'lam.

Jangan Kamu Marah


Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah berkata kepada nabi SAW yang maksudnya : ” Berwasiatlah kepada ku. ” Sabda Rasulullah SAW : “Jangan kamu marah.” Maka lelaki itu mengulangi kata-katanya berulang kali. Sabda Rasulullah SAW : ” Jangan kamu marah.”
(Riwayat al-Bukhari)

Penerangan :

Hasan al-Basri pernah berkata: Empat perkara jika sesiapa memilikinya maka Allah memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkan ke atasnya api neraka: (iaitu) Sesiapa yang mampu mengawal dirinya ketika dalam keghairahan, ketakutan, syahwat dan kemarahan.” Sesungguhnya kemarahan akan mengumpulkan segala keburukan. Reaksi seorang yang sedang marah dapat dilihat pada wajah dan anggota badannya seperti warna mukanya bertukar merah, urat-urat lehernya menegang, tubuh badan seakan-akan menggigil kerana geram, suara menjadi nyaring manakala lidah mula mengeluarkan perkataan yang buruk sama ada mengutuk atau mengeji. Ada kemungkinan patah-patah perkataan itu berupa penghinaan atau yang seumpama dengannya yang haram diucapkan termasuklah menuduh orang lain sebagai kafir dan lai-lain. Selain itu, seseorang itu juga akan melakukan perbuatan yang di luar kawalannya sendiri seperti memukul, menumbuk, menampar dan sebagainya. Semua ini berkemungkinan akan mendorong kepada perbuatan yang menyakitkan orang lain yang akhirnya mewujudkan permusuhan dan kebencian di antara satu sama lain. Justeru walaupun sifat marah adalah sifat semula jadi manusia namun sebagai seorang Muslim kita hendaklah berusaha untuk menjauhkan diri daripada segala sebab yang menyebabkan kemarahan.

Wallahua'lam.

Jangan Meremehkan Sedekah Orang


Dari Abu Mas’ud r.a katanya : “Kami diperintah Rasulullah s.a.w supaya bersedekah sedangkan kami hanya sebagai buruh kasar atau kuli. Namun Abu Uqail bersedekah setengah gantang. Kemudian yang lainnya mengikutinya dengan menyedekahkan apa sahaja namun lebih banyak dari itu. Melihat kenyataan itu, orang-orang munafik berkata: “Sesungguhnya Allah Maha Kaya. Dia tidak memerlukan sedekah itu dan ini. dan mereka melakukan ini semua, hanya kerana riya’ semata-mata.” Kerana ucapan mereka itu maka turunlah ayat :

الَّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطَّوِّعِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ فِي الصَّدَقَاتِ وَالَّذِينَ لا يَجِدُونَ إِلا جُهْدَهُمْ فَيَسْخَرُونَ مِنْهُمْ سَخِرَ اللَّهُ مِنْهُمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (٧٩)
79. Orang-orang (munafik) Yang mencela sebahagian dari orang-orang Yang beriman mengenai sedekah-sedekah Yang mereka berikan Dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang Yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, - Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa Yang tidak terperi sakitnya.
(at-Taubah:79)

Penerangan :

Allah SWT Maha Mengetahui siapa diri kita yang sebenarnya. Apa yang nyata keIslaman seseorang tidak diukur oleh luasnya ilmu agama yang dimiliki. Tidak juga diukur oleh kekuatan ibadah semata. Tetapi keIslaman itu diukur pada orang yang paling IKHLAS dalam agamanya termasuk dalam bersedekah kerana sesungguhnya seorang mukmin yang sebenar akan sanggup menawarkan hartanya demi mempertahankan agamanya, sementara orang munafik pula akan sanggup menawarkan agamanya demi mempertahankan hartanya.

Wallahua'lam.

Pembohongan Suatu Pengkhianatan


Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya: ”Jika kamu bercakap dengan saudaramu percakapan yang ia mempercayainya, sedangkan kamu membohonginya, sesungguhnya perbuatan ini merupakan pengkhianatan besar.”


