.
Promosi
.

DOSA MENGUMPAT LEBIH BESAR DARI TIDAK BERTUDUNG



~DOSA MENGUMPAT LEBIH BESAR DARI TIDAK BERTUDUNG~


Kita melihat masyarakat kita menjadikan isu tidak bertudung atau buka tudung sebagai suatu isu paling besar dalam agama sehingga meletakkannya lebih teruk dari perkara lain yang seharusnya kita letakkan lebih teruk dari itu.

Adalah disepakati oleh sebahagian besar fuqaha bahawa rambut termasuk dalam aurat yang wajib ditutup.

Namun, tidak terdapat hadith atau ayat Quran yang khusus yang menyuruh kita mencela atau melaknat wanita yang tidak bertudung tetapi lebih kepada arahan wajib sahaja dan tidak diterangkan tentang kadar dosanya.Dan yang perlu bukanlah melaknat mereka yang tidak menutup aurat tetapi menegur mereka supaya menutup aurat dengan baik.

Saya ingin bertanya kepada pembaca, dosa tidak bertudung dengan berzina yang mana lebih besar? Sudah tentu 100% akan menjawab berzina dosanya lebih besar dari tidak bertudung.

Baik, jika semua bersepakat berzina lebih besar dosanya dari tidak bertudung, apakah dosa yang lebih besar dari berzina tetapi menjadi asam garam biasa dalam masyarakat termasuk dilakukan oleh sebilangan mereka yang tidak bertudung atau bertudung ataupun bertudung labuh? Mari kita merenungi hadith berikut:

Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan, sesungguhnya orang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang diumpat.” (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلا تَجَسَّسُوا وَلا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ (١٢)

12. Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
(Surah al-Hujurat, ayat 12).

Rasulullah Bersabda "Tidak akan masuk syurga Al-Nammam (kaki umpat)" (Riwayat Muslim)

Ingin saya bertanya semua, jika mengumpat itu lebih besar dari berzina, maka adakah mengumpat itu jauh lebih berdosa dari tidak bertudung bagi wanita? Sudah pasti jawapannya YA tanpa khilaf. Mengumpat adalah perbuatan yang sangat zalim kerana orang yang diumpat tidak dapat mempertahankan dirinya akibat diceritakan keburukannya di luar pengetahuannya.

Namun mengapa isu tidak bertudung itu dibincang namun isu keharaman mengumpat diabaikan? Sesetengah manusia apabila ditanya mengapa dia mengata? Dia menjawab: saya katakan hal yang betul bukannya fitnah. Kita jawab kembali agar dia membuka kamus dan mencari maksud mengumpat itu. Mengumpat bermaksud menceritakan keburukan yang dilakukan oleh saudara kita dan mengumpat bererti menceritakan keburukannya yang kita ketahui.

Sesetangah manusia menjawab: itu untuk pengajaran bagi yang mendengarnya. Kita menjawab bahawa kekejian manusia lain boleh disingkap hanya jika keburukan itu melibatkan orang ketiga dan memudaratkan orang lain seperti mencuri, merompak, membuat kisah tipu secara terbuka.

Jadi saya berasa sangat aneh mengapa mengumpat menjadi kebiasaan dan kurang dibincangkan malahan hal tidak bertudung sering dibincangkan (Namun topik tidak bertudung tidak boleh diabaikan). Ada juga golongan pelampau yang menyebut:

"setiap helai rambut tu satu dosa Allah kira"

Saya menyetujui ia haram (menurut jumhur) didedahkan tetapi adakah kita ingin mengambil alih hal mengira dosa?Tugas kita hanyalah menyebarkan kebenaran dan mencengah kemungkaran.Kita bukanlah sekadar perlu mengkritik tetapi kita perlu membaiki keadaan dan suasana masyarakat kita.

