.
Promosi
.

Fadzilah Kamsah Keluarkan Kenyataan Boleh Jadi GRO Jika Dharurat ?


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Baru-baru ini saya terlihat beberapa profile facebook yang telah meletakkan isi kandungan ucapan Dato Dr.Fadzilah Kamsah yang berkaitan permasalahan seorang Gro dimana Dato Dr Fadzilah Kamsah mengeluarkan kenyataan Gro tersebut boleh melakukan pekerjaannya tetapi di dalam konsep darurat . Pertama sekali saya agak terkejut kerana ianya keluar di surat khabar online metro malah bersandarkan pengisian di surat khabar tersebut ia menyatakan bahawa penyataan tersebut dibuat oleh Dato Dr.Fadzilah Kamsah (link) . Bersandarkan pengisian tersebut ianya merupakan wawancara wartawan kepada Dato Dr.Fadzilah Kamsah namun nama wartawan tidak pula dinyatakan.

Isu "Gro HALAL Ketika Darurat" bukanlah kali pertama diwar-warkan kepada umum melalui surat khabar kerana sebelum ini juga terdapat seorang yang bergelar Ustazah pernah mengeluarkan kenyataan tersebut.

Namun di dalam kes ini saya perlu bersangka baik,maksud saya bukanlah bersangka baik sehingga menerima penyataan tersebut tetapi bersangka baik terhadap Dato Dr.Fadzilah Kamsah kerana saya masih belum lagi menerima bukti kukuh bahawa kenyataan yang dibuat di surat khabar tersebut benar-benar dari Dato Dr Fadzilah Kamsah kerana bersandarkan pengalaman saya bahawa sebenarnya ramai wartawan yang tidak bertanggungjawab di dalam penulisannya sehingga mengunakan nama orang lain untuk masyarakat menerima penulisan mereka.Ianya juga kerana bersandarkan penulisan tersebut tidak ditulis siapa wartawan yang mewawancara beliau.

Bagaimanapun saya tidak setuju dengan penulisan tersebut kerana ianya jelas bercanggah dengan Islam walaupun di dalam keadaan darurat.Malah kenyataan tersebut sebenarnya boleh membuatkan masyarakat keliru dengan Islam.

Apabila perbuatan tersebut dibenarkan ianya bermakna perzinaan juga dibenarkan.Sedangkan di dalam kaedah Fiqh bahawa seandai berlaku darurat maka membunuh atau bunuh diri dan berzina dilarang.Di sini saya ingin menyatakan empat perkara iaitu

a. Pengharaman zina dalam Islam
b. Darurat menurut pandangan Islam.
c. Seandai zina dibiarkan berleluasa
d. Jalan penyelesaian.

Pengharaman Zina

Islam bukan saja mengharamkan zina malah melarang umatnya mendekati zina.
Ianya bersandarkan Firman Allah S.W.T dalam Surah Al Isra’ ayat ke 32 :


وَلا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلا (٣٢)
32. Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan).

Perbuatan zina juga dilarang bersandarkan Firman Allah dalam Surah Al-Furqaan ayat 68 dan ayat 69 :
وَالَّذِينَ لا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ وَلا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلا بِالْحَقِّ وَلا يَزْنُونَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَامًا (٦٨)
68. Dan juga mereka Yang tidak menyembah sesuatu Yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa Yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali Dengan jalan Yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan Yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;
يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِ مُهَانًا (٦٩)
69. Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di Dalam azab itu Dengan menerima kehinaan, -

Seseorang yang beragama Islam dilarang berzina.Malah Seseorang yang berzina itu tidak akan berzina di dalam keadaan beriman.Ianya bersandarkan hadith :
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى أَخْبَرَنَا إِسْحَاقُ بْنُ يُوسُفَ أَخْبَرَنَا الْفُضَيْلُ بْنُ غَزْوَانَ عَنْ عِكْرِمَةَ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَزْنِي الْعَبْدُ حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَسْرِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَشْرَبُ حِينَ يَشْرَبُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَقْتُلُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ قَالَ عِكْرِمَةُ قُلْتُ لِابْنِ عَبَّاسٍ كَيْفَ يُنْزَعُ الْإِيمَانُ مِنْهُ قَالَ هَكَذَا وَشَبَّكَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ ثُمَّ أَخْرَجَهَا فَإِنْ تَابَ عَادَ إِلَيْهِ هَكَذَا وَشَبَّكَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ

Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Al Mutsanna Telah mengabarkan kepada kami Ishaq bin Yusuf Telah mengabarkan kepada kami Al Fudhail bin Ghazwan dari Ikrimah dari Ibnu Abbas radliallahu 'anhuma mengatakan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Tidaklah berzina seorang hamba yang berzina ketika ia berzina dalam keadaan beriman, dan tidaklah mencuri ketika ia mencuri dalam keadaan beriman, tidaklah ia meminum khamr ketika meminumnya dan ia dalam keadaan beriman, dan tidaklah dia membunuh sedang dia dalam keadaan beriman." Kata Ikrimah, saya bertanya kepada 'Ibnu 'Abbas; 'bagaimana iman bisa dicabut padanya? ' ia menjawab; 'begini', sambil menjalinkan jari-jemarinya, kemudian ia keluarkan, 'maka jika ia bertaubat, iman itu kembali kepadanya, ' sambil ia menjalin jari jemarinya.

