.
Promosi
.

Poco-Poco : Pendapat Ustaz Asri Zainal Abidin dan Ustaz Harussani Tidak Saling Bercanggah


Bismillahirrahmaanirrahiim,

Baru-baru telah timbul isu tarian poco-poco di mana Ustaz Harussani telah menyatakan ia haram dan Ustaz Asri Zainal Abidin pula telah menyatakan ia harus.Namun bagaimanapun saya ingin mengemukan hujah bagi kedua-dua pihak tersebut terlebih dahulu untuk para pembaca membaca dan memahami padangan ke dua-dua pihak tersebut.

Pendapat dari Ustaz Asri :

S.S Mufti Perak, Ybg Tan Sri Harussani telah mengharamkan tarian poco-poco atas asas ia berasal dari agama lain yang berunsur pemujaan ruh dan bercirikan agama Kristian. Pihak beliau mungkin ada alasan yang tersendiri. Namun, dengan menghormati hak Negeri Perak, S.S Mufti Perak dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, izinkan saya ingin memberikan pandangan mengenai hal ini. Ini kerana bimbang prinsip asas Islam disalahfahami oleh sesetengah pihak yang lain. Berikut perkara yang perlu difahami oleh kita;

i. Pada asasnya, semua urusan harian (daily life) dalam kehidupan manusia yang membabitkan persoalan keperluan atau kepentingan hidup insan adalah harus dilakukan KECUALI jika terdapat dalil yang jelas mengharamkan hal tersebut. Maka, segala bentuk senaman, tarian, makanan, perhiasan dan seumpamanya adalah harus atau dibolehkan melainkan ada bukti yang jelas dari nas syarak ia diharamkan, atau dimakruhkan.

Justeru itu, Nabi s.a.w tidak mengharamkan banyak budaya Arab yang memberikan faedah kepada insan secara langsung atau tidak langsung, antaranya; nyanyian dan gendang semasa perkahwinan. Dalam hadis al-Bukhari:
Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka Nabi bersabda: “Wahai ‘Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan”. Hadis menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan hiburan yang menjadi amalan dalam sesuatu masyarakat.

najib-poco2.jpg
- Gambar Hiasan

ii. Cumanya, jika ada unsur yang tidak baik, baginda Nabi s.a.w menegur atau menapisnya. Sebab itu apabila baginda Nabi s.a.w mendengar wanita menyanyi dengan lirik
“Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok”. Baginda bersabda: “Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu” (Riwayat al-Bukhari).
Ungkapan dalam lirik tersebut yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w mengetahui apa yang akan berlaku esok adalah salah. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Maka, Nabi s.a.w membetulkan lirik itu, tetapi tidaklah pula mengharamkan nyanyian atau lirik lain yang tidak bercanggah dengan akidah atau hakikat yang sebenar.

iii. Muslim hendaklah tahu tentang keluasan Islam dalam hal ini. Nabi s.a.w apabila mengizinkan hiburan pertunjukan permainan pedang dan lembing dalam masjid pada hariraya, baginda menegaskan:
Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).
Maka, fatwa dalam hal tarian, senaman, permainan dan seumpamanya, hendaklah luas, tidak sempit dan berusaha melihat ruang keizinan yang diberikan oleh Islam. Apatah lagi kita yang hidup dalam masyarakat yang serba rencam dan pelbagai cabaran ini.

iv. Atas asas ini, -pada pandangan saya- tarian poco-poco adalah harus, melainkan jika seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah. Jika setakat tarian kesihatan atau biasa tanpa sebarang kepercayaan yang salah, atau dicampuri perbuatan yang salah seperti arak, seks bebas dan seumpamanya, maka ia dibolehkan dari segi syarak dan tidak wajar diharamkan. Jika ada unsur yang salah, hendaklah dibuat seperti Nabi s.a.w iaitu membuang unsur yang buruk dan meninggalkan unsur yang baik.

v. Jika tarian poco-poco diharamkan atas asas asal-usulnya yang tidak islamik, sekalipun yang mengamalkan tidak meniru atau beriktikad perkara yang salah, maka nanti akan membawa kesan diharamkan aktiviti lain yang mempunyai latar yang tidak Islamik juga seperti tai-chi, chi-kung, kata tae-kwondo dan pelbagai lagi.

vi. Untuk itu, dengan menghormati S.S Mufti Perak dan Jawatankuasa Fatwa Perak, saya ingin menyatakan pandangan yang berbeza iaitu poco-poco yang tidak diamalkan dengan kepercayaan yang salah adalah diharuskan. Adapun, jika dilakukan dengan kepercayaan yang salah, atau diiringi perbuatan yang haram seperti arak dan seks bebas, maka kepercayaan dan amalan yang salah itu wajib dibuang, tarian yang memberikan kebaikan kepada kesihatan itu diizinkan.