(Riwayat Abu Daud)

Penerangan :

1. Berbohong ialah menyampaikan sesuatu yang tidak sesuai dengan keadaan sebenarnya.

2. Gejala pembohongan adalah amat keji dan sangat dibenci apalagi yang dibohongi itu adalah orang ramai, maka sudah tentu bahaya dan dosanya lebih berat. Oleh itu Islam menganggap perbuatan berbohong atau berdusta adalah satu perbuatan munafiq.

3. Selaku ibu bapa adalah tidak wajar untuk membohongi anak-anak dengan alasan untuk memujuk mereka atau menahan mereka daripada sesuatu kemarahan. Hal ini kerana ia akan menghilangkan kepercayaan anak-anak terhadap ibu bapa menjadikan segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan tidak berkesan.

4. Tindakan seseorang berbohong menyebabkan kepercayaan hilang terhadap seseorang itu.

5. Namun tindakan memalsukan rahsia dari pihak musuh Islam untuk mengelakkan pihak musuh Islam mengetahui rahsia dari pihak Islam adalah dibenarkan.(Strategi peperangan)

Wallahualam

Amanah : Intipati Dari Al-Quran & As-Sunnah




Allah SWT berfirman :


إن خير من استأجرت القوي الأمين


Maksudnya : “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang kamu ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah" (al-Qashas, ayat: 26)

Seorang muslim yang sejati itu pastilah sangat mementingkan amanah. Amanah itu menjadi agenda utama dalam hidupnya. Ini kerana amanah itu merupakan ciri-ciri utama orang yang beriman dan ia adalah lawan kepada sifat khianat. Sementara khianat itu merupakan sifat orang munafik.

Sabda Rasulullah SAW :



حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ نُمَيْرٍ ح و حَدَّثَنَا ابْنُ نُمَيْرٍ حَدَّثَنَا أَبِي حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ ح و حَدَّثَنِي زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ حَدَّثَنَا وَكِيعٌ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مُرَّةَ عَنْ مَسْرُوقٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَلَّةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَلَّةٌ مِنْ نِفَاقٍ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ


Maksudnya : “Empat perkara, barangsiapa yang memiliki kesemuanya maka dia adalah munafiq yang sebenar dan barangsiapa yang memiliki salah satu daripadanya maka dia telah memiliki salah satu daripada sifat munafiq dan dia kekal memiliki ciri-ciri munafiq sehingglah dia meninggalkannya: apabila diberi amanah di khianat, apabila berkata dia menipu, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila bermusuhan dia berlaku jahat”.
(Shohih Muslim – Hadis ke 88)

Ia juga merupakan perintah tuhan yang tidak boleh dipandang ringan. Firman Allah SWT :



إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمانات إلى أهلها وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل إن الله نعما يعظكم به إن الله كان سميعا بصيرا


Maksudnya : "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat." (an-Nisaa` ayat: 58)


Sebelum Rasulullah SAW diutus menjadi Rasul, baginda SAW terkenal dengan gelaran al-amin yang bermaksud orang yang amanah. Inilah sifat terpuji Baginda SAW yang menyebabkan pemuka-pemuka Quraisy mati hujah untuk mempertikaikan kenabian Baginda SAW walaupun mereka terkenal dengan kefasihan berhujah dan bijak menggunakan kata-kata. Di dalam al-Quran pula, amanah itu disebut sebagai sesuatu yang berat untuk ditanggung sehingga makhluk-makhluk gergasi ciptaan Allah seperti langit, bumi dan gunung-ganang enggan untuk menerimanya apabila ditawarkan kepada mereka. Allah SWT berfirman :


إنا عرضنا الأمانة على السماوات والأرض والجبال فأبين أن يحملنها وأشفقن منها وحملها الإنسان إنه كان ظلوما جهولا


Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (al-Ahzab, ayat: 72)

Antara tafsiran yang agak menyeluruh bagi maksud amanah dalam ayat di atas ialah “urusan agama” sama ada ia berkait dengan dunia mahupun akhirat. Ini bermakna Islam itu sendiri adalah amanah yang mesti dipikul oleh setiap penganutnya. Dalam beberapa hadis, amanah itu ditafsirkan sebagai jawatan.