(Hadith ke 6311)

Darurat Menurut Pandangan Islam
Saya pernah melihat beberapa pendapat daripada golongan yang pernah menghalalkan perbuatan tersebut atas alasan darurat.Yang kononnya mereka menggunakan kaedah "Darurat Mengharuskan Haram" kerana kaedah ini bersifat khusus di mana ianya harus bagi seseorang yang darurat tetapi haram bagi seseorang yang aman.Namun sebenarnya melalui kaedah tersebut mempunyai batasannya.
Pendapat Ulama di dalam mengariskan panduan di dalam memahami darurat :-
a. Darurat adalah suatu keadaan yang tidak dapat dibendung dan ditakuti akan membinasakan diri atau anggota badan.

b. Darurat adalah suatu keadaan yang membolehkan perkara haram dilakukan untuk menjaga nyawa individu yang berada dalan keadaan darurat samada dengan cara memakannya atau menjadikannya ubat.

c. Darurat adalah suatu keadaan yang tidak mempunyai kaitan dengan maksiat (zina, mencuri dan sebagainya) seperti yang telah disebutkan oleh majoroti Ulama.
Seperti contoh : tidak boleh mengatakan di haruskan berzina atau mencuri disebabkan darurat)

d. Seseorang yang berada dalam keadaan darurat tidak mendapati jalan lain untuk menolak kemudharatan yang akan dihadapinya.

e. Seseorang melakukan perkara haram (selepas darurat) hanya sekadar untuk mengelakkan sesuatu tidak baik berlaku (Ia bermaksudnya tidak boleh berlebih-lebihan).

f. Seseorang yang darurat yang sehingga kehilangan nyawa atau anggota badan seandai dirinya dirinya tidak mengambil sesuatu yang haram.


g. Seseorang yang darurat tidak boleh mengambil bahagian saudaranya yang lain yang juga berada dalam keadaan darurat.

h. Keburukan jika tidak mengambil perkara yang haram tadi lebih besar daripada keburukan yang bakal menimpa jika dia melakukannya (mengambil yang haram)

Seandai zina dibiarkan berleluasa.


Saya amat risau dengan kenyataan di surat khabar online tersebut ini kerana seandai kenyataan tersebut di terima oleh masyarakat dan undang-undang meluluskan masyarakat Islam menjadi Gro atas tiket "Darurat" maka ianya akan mengundang suatu bencana yang besar. Malah saya lihat situasi sekarang bahawa peluang pekerjaan di industri halal semakin sedikit dan industri yang bertentangan dengan Islam semakin rancak di mana pusat hiburan dan kelab malam banyak dibina malah bersandarkan perancangan ekonomi juga telah meluluskan Hub Hiburan di mana ianya termaktub dasar meningkatkan ekonomi melalui pelancongan.

Jika dilihat di dalam ekonomi sekarang yang semakin merundum dan peluang pekerjaan yang semakin sedikit ianya akan mendesak sebilangan masyarakat untuk terjebak dengan pekerjaan yang bercanggah dengan Islam. Bersandarkan beberapa kajian dari pusat pengajian bahawa ramai graduan yang telah tamat pengajian tetapi masih belum mempunyai pekerjaan dan angka tersebut mencecah puluhan ribu. Dari sudut psikologi dan ekonomi ia mampu mendesak sebilangan masyarakat walaupun graduan universiti kerana kehendak di dalam menstabilkan kewangan. Malah bersandarkan isu terbaru "Pelajar IPT menjadi Gro", maka saya amat risau kenyataan tersebut dijadikan "dalil" untuk pelajar IPT yang terbabit dengan masalah tersebut terus meneruskan pekerjaan yang tidak bermoral ini.

Rasulullah telah menceritakan bahawa akan ada suatu zaman bahawa akan adanya golongan yang tidak memperdulikan dari mana rezekinya.Bersandarkan hadith :

Rasulullah telah bersabda : “Akan datang suatu zaman, seseorang itu tidak akan peduli terhadap apa yang ia ambil, apakah itu halal atau haram.” (HR. Bukhari).