Sumber : Dr Maza


Pendapat Ustaz Harussani :



Ustaz Harussani menfatwakan HARAM dengan sebab ia mencirikan agama kristian dan di samping percampuran bebas.


Ulasan saya :

Sebenarnya pandangan kedua-dua pihak tersebut tidaklah saling bercanggah tetapi perbezaan pandangan ini dilihat kerana sudut pandangan kedua-dua belah pihak adalah sudut berbeza dan saya yakin jika Ustaz Harussani melihat pada sudut padangan Ustaz Asri dalam permasalahan ini maka Ustaz Harussani juga akan berpandangan begitu dan jika Ustaz Asri melihat pada sudut pandangan Ustaz Harussani dalam permasalahan ini maka Ustaz Asri juga akan berpandangan begitu juga.

Saya katakan begitu kerana sudut pandangan dalam permasalahan ini adalah luas dan jika diambil pandangan dari kedua-dua pihak maka kita akan bertemu dengan berbagai sudut dalam permasalahan ini.Pandangan Ustaz Harussani adalah pandangannya jika poco-poco dilakukan secara asas dan asal poco-poco bersandarkan kajiannya dan pandangan Ustaz Asri adalah pandanganya jika poco-poco dilakukan dengan menapis segala unsur yang bercanggah dengan syara'.

Permasalahan ini juga seperti seni mempertahankan diri yang di namakan Silat.Jika silat diamalkan dengan pengambilan jin sebagai pendinding dan pencampuran bebas antara lelaki dan wanita serta tidak menutup aurat maka ia jatuh kepada hukum haram tetapi apabila telah ditapis dengan tidak mengamalkan perkara yang bercanggah dengan syara' maka silat jatuh kepada hukum harus malah tiada masalah diamalkan setelah segala perkara yang bercanggah dengan syara' ditapis.

Rumusan

Jika poco-poco di amalkan seperti yang diperkatakan oleh Ustaz Harussani seperti mempunyai kaitan dengan Kristian,pencampuran bebas antara lelaki dan wanita dan tidak menutup aurat serta jika gerak lakunya merangsang hawa nafsu pelihat maka jatuhlah hukumnya haram dan jika poco-poco di amalkan seperti yang diperkatakan oleh Ustaz Asri dengan mengamalkan tetapi menapis perkara yang tidak bercanggah dengan syara' maka ia diharuskan.

Pandangan dan rumusan ini sekadar pandangan yang mencari titik sama pandangan antara Ustaz Asri dan Ustaz Harussani dan menerangkan titik persamaan pandangan kedua-dua belah pihak dan menerangkan mengapa perbezaan pendapat kedua-dua belah pihak bersandarkan "kaca mata" saya.Berharap Majlis Fatwa Kebangsaan menyelesaikan perkara ini dengan sebaiknya dan bukan saja membincangkan perkara kecil tetapi turut membincangkan perkara yang lebih besar untuk kepentingan ummah.

Wallahua'lam.

Pemfitnah Tempatnya Di Neraka?


Bismillahirrahmaanirrahiim,

Fitnah adalah suatu perbuatan menceritakan sesuatu perkara atau menuduh seseorang dengan perkara yang tidak benar atau tanpa bukti yang sahih.

Fitnah sering berlaku apabila seseorang atau sesebuah pihak ingin menjatuhkan seseorang atau pihak yang lain.

Fitnah juga boleh berlaku secara tanpa sedar apabila seseorang yang jahil terhadap sesuatu perkara tetapi tetap berbicara atas perkara yang tidak diketahuinya dan akhirnya ia telah melakukan penuduhan palsu yang menjadikan ia pemfitnah.