حَدَّثَنَا عَبْدُ الْمَلِكِ بْنُ شُعَيْبِ بْنِ اللَّيْثِ حَدَّثَنِي أَبِي شُعَيْبُ بْنُ اللَّيْثِ حَدَّثَنِي اللَّيْثُ بْنُ سَعْدٍ حَدَّثَنِي يَزِيدُ بْنُ أَبِي حَبِيبٍ عَنْ بَكْرِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ الْحَارِثِ بْنِ يَزِيدَ الْحَضْرَمِيِّ عَنْ ابْنِ حُجَيْرَةَ الْأَكْبَرِ عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا تَسْتَعْمِلُنِي قَالَ فَضَرَبَ بِيَدِهِ عَلَى مَنْكِبِي ثُمَّ قَالَ يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنَّهَا أَمَانَةُ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا


Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Abdul Malik bin Syu'aib bin Laits telah menceritakan kepadaku bapakku Syu'aib bin Laits telah menceritakan kepadaku Laits bin Sa'ad telah menceritakan kepadaku Yazid bin Abu Habib dari Bakr bin 'Amru dari Al Harits bin Yazid Al Hadhrami dari Ibnu Hujairah Al Akbar dari Abu Dzar dia berkata, saya berkata, "Wahai Rasulullah, tidakkah anda menjadikanku sebagai pegawai (pejabat)?" Abu Dzar berkata, "Kemudian beliau menepuk bahuku dengan tangan beliau seraya bersabda: "Wahai Abu Dzar, kamu ini lemah (untuk memegang jabatan) padahal jabatan merupakan amanah. Pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi siapa yang mengambilnya dengan haq dan melaksanakan tugas dengan benar." (Shohih Muslim – Hadis ke 3404).


حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ سِنَانٍ حَدَّثَنَا فُلَيْحُ بْنُ سُلَيْمَانَ حَدَّثَنَا هِلَالُ بْنُ عَلِيٍّ عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا أُسْنِدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ


Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Sinan telah menceritakan kepada kami Fulaih bin Sulaiman telah menceritakan kepada kami Hilal bin Ali dari 'Atho' bin yasar dari Abu Hurairah radhilayyahu'anhu mengatakan; Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Jika amanat telah disia-siakan, tunggu saja kehancuran terjadi." Ada seorang sahabat bertanya; 'bagaimana maksud amanat disia-siakan? ' Nabi menjawab; "Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu." (Shohih Bukhari – Hadis 6015)


Kenapakah agaknya jawatan itu disebut sebagai amanah? Ia seolah-olah menunjukkan bahawa hanya orang yang amanah sahaja yang layak memegang jawatan. Inilah perkara yang disebut oleh Nabi Yusuf AS ketika menawarkan dirinya untuk satu jawatan yang sinonim dengan menteri kewangan pada hari ini. Firman Allah SWT :



قال اجعلني على خزائن الأرض إني حفيظ عليم


Maksudnya : Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); Sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya". (Yusuf, ayat: 55)

Orang yang hilang sifat amanahnya, maka secara moralnya dia sudah hilang kelayakan untuk menyandang sebarang jawatan. Bagaimana pula jika jawatan itu adalah jawatan yang sangat penting, berat tanggungannya dan berkaitan dengan maslahat rakyat.


حَدَّثَنَا شَيْبَانُ بْنُ فَرُّوخَ حَدَّثَنَا أَبُو الْأَشْهَبِ عَنْ الْحَسَنِ قَالَ عَادَ عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ زِيَادٍ مَعْقِلَ بْنَ يَسَارٍ الْمُزنِيَّ فِي مَرَضِهِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ قَالَ مَعْقِلٌ إِنِّي مُحَدِّثُكَ حَدِيثًا سَمِعْتُهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ عَلِمْتُ أَنَّ لِي حَيَاةً مَا حَدَّثْتُكَ إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلَّا حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ


Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Syaiban bin Farrukh telah menceritakan kepada kami Abu al-Asyhab dari al-Hasan dia berkata, "Ubaidullah bin Ziyad mengunjungi Ma'qil bin Yasar al-Muzani yang sedang sakit dan menyebabkan kematiannya. Ma'qil lalu berkata, 'Sungguh, aku ingin menceritakan kepadamu sebuah hadits yang aku pernah mendengarnya dari Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, sekiranya aku mengetahui bahwa aku (masih) memiliki kehidupan, niscaya aku tidak akan menceritakannya. Sesunguhnya aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 'Barangsiapa diberi beban oleh Allah untuk memimpin rakyatnya lalu mati dalam keadaan menipu rakyat, niscaya Allah mengharamkan Surga atasnya'." (Shohih Muslim – Hadis ke 203).

Ini perihal orang yang diamanahkan oleh Allah SWT, lalu dia mengabaikannya. Bagaimanakah pula keadaannya orang yang sedari awal tidak berkelayakan langsung lalu dia meminta jawatan dalam keadaan dia tidak disukai?


حَدَّثَنَا هَنَّادٌ حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ زَيْدِ بْنِ وَهْبٍ عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ
حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدِيثَيْنِ قَدْ رَأَيْتُ أَحَدَهُمَا وَأَنَا أَنْتَظِرُ الْآخَرَ حَدَّثَنَا أَنَّ الْأَمَانَةَ نَزَلَتْ فِي جَذْرِ قُلُوبِ الرِّجَالِ ثُمَّ نَزَلَ الْقُرْآنُ فَعَلِمُوا مِنْ الْقُرْآنِ وَعَلِمُوا مِنْ السُّنَّةِ ثُمَّ حَدَّثَنَا عَنْ رَفْعِ الْأَمَانَةِ فَقَالَ يَنَامُ الرَّجُلُ النَّوْمَةَ فَتُقْبَضُ الْأَمَانَةُ مِنْ قَلْبِهِ فَيَظَلُّ أَثَرُهَا مِثْلَ الْوَكْتِ ثُمَّ يَنَامُ نَوْمَةً فَتُقْبَضُ الْأَمَانَةُ مِنْ قَلْبِهِ فَيَظَلُّ أَثَرُهَا مِثْلَ أَثَرِ الْمَجْلِ كَجَمْرٍ دَحْرَجْتَهُ عَلَى رِجْلِكَ فَنَفَطَتْ فَتَرَاهُ مُنْتَبِرًا وَلَيْسَ فِيهِ شَيْءٌ ثُمَّ أَخَذَ حَصَاةً فَدَحْرَجَهَا عَلَى رِجْلِهِ قَالَ فَيُصْبِحُ النَّاسُ يَتَبَايَعُونَ لَا يَكَادُ أَحَدُهُمْ يُؤَدِّي الْأَمَانَةَ حَتَّى يُقَالَ إِنَّ فِي بَنِي فُلَانٍ رَجُلًا أَمِينًا وَحَتَّى يُقَالَ لِلرَّجُلِ مَا أَجْلَدَهُ وَأَظْرَفَهُ وَأَعْقَلَهُ وَمَا فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ مِنْ إِيمَانٍ قَالَ وَلَقَدْ أَتَى عَلَيَّ زَمَانٌ وَمَا أُبَالِي أَيُّكُمْ بَايَعْتُ فِيهِ لَئِنْ كَانَ مُسْلِمًا لَيَرُدَّنَّهُ عَلَيَّ دِينُهُ وَلَئِنْ كَانَ يَهُودِيًّا أَوْ نَصْرَانِيًّا لَيَرُدَّنَّهُ عَلَيَّ سَاعِيهِ فَأَمَّا الْيَوْمَ فَمَا كُنْتُ لِأُبَايِعَ مِنْكُمْ إِلَّا فُلَانًا وَفُلَانًا
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Hannad telah menceritakan kepada kami Abu Mu'awiyah dari Al A'masy dari Zaid bin Wahab dari Hudzaifah bin Al Yaman telah menceritakan kepada kami Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Salam dua hadits; salah satunya sudah aku ketahui dan yang lainnya tengah aku nanti-nanti, beliau menceritakan kepada kami bahwa amanat turun di hati orang-orang kemudian Al-Qur`an turun dan mereka mengetahui dari sunnah lalu beliau menceritakan kami tentang tercabutnya amanah, beliau bersabda: "Seseorang tidur lalu amanah dicabut dari hatinya kemudian membekas seperti jejak kaki lalu ia tidur lagi kemudian amanat dicabut dari hatinya hingga bekasnya tetap ada seperti jejak tangan seperti bara api yang kau gelindingkan di atas kakimu lalu kau melihatnya membengkak padahal tidak ada apa pun didalamnya." Setelah itu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Salam mengambil batu kerikil dan menggelindingkannya di atas kaki, orang-orang pun berbaiat kepada beliau hingga hampir salah seorang di antara mereka tidaklah menunaikan amanat hingga dikatakan: Di Bani Fulan ada seseorang terpercaya, hingga dikatakan pada seseorang: Alangkah kuatnya dia, alangkah cerdasnya ia, alangkah berakalnya ia padahal dihatinya tidak ada sedikit pun keimanan. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Salam bersabda: "Suatu masa telah mendatangiku dan aku tidak perduli siapa diantara kalian yang aku baiat di masa itu, bila ia muslim pastilah agamanya akan mengembalikannya padaku dan bila Yahudi atau Nasrani, para penarik pajaknya akan mengembalikannya padaku, sementara saat ini, aku hanya membaiat fulan dan fulan dari kalian." Berkata Abu Isa: Hadits hasan shahih. (Jami' At-Tirmizi – Hadis ke 2105)