Oleh itu marilah kita mengukur taraf keharaman dan taraf besarnya dosa itu berdasarkan Qalam Allah dan Sabda Rasulullah bukannya berdasarkan fikiran manusia dan emosi sendiri. Baik buruk itu ditentukan oleh dalil bukannya emosi manusia. Contohnya dari segi hukum halal mengambil harta rampasan perang dan menjadikan tawanan perang sebagai hamba. Adakah itu baik pada pemikiran anda?

Contohnya Riba diberikan amaran yang keras di dalam Quran namun menjadi asam garam kebiasaan di dalam masyarakat. Namun apabila melihat seseorang tidak bertudung atau buka tudung menjadi ketakutan masyarakat Melayu dan meletakkannya seolah-olah dosa yang paling besar dari dosa yang lain.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (٢٧٨)

278. Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang Yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang Yang beriman.


فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لا تَظْلِمُونَ وَلا تُظْلَمُونَ (٢٧٩)

279. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan Yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

(Al-Baqarah: 278-279)

Jadi ukurlah sesuatu itu berdasar pada Quran dan hadith bukan syok sendiri. Tidaklah saya menyeru supaya isu tudung itu dipinggirkan tetapi meletakkan sesuatu yang lebih besar menjadi kecil adalah tidak wajar.

Sememangnya umpatan itu diizinkan Syarak dalam beberapa kondisi seperti:

1) Orang yang diumpat itu melakukan maksiat yang melibatkan orang ketiga seperti penyeluk saku, pembunuh dan sebagainya. Dikhuatiri akan membahayakan orang lain.

2) Orang yang diumpat itu melakukan fitnah secara terbuka dan kita menjawab fitnahnya secara terbuka agar tidak mempengaruhi orang ramai

3) Perawi hadith yang memalsukan hadith atau meriwayatkan hadith palsu. Ia diizinkan untuk dikritik sebagai pembohong atau pemalsu sekali pun selepas kematiannya kerana ingin menjaga kesahihan hadith. Lagipun ia menyebarkan kepalsuan yang dibaca oleh orang ramai.

Dalam isu mengumpat ini, mungkin orang yang kita umpat atas maksiat peribadinya itu diampunkan dosanya akibat perbuatan baiknya yang lain. Adakah kita pernah melihat kebaikannya?

Hadis Abu Hurairah r.a:
Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya seorang wanita pelacur melihat seekor anjing sedang mengelilingi sebuah telaga pada hari yang sangat panas. Anjing itu berusaha menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Beliau kemudian menggunakan kasutnya yang dibuat dari kulit iaitu khuf untuk mengambil air telaga tersebut sehingga anjing tadi dapat minum. Oleh kerana perbuatannya itu, dosa wanita tersebut diampunkan

Rujukan: Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: Hadith No 4163

Dalam hadis Muslim, seorang lelaki datang kepada Nabi saw dan berkata:

“Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu.”

Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya:

“Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”.

Nabi saw tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi saw menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah


وَأَقِمِ الصَّلاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ (١١٤)

114. Dan dirikanlah sembahyang (Wahai Muhammad, Engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu Yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. perintah-perintah Allah Yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang Yang mahu beringat.

(Surah Hud ayat 114).

Maka ada seorang bertanya:

“Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah?

Jawab Nabi saw:

“Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.

Saya bukanlah bermaksud ingin menyokong golongan wanita yang tidak menutup aurat kerana tidak menutup aurat itu pasti adalah perbuatan berdosa,bukan saja dirinya berdosa tetapi membuatkan orang yang melihat auratnya juga berdosa tetapi saya ingin menyatakan bahawa menutup aurat bukanlah hanya pada pemakaian saja tetapi pada lidah dan perbuatan juga.

Bagi mereka yang tidak menutup aurat janganlah bangga menyatakan hati baik walaupun tidak menutup aurat kerana seandai hati seseorang itu baik pasti akhlak dan amalnya baik dan seandai kotornya hati seseorang maka akan kotor lah juga amal dan akhlak seseorang itu.

"Aurat ditutup,