Hati-hati terhadap orang atau golongan fasik atau munafik

Kita perlu berhati-hati terhadap orang atau golongan fasik dan apabila mendengar khabar dari golongan fasik atau munafik maka menjadi tanggungjawab kita untuk menyelidikinya sebelum menerima berita tersebut dan sebelum menyebarkannya.Apabila turut menyebarkan berita palsu maka perbuatan tersebut sebenarnya telah menzalimi pihak yang difitnah ia bersandarkan firman Allah di dalam Surah Al Hujuraat ayat 6 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ (٦)

6. Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.

Hati-hati dari menjadi orang fasik atau munafik

Sebagai seorang yang beragama Islam dan beriman maka setiap perbuatan perlulah dilakukan secara berhati-hati kerana setiap perbuatan kita akan dihitung dan dibalas dengan seadil-adilnya oleh Allah maka kita bukan saja perlu berhati-hati terhadap orang atau golongan fasik dan munafik malah kita juga perlu berhati-hati supaya tidak menjerumuskan diri menjadi orang fasik dan munafik.

Perbuatan menyebarkan berita palsu atau fitnah dari orang atau golongan fasik dan munafik akan menjadikan si penyebar tersebut juga dari kalangan orang fasik dan munafik dan ia adalah pendapat Ulama' bersandar takrifan maksud Surah Al Hujuraat ayat 6.

Antara ciri-ciri golongan munafik adalah apabila ia berkata ia berdusta dan perbuatan menyebarkan berita palsu akan menjadikan seseorang itu termasuk dari kalangan orang munafik kerana perbuatan menyebar berita palsu atau fitnah adalah perbuatan pendustaan di dalam berkata-kata.Ia adalah bersandarkan dari Hadith Riwayat Al Bukhari dan Muslim iaitu "Tanda orang-orang munafik itu ada tiga keadaan. Pertama, apabila berkata-kata ia berdusta. Kedua, apabila berjanji ia mengingkari. Ketiga, apabila diberikan amanah (kepercayaan) ia mengkhianatinya".

Perbuatan memfitnah mencampakkan seseorang sebagai ahli neraka.

Perbuatan memfitnah samada ada dengen segaja atau tidak segaja (kerana kejahilan) adalah amat dilarang oleh Allah malah setiap perbuatan akan diperhitungkan dan di balas samaada dibalas di dunia atau pun diakhirat (di akhirat tetap ada pembalasan).

Allah telah memberi penegasan bahawa bahayanya fitnah ia bersandarkan Surah Al Baqarah ayat 191 iaitu "Fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan"

Allah juga telah memberikan penegasan bahawa orang atau golongan yang menyebarkan berita palsu atau fitnah akan memasuki neraka bersandarkan firman Allah di dalam Surah An Nur ayat 19 :

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ (١٩)

19. Sesungguhnya orang-orang Yang suka terhebah tuduhan-tuduhan Yang buruk Dalam kalangan orang-orang Yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).


Rasulullah S.A.W telah menegaskan bahawa orang atau golongan yang menyebarkan fitnah tidak akan masuk syurga ia bersandarkan hadith riwayat Al Bukhari dan Muslim iaitu Rasulullah S.A.W bersabda “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah”

Janganlah menyebarkan sesuatu perkara yang tidak diketahui kesahihannya kerana setiap perbuatan akan dibalas oleh Allah.

وَلا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولا (٣٦)

36. Dan janganlah Engkau mengikut apa Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa Yang dilakukannya.
(Surah Al Isra' : Ayat 36)


Apabila seseorang atau golongan melakukan fitnah dan tidak bertaubat serta tidak mendapat kemaafan dari pihak yang difitnahnya maka orang atau golongan yang melakukan fitnah adalah termasuk dari kalangan ahli neraka ia adalah bersandarkan firman Allah di dalam Surah Al Buruj ayat 10 :

إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ (١٠)

10. Sesungguhnya orang-orang Yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki Yang beriman dan orang-orang perempuan Yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api Yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).


Maka jauhilah dari orang fasik dan munafik dan menjauhkan diri dari menjadi orang fasik dan munafik serta bertaubat seandai telah melakukan tuduhan palsu atau fitnah kerana pintu taubat terbuka luas selagi mana masih bernyawa.

Wallahua'lam.

Design by FARISZ@AZ.Com