Kita juga dituntun mencari rezeki yang halal bersandarkan Firman Allah S.W.T dalam SurahAl-Baqarah Ayat ke 168 dan 172 :


يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الأرْضِ حَلالا طَيِّبًا وَلا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ (١٦٨)
168. Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa Yang ada di bumi Yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana Sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh Yang terang nyata bagi kamu.
(Surah Al-Baqarah Ayat ke 168)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ (١٧٢)
172. Wahai orang-orang Yang beriman! makanlah dari benda-benda Yang baik (yang halal) Yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.
(Surah Al-Baqarah Ayat ke 172)
Dari sudut akhlak pula,saya pasti seandai ia biarkan berleluasa maka perlakuan zina akan bertambah dan semakin bertambah dan masyarakat ketika itu akan menganggap zina suatu perkara yang biasa. Rasulullah S.A.W pernah menceritakan bahawa akan datang suatu zaman zina berlaku secara berleluasa, ianya bersandarkan hadith :

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al -‘As R.A, Sabda Nabi SAW:

لا تقوم الساعة حتى يتسافدوا في الطريق تسافد الحمير . قلت : إن ذلك لكائن ؟ قال : نعم ليكونن.

“Tidak akan berlaku kiamat itu sehingga orang berzina di jalanan sebagaimana keldai. Aku bertanya: Sesungguhnya itu akan terjadi? Jawab baginda: Ya, nescaya akan terjadi”.
(Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan al-Tabarani, hadith sahih)

Ianya perlu ditangani dengan segera bagi memastikan masyarakat tidak terikut-ikut akan kenyataan surat khabar online tersebut.Jika jalan ini dipilih maka ia telah mengundang kemurkaan dan azab Allah S.W.T. Disebutkan dalam hadith Nabi S.A.W :

حَدَّثَنَا حَجَّاجٌ أَنْبَأَنَا شَرِيكٌ عَنْ سِمَاكٍ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَعَنَ اللَّهُ آكِلَ الرِّبَا وَمُوكِلَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَكَاتِبَهُ قَالَ وَقَالَ مَا ظَهَرَ فِي قَوْمٍ الرِّبَا وَالزِّنَا إِلَّا أَحَلُّوا بِأَنْفُسِهِمْ عِقَابَ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya : Telah meneritakan kepada kami Hajjaj telah memberitakan kepada kami Syarik dari Simak dari Abdurrahman bin Abdullah bin Mas'ud dari ayahnya dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, beliau bersabda: "Allah melaknat pemakan riba, yang memberi makan, para saksi dan penulisnya." Ia berkata; Beliau juga bersabda: "Tidaklah nampak pada suatu kaum riba dan perzinaan melainkan mereka telah menghalalkan bagi mereka mendapatkan siksa Allah Azza wa Jalla."
(Hadith ke 3618 riwayat Imam Ahmad)


Jalan penyelesaian.

Jalan penyelesaian perlu dilakukan dengan segera.Pelaku perlu bertaubat dan insyaAllah akan menerima taubat hambaNya.

Bersandarkan perkara terbabit, pelaku melakukannya atas alasan ekonomi yang tidak baik dan mempunyai beberapa masalah yang lain.Di dalam permasalahan ini pelaku tidak boleh terus melakukan pekerjaan terbabit dan pihak berkuasa bertanggungjawab mencari penyelesaian masalah tersebut.Kata-kata membiarkan pelaku berterusan melakukan pekerjaan atas alasan darurat seolah-olah menafikan tangungjawab pihak berkuasa di dalam membantu pelaku dan membiarkan pelaku berusaha berubah sendiri.kita tidak perlu hanya menyalahkan pelaku tetapi sebaiknya pelaku diberikan jalan untuk menyelesaikan masalahnya dan menjauhkan pelaku dari mengulangi pekerjaan.Maka pihak Jabatan Kemajuan Islam Malayisa (JAKIM) , beberapa jabatan agama Islam negeri , pihak zakat dan Ngo Islam perlu memainkan peranan bagi membantu pelaku.

Pelaku bukan saja perlu diberikan bantuan zakat dan pekerjaan tetapi pelaku juga perlu diberi bimbingan supaya pelaku tidak mengulanginya.Dan pemantauan perlu dilakukan juga.


Berkaitan terdapatnya Gro di kalangan pelajar IPT di Malaysia,

Saya berharap pihak kerajaan mengetatkan lagi peguatkuasaan dan gerak kerja perlu dilakukan oleh Ngo Islam bagi memastikan masalah pelajar IPT menjadi Gro dapat dibendung.

Gerakan mahasiswa Islam juga perlu memandang serius 2 permasalah ini kerana gerakan mahasiswa Islam merupakan aset penting di dalam mahasiswa dan negara malah gerakan mahasiswa Islam juga turut diperlukan di dalam bantu membaik pulih dan menyelesaikan masalah terbabit.

Akhir sekali, saya harap Dato Dr. Fadzilah Kamsah dan pihak akhbar online metro memberikan penjelasan berkaitan perkara tersebut ini kerana untuk mengelakkan kecelaruan masyarakat terhadap penyataan tersebut.

Wallahua'lam.

1 ulasan:

arina said...

saye sudah follow kamu , nanti follow balek ok ;)

Design by FARISZ@AZ.Com