.
Promosi
.

Isu IFF.Maklum balas Kepada Fathul Bari Mat Jahya.



Isu fesyen: Ulama muda sertai Umno Jun lalu pertahan isteri Najib.Malaysian Insider — Ulama muda Fathul Bari Mat Jahya, yang menyertai Umno empat bulan lalu, mempertahankan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kontroversi Festival Busana Islam (IFF) yang didakwa pembangkang dan bekas mufti sebagai tersasar daripada konsep agama dan menghina Islam.



Ucapan dari Fathul Bari Mat Jahya :

Pembangkang sengaja memperbesarkan isu itu dengan meletakkan kesalahan tersebut pada bahu Rosmah yang hanya bertindak sebagai penaung IFF.
“Sepatutnya bantahan itu ditujukan kepada penganjur sedangkan beliau (Rosmah) hanya penaung semata-mata,” kata beliau.
“Tanpa diteliti hal tersebut, mereka terus menyerang dan menghukum.
“Adakah ini sikap orang Islam yang mengakui membawa hukum Allah sedangkan jelas perbuatan seperti ini tersasar Islam yang mengajar ketika menasihati seseorang,” kata beliau yang membahaskan usul agama dan pendidikan Perhimpunan Agung Umno 2010 hari ini.
Jelas Fathul Bhari, manusia sentiasa dituntut meneliti terlebih dahulu sesuatu kesilapan yang dilakukan sama ada ia disengajakan ataupun tidak.
“Perbuatan ini tersasar. Islam mengajar etika menasihati, (jadi) mengapa tidak menarik tangan (Rosmah) sendirian, tanya apa yang berlaku, adakah beliau tahu majlis ini.
“Jangan sama sekali dinasihati secara terang-terangan, bukan dengan caci, kutuk dan keji. Islam meletak etika dan adab dalam membetulkan (yang salah),” katanya.

Jawapan dari penulis :

1) Untuk sesebuah produk di cop "Halal" maka pihak pengeluar produk wajib memohon dan meminta kebenaran dari Jabatan Agama Islam dan meminta pendapat para Ulama.
Namun Datin Seri Rosmah Mansur gagal berbuat demikian dalam mengISLAMkan produk tersebut malah mengISLAMkan sesuatu produk tanpa kebenaran Jabatan Agama Islam atau pun meminta pendapat Ulama.Maka adakah perlu Ulama meminta pendapat dan penjelasan dari Datin Seri Rosmah Mansur sebelum mengkritik beliau?

2) Bagi penulis bahawa Fathul Bari Mat Jahya masih tidak ketahui perkara sebenar namun masih berhujah demi menjaga reputasinya sebagai "Ulama Muda Umno". Di dalam mengkonduk sesuatu NGO atau persatuan.Penaung adalah merupakan "orang kuat" di dalam sesuatu NGO atau persatuan.Jadi Datin Seri Rosmah Mansur adalah "orang kuat" ISLAMIC FASHION FESTIVAL kerana beliau adalah penaung ISLAMIC FASHION FESTIVAL.Adakah sesebuah NGO atau pun persatuan membuat program tetapi program tersebut bukanlah hak milik penaung juga?

3) Di sini penulis ingin menjelaskan berkaitan isu menegur pemimpin.Secara dasarnya Datin Seri Mansur bukanlah seorang pemimpin kerana beliau tidak dipilih menjadi pemimpin oleh rakyat melalui pilihanraya.Dato Seri Najib adalah seorang pemimpin tetapi Datin Seri Rosmah Mansur
bukanlah seorang pemimpin.

Bagaimana pun penulis ingin merungkai sedikit berkaitan adab dan cara penegur pemimpin bersandarkan Islam.

Terlebih dulu penulis ingin menjawab berkaitan menegur pemerintah secara 4 mata yang telah dibahaskan oleh Ust Fathul Bahri (Ulama Muda Umno)

Bersandarkan apa yg penulis belajar dan fahami hadith menasihati pemerintah Islam tu memang jelas dan sangat banyak.Hadith itu menyuruh iaitu hendaklah nasihat pemerintah secara 4 mata, tidak boleh nasihat secara terang2an.Tapi hadith tu tertumpu kepada pemerintahan Islam (Negara Islam yang berlandaskan Quran dan Sunnah seperti zaman Khalifah dan Khilafah).

Jadi pada pendapat penulis bahawa pemerintahan yang berlaku sekarang ialah pemerintahan demokrasi malah kepimpinan kerajaan tidak mengikut quran dan sunnah sepenuhnya untuk menjadikan negara ini adalah benar-benar negara Islam dan berkepimpinan Islam.Maka dalil hadith yang digunakan sebagai hujah menegur secara 4 mata tidak boleh diguna pakai kerana tidak mengikut syarat.Malah penggunaan hadith tu juga kurang tepat untuk Datin Seri Rosmah Mansur kerana beliau bukannya salah seorang pemerintah,malah beliau sekadar isteri kepada pemerintah.