Semoga kita mendapat pengajaran daripada peringatan di atas dan tergolong dari kalangan orang-orang yang mendengar dan membaca nasihat, lalu mereka mengikut mana-mana yang terbaik dan memberi manfaat kepada diri mereka. Amin.

SUMBER

Tidur Selepas Subuh ?




Fuqaha’ memandang makruh tidur selepas dari solat subuh.


Dalil-dalil mereka adalah seperti berikut;


Pertama;


Anak kesayangan nabi SAW, Fatimah bercerita bahawa satu hari Rasulullah SAW lalu di rumahnya dalam waktu subuh, dan didapati bahawa Fatimah sedang berbaring. Lalu Rasulullah SAW menggerakkan Fatimah dengan kakinya sambil berkata;


يا بنية قومي اشهدي رزق ربك ، ولا تكوني من الغافلين ، فإن الله يقسم أرزاق الناس ما بين طلوع الفجر إلى طلوع الشمس


Maksudnya;
“Wahai anak perempuanku, carilah rezeki tuhanmu, dan jangan kamu jadi dari kalangan orang yang lalai. Kerana sesungguhnya Allah SWT membahagikan rezeki-rezeki manusia itu, diantara terbit fajar hingga terbit matahari” [Sya’b Al-Iman : 4550 : sanad hadis ini lemah]


Kedua:


Daripada Aisyah, bahawa Rasulullah SAW bersabda;

باكروا طلب الرزق والحوائج ، فإن الغدو بركة ونجاح



Maksudnya;
“Berpagi-pagilah kamu dalam mencari rezeki, kerana bekerja pada awal siang itu terdapat keberkatan dan kejayaan” [Al-Mu’jam Al-Awsat : 7458]


Ketiga;


Daripada Sokhr Al-Ghamidzi bahawa Rasulullah SAW ada berdoa;


اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا


Maksudnya;
“Ya Allah, berilah keberkatan kepada umatku pada waktu paginya” [Abu daud : 2239]


Keempat:


Kebiasaan Nabi SAW, apabila berlaku peperangan, nabi SAW akan menghantar tentera dalam peperangan, atau ekspedisi pada awal pagi. [Abu Daud : 2239]