Hukum asal mengumpat itu adalah HARAM. namun terdapat beberapa keadaan umpatan yang diharuskan atas tujuan syara'.

a. Sekiranya kesalahan Datin Seri Rosmah Mansur itu kesalahan peribadi, maka haram kita mengumpat atau menegur secara terang-terangan.

b. Apa yangg terjadi ialah hal ini melibatkan fitnah terhadap Islam. melibatkan nama Malaysia sebagai negara Islam contoh (kata Perdana Menteri).Ia bukan lagi kesalahan peribadi yang diharamkan diumpat, tetapi kesalahan ia adalah kesalahan terhadap KESELURUHAN Umat Islam.

c. Di dalam hal ini kritikan terbuka terhadap Datin Seri Rosmah Mansur adalah HARUS.


Al-Imam Nawawi r.a.telah berkata: Ketahuilah! Sesungguhnya mengumpat diharuskan kerana tujuan yang benar dan menurut syariat. Terdapat enam sebab dibenarkan mengumpat: (Rujuk kitab Riyadus Solihin, cetakan Dar al-Taybah,Makkah dan al-Maktabah al-Islamiah, Jordan, 1412 H, muka surat 396-397).

a. Pengaduan penganiayaan : Harus bagi orang yang dizalimi untuk mengadukan kezaliman yang dikenakan keatasnya kepada Sultan atau hakim atau pihak berkuasa yang lain untuk menyekat kezaliman tadi. Contohnya dia berkata: Si fulan ini telah menzalimiku dengan begini-begini.

b. Meminta pertolongan untuk mencegah kemungkaran dan menarik si pelaku maksiat kepada kebenaran: Harus bagi seseorang menceritakan keburukan seseorang kepada orang yang mampu untuk mencegah kemungkaran itu dengan katanya sebagai contoh : Si fulan itu telah buat sekian-sekian, maka kamu laranglah dia. Tujuannya menceritakan keburukan itu adalah untuk menghilangkan kemungkaran itu. Tetapi jika tujuannya bukan untuk itu (iaitu bukan untuk mencegah kemungkaran) maka ia adalah haram.

c. Meminta Fatwa atau cara penyelesaian: Harus baginya berkata bagi orang yang ditanyainya itu (sebagai contoh Ayahku atau abangku atau suamiku atau si fulan telah menzalimiku dengan begini-begini. Adakah haknya untuk berbuat demikian? Dan apakah caranya untuk aku selesaikan masalah ini, atau apakah caranya untuk aku dapatkan hak aku, atau apakah caranya untuk aku sekat kezaliman ini atau sebagainya? Semua ini adalah harus kerana keperluan. Tetapi yang lebih baik ialah dengan berkata: Apakah pendapatmu tentang seorang lelaki atau seseorang atau suami (tanpa menyebutkan nama dan menentukan sesiapa) yang berbuat begini-begini? Ini kerana tujuannya untuk bertanya tadi telahpun terhasil sekalipun tidak dinyatakan seseorang yang tertentu. Walau bagaimanapun menyatakan dengan jelas tentang seseorang yang dimaksudkan itu adalah harus hukumnya.

d. Mengingatkan muslim yang lain daripada kejahatan atau memberi nasihat: Terdapat beberapa situasi. Antaranya ialah menyatakan kecacatan dan kecelaan yang terdapat pada perawi-perawi hadis atau para saksi. Maka perkara ini adalah harus dengan ijmak kaum muslimin bahkan menjadi wajib jika perlu. Antaranya juga ialah apabila diminta pandangan untuk berbesan (mencari menantu dan pasangan hidup), bersyarikat, memberikan amanah barang-barang, bergaul, berjiran atau sebagainya, maka wajib bagi orang yang diminta pandangan itu (memberitahu segalanya dan) tidak menyembunyikan hal keadaannya yang sebenar, bahkan dia perlu memberitahu keburukan-keburukan yang ada pada orang itu dengan niat nasihat. Begitu juga apabila seseorang itu melihat orang yang ingin menuntut ilmu (agar faham agama), tetapi telah merujuk atau menuntut ilmu kepada orang yang salah seperti orang yang melakukan bid’ah atau orang fasik, maka hendaklah dinasihati penuntut ilmu tersebut tentang keburukan gurunya itu agar ia terselamat daripada kemudharatan. Akan tetapi, hal ini banyak yang disalah gunakan. Ini kerana ada yang memberitahu kepada orang lain kerana kedengkiannya dan syaitan pula telah menipu dan memesongkannya seolah-olah itu adalah nasihat. Maka hendaklah berhati-hati dengan perkara ini.