Kelima:


Saidina Ali berkata;


مِنْ الْجَهْلِ النَّوْمُ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ


Maksudnya;
“Sebahagian dari kejahilan, tidur pada awal siang”


Wallahua'lam

DOSA MENGUMPAT LEBIH BESAR DARI TIDAK BERTUDUNG



~DOSA MENGUMPAT LEBIH BESAR DARI TIDAK BERTUDUNG~


Kita melihat masyarakat kita menjadikan isu tidak bertudung atau buka tudung sebagai suatu isu paling besar dalam agama sehingga meletakkannya lebih teruk dari perkara lain yang seharusnya kita letakkan lebih teruk dari itu.

Adalah disepakati oleh sebahagian besar fuqaha bahawa rambut termasuk dalam aurat yang wajib ditutup.

Namun, tidak terdapat hadith atau ayat Quran yang khusus yang menyuruh kita mencela atau melaknat wanita yang tidak bertudung tetapi lebih kepada arahan wajib sahaja dan tidak diterangkan tentang kadar dosanya.Dan yang perlu bukanlah melaknat mereka yang tidak menutup aurat tetapi menegur mereka supaya menutup aurat dengan baik.

Saya ingin bertanya kepada pembaca, dosa tidak bertudung dengan berzina yang mana lebih besar? Sudah tentu 100% akan menjawab berzina dosanya lebih besar dari tidak bertudung.

Baik, jika semua bersepakat berzina lebih besar dosanya dari tidak bertudung, apakah dosa yang lebih besar dari berzina tetapi menjadi asam garam biasa dalam masyarakat termasuk dilakukan oleh sebilangan mereka yang tidak bertudung atau bertudung ataupun bertudung labuh? Mari kita merenungi hadith berikut:

Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan, sesungguhnya orang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang diumpat.” (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلا تَجَسَّسُوا وَلا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ (١٢)

12. Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
(Surah al-Hujurat, ayat 12).

Rasulullah Bersabda "Tidak akan masuk syurga Al-Nammam (kaki umpat)" (Riwayat Muslim)

Ingin saya bertanya semua, jika mengumpat itu lebih besar dari berzina, maka adakah mengumpat itu jauh lebih berdosa dari tidak bertudung bagi wanita? Sudah pasti jawapannya YA tanpa khilaf. Mengumpat adalah perbuatan yang sangat zalim kerana orang yang diumpat tidak dapat mempertahankan dirinya akibat diceritakan keburukannya di luar pengetahuannya.

Namun mengapa isu tidak bertudung itu dibincang namun isu keharaman mengumpat diabaikan? Sesetengah manusia apabila ditanya mengapa dia mengata? Dia menjawab: saya katakan hal yang betul bukannya fitnah. Kita jawab kembali agar dia membuka kamus dan mencari maksud mengumpat itu. Mengumpat bermaksud menceritakan keburukan yang dilakukan oleh saudara kita dan mengumpat bererti menceritakan keburukannya yang kita ketahui.

Sesetangah manusia menjawab: itu untuk pengajaran bagi yang mendengarnya. Kita menjawab bahawa kekejian manusia lain boleh disingkap hanya jika keburukan itu melibatkan orang ketiga dan memudaratkan orang lain seperti mencuri, merompak, membuat kisah tipu secara terbuka.

Jadi saya berasa sangat aneh mengapa mengumpat menjadi kebiasaan dan kurang dibincangkan malahan hal tidak bertudung sering dibincangkan (Namun topik tidak bertudung tidak boleh diabaikan). Ada juga golongan pelampau yang menyebut:

"setiap helai rambut tu satu dosa Allah kira"

Saya menyetujui ia haram (menurut jumhur) didedahkan tetapi adakah kita ingin mengambil alih hal mengira dosa?Tugas kita hanyalah menyebarkan kebenaran dan mencengah kemungkaran.Kita bukanlah sekadar perlu mengkritik tetapi kita perlu membaiki keadaan dan suasana masyarakat kita.

Oleh itu marilah kita mengukur taraf keharaman dan taraf besarnya dosa itu berdasarkan Qalam Allah dan Sabda Rasulullah bukannya berdasarkan fikiran manusia dan emosi sendiri. Baik buruk itu ditentukan oleh dalil bukannya emosi manusia. Contohnya dari segi hukum halal mengambil harta rampasan perang dan menjadikan tawanan perang sebagai hamba. Adakah itu baik pada pemikiran anda?

Contohnya Riba diberikan amaran yang keras di dalam Quran namun menjadi asam garam kebiasaan di dalam masyarakat. Namun apabila melihat seseorang tidak bertudung atau buka tudung menjadi ketakutan masyarakat Melayu dan meletakkannya seolah-olah dosa yang paling besar dari dosa yang lain.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (٢٧٨)

278. Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang Yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang Yang beriman.


فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لا تَظْلِمُونَ وَلا تُظْلَمُونَ (٢٧٩)

279. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan Yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

(Al-Baqarah: 278-279)

Jadi ukurlah sesuatu itu berdasar pada Quran dan hadith bukan syok sendiri. Tidaklah saya menyeru supaya isu tudung itu dipinggirkan tetapi meletakkan sesuatu yang lebih besar menjadi kecil adalah tidak wajar.

Sememangnya umpatan itu diizinkan Syarak dalam beberapa kondisi seperti:

1) Orang yang diumpat itu melakukan maksiat yang melibatkan orang ketiga seperti penyeluk saku, pembunuh dan sebagainya. Dikhuatiri akan membahayakan orang lain.

2) Orang yang diumpat itu melakukan fitnah secara terbuka dan kita menjawab fitnahnya secara terbuka agar tidak mempengaruhi orang ramai

3) Perawi hadith yang memalsukan hadith atau meriwayatkan hadith palsu. Ia diizinkan untuk dikritik sebagai pembohong atau pemalsu sekali pun selepas kematiannya kerana ingin menjaga kesahihan hadith. Lagipun ia menyebarkan kepalsuan yang dibaca oleh orang ramai.

Dalam isu mengumpat ini, mungkin orang yang kita umpat atas maksiat peribadinya itu diampunkan dosanya akibat perbuatan baiknya yang lain. Adakah kita pernah melihat kebaikannya?

Hadis Abu Hurairah r.a:
Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya seorang wanita pelacur melihat seekor anjing sedang mengelilingi sebuah telaga pada hari yang sangat panas. Anjing itu berusaha menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Beliau kemudian menggunakan kasutnya yang dibuat dari kulit iaitu khuf untuk mengambil air telaga tersebut sehingga anjing tadi dapat minum. Oleh kerana perbuatannya itu, dosa wanita tersebut diampunkan

Rujukan: Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: Hadith No 4163

Dalam hadis Muslim, seorang lelaki datang kepada Nabi saw dan berkata:

“Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu.”

Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya:

“Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”.

Nabi saw tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi saw menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah


وَأَقِمِ الصَّلاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ (١١٤)

114. Dan dirikanlah sembahyang (Wahai Muhammad, Engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu Yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. perintah-perintah Allah Yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang Yang mahu beringat.

(Surah Hud ayat 114).

Maka ada seorang bertanya:

“Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah?

Jawab Nabi saw:

“Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.

Saya bukanlah bermaksud ingin menyokong golongan wanita yang tidak menutup aurat kerana tidak menutup aurat itu pasti adalah perbuatan berdosa,bukan saja dirinya berdosa tetapi membuatkan orang yang melihat auratnya juga berdosa tetapi saya ingin menyatakan bahawa menutup aurat bukanlah hanya pada pemakaian saja tetapi pada lidah dan perbuatan juga.

Bagi mereka yang tidak menutup aurat janganlah bangga menyatakan hati baik walaupun tidak menutup aurat kerana seandai hati seseorang itu baik pasti akhlak dan amalnya baik dan seandai kotornya hati seseorang maka akan kotor lah juga amal dan akhlak seseorang itu.

"Aurat ditutup,Akhlak dijaga"


Wallahua'lam.

Mengendalikan Perasaan Marah.





Sebenarnya penyakit perasaan marah yang dicela boleh diubati dengan dua perkara iaitu dengan Ilmu dan Amal.

Mengubati marah dengan ilmu itu ada enam perkara:

Pertama: Dengan bertafakkur memikirkan kisah-kisah teladan yang menyentuh tentang buruk baiknya bersifat marah, berfikir tentang keutamaan menahan kemarahan, memberi maaf dan berlemah lembut. Dengan cara ini, akan menjadikannya gemar dan suka kepada pahala yang bakal diperolehinya dari menghiasi diri dengan sifat-sifat tadi. Seterusnya dapat mencegahnya dari bersifat marah.

Kedua: Dengan cara seseorang itu menakutkan dirinya kepada siksaan Allah dengan bekepercayaan bahawa kekuasaan Allah ke atas dirinya lebih besar dari kekuasaannya ke atas manusia lain.

Ketiga: Dengan mengingatkan diri akan akibat permusuhan dan pembalasan dendam.

Keempat: Dengan berfikir tentang bentuk buruk dirinya ketika dia marah dan berfikir tentang betapa kejinya sifat marah itu.

Kelima: Dengan berfikir tentang sebab yang membawanya kepada kemarahan.

Keenam: Dengan menyedari bahawa kemarahannya adalah berpunca dari sikap membanggakan diri sendiri yang tidak sesuai dengan kehendak Allah.
Sementara itu mengubati marah dengan amal perbuatan pula di antaranya ialah:

Dengan membaca:


yang bererti: “Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang kena rejam”.
Inilah ayat yang disuruh baca oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika marah.

Begitu juga sunat dibaca doa ini ketika marah: 

Ertinya: “Wahai Tuhanku, Tuhan nabi Muhammad, ampunilah dosaku, hilangkanlah kemarahan hatiku dan lepaskanlah aku dari fitnah-fitnah yang menyesatkan”.

Jika kemarahan itu tidak hilang dengan membaca yang demikian, maka hendaklah seseorang itu duduk jika dia marah dalam keadaan dia berdiri, dan berbaring jika dia marah dalam keadaan dia sedang duduk, dan dekatkanlah diri dengan bumi, yang mana dari bumi itulah dia dijadikan dan agar dia tahu akan kehinaan dirinya. Kemudian carilah dengan duduk dan berbaring itu ketenangan.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Ingatlah sesungguhnya marah itu adalah bara api di dalam hati anak Adam. Tidakkah engkau melihat kepada kedua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang membengkak? Apabila salah seorang kamu mengalami yang demikian, maka hendaklah dia menlekatkan dirinya ke bumi ”.
(Hadith riwayat At-Tirmidzi)

dan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :
“Apabila seseorang di antara kamu marah dan dia sedang berdiri, maka hendaklah dia duduk, sesungguhnya yang demikian itu akan menghilangkan marahnya, dan jika tidak maka hendaklah di berbaring”
(Hadith riwayat Abu Daud)

Selain daripada itu, cara menghilangkan penyakit marah itu juga ialah dengan mendiamkan diri, Rasululullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Apabila seseorang di antara kamu marah, maka hendaklah dia diam”.
(Hadith riwayat Ahmad)

Oleh kerana kesan-kesan yang tercela yang ditimbulkan oleh sifat marah itu, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menganjurkan kepada umat manusia supaya jangan suka marah, sebab marah itu tidak akan mendatangkan apa-apa yang baik kepada diri, malah ia akan menyebabkan berbagai-bagai bencana, terutama sekali bila perasaan marah itu diletakkan bukan pada tempatnya. 

Selain itu, orang yang suka marah itu sering ditunggangi oleh syaitan yang memaksakan kehendaknya ke atas orang yang marah itu. Manakala orang yang menurut kehendak syaitan itu tidak akan selamat di dunia dan di akhirat.

Wallahua'lam


Design by FARISZ@AZ.Com