Dan termasuk dalam bab ini juga ialah seseorang pemimpin yang tidak memimpin dengan baik, samada kerana dia tidak layak atau kerana dia adalah seorang yang fasiq atau seorang yang cuai atau sebagainya. Maka wajib diberitahukan kepada orang atasannya untuk memecatnya dan menggantikannya dengan orang yang lebih sesuai atau supaya orang atasan itu mengetahui keadaannya dan memberikan tindakan yang sewajarnya dan tidak tertipu dengan tindak tanduknya. Juga supaya dia (orang atasan) memberikan dorongan kepada pemimpin itu supaya lebih istiqamah atau akan ditukar (digantikan dengan orang lain).

e. Jika dia seorang yang jelas menunjukkan kefasiqannya atau bid’ahnya: Contohnya orang yang menunjuk-nunjuk bahawa dia meminum arak atau orang yang terang-terang merampas harta orang ramai, memungut cukai (duit pau dan sebagainya), mengenakan cukai secara zalim atau mengetuai dalam perkara-perkara kejahatan. Maka harus disebutkan kejahatan-kejahatan yang dilakukannya secara terang-terangan itu. Tetapi haram menyebut lain-lain keaiban yang ada padanya melainkan jika ia juga diharuskan dengan sebab-sebab lain yang telah disebutkan sebelum ini.

f. Untuk dikenali: Apabila seseorang yang sudah masyhur dengan gelaran seperti seseorang yang matanya berair atau kabur, atau yang tempang, yang tuli, yang buta, yang juling atau sebagainya, maka harus disebutkan pengenalan mereka tadi. Tetapi haram jika disebutnya dengan niat untuk mencelanya. Dan jika boleh mengenalkan mereka dengan cara atau pengenalan lain yang lebih elok, maka itulah yang lebih baik.

Keenam-enam sebab (yang diharuskan mengumpat ini) telah disebutkan oleh para ulama’ dan kebanyakannya ulama’ telah berijma’ mengenainya dan dalilnya adalah berdasarkan hadis-hadis yang sahih dan masyhur
.

Imam nawawi merupakan ulama' fiqh dan hadith. beliau juga orang yg telah mengumpulkan hadith 40 atau hadith ar'bain. kredebliti beliau dalam menyampaikan sesuatu adalah tidak diragui.Bukan imam nawawi sahaja yang berpandangan begitu, tapi Imam Al-Ghazali juga dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin juga berpandangan demikian malahan ijma' juga mengatakan demikian.

Memang benar hadith yang melarang kata-kata umpatan terhadap saudaranya. amat banyak sekali hadith-hadith dan juga ayat quran yang melarang secara jelas umpatan dilakukan.oleh kerana tu, HUKUM ASAL umpatan adalah HARAM.

Walau bagaimanapun, berdasarkan hadith juga maka ulama' telah berpandangan bahawa beberapa sebab dan hal maka dibolehkan umpatan itu dilakukan. seperti yang penulis telah simpulkan di atas, umpatan itu hendaklah kerana orangg yang melakukan kesalahan itu bukan kesalahan bersifat peribadi dan kesalahan orang itu berkait rapat dengan hak seseorang, apa lagi kalau ia menjadi fitnah kepada umat Islam keseluruhannya.

Sekiranya umpatan itu haram secara total, maka tidak akan kedengaran kisah2 dalam riwayat hadith dibawah. jelas menunjukkan kata-kata yang memberitahu tentang keburukkan seseorang.

Dalil:

Firman Allah Taala:


لا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلا مَنْ ظُلِمَ وَكَانَ اللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا (١٤٨)
"Allah tidak suka kepada perkataan yang tidak baik diperdengarkan, kecuali dari orang-orang yang teraniaya" (al-Nisaa', ayat 148)

Hadis:

"Aisyah r.a. berkata: Seseorang datang minta izin kepada nabi s.a.w. (masuk ke rumah). Lalu nabi s.a.w. bersabda: Izinkanlah. Dia adalah sejahat-jahat orang di kalangan kaumnya." (riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis:

"Aisyah r.a. berkata: Hindun binti Uthbah (isteri Abu Sufian) berkata kepada nabi s.a.w.: Sesungguhnya Abu Sufian seorang yang kedekut dan tidak memberi cukup belanja kepada ku dan anak-anakku, kecuali kalau saya ambil di luar pengetahuannya. Nabi s.a.w. menjawab: Ambillah secukupmu dan ank-anakmu dengan sederhana." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis:

"Fatimah binti Qais berkata: Saya datang kepada Nabi s.a.w. bertanya tentang dua orang yang meminang saya, iaitu Abu Jahm dan Muawiyah. Maka Nabi s.a.w. bersabda: Adapun Muawiyah, dia adalah seorang yang miskin, manakala Abu Jahm, dia adalah seorang yang suka memukul isteri." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis di atas menunjukkan bahawa menceritakan keburukkan orang lain untuk mencapai maksud yang dibenarkan oleh syarak. Dan tiada pilihan lain melainkan memberitahu aib orang berkenaan. SEKIRANYA keharaman umpatan adalah MUTLAK, maka ia TETAP HARAM tanpa ALASAN.


Akhir kata penulis bukanlah ingin mempertikaikan dan meremehkan pendapat Fathul Bari Mat Jahya selaku Ulama Umno.Penulis menghormati beliau namun penulis berharap beliau benar-benar memahami tanggungjawab dan bertanggungjawab sebagai Ulama.Penulis berharap pembaca berlapang dada dalam membaca secebis pendapat dari penulis.

Wallahua'lam.

1 ulasan:

Unknown said...

sekadar melihat di bumi jiran...

Design by FARISZ@AZ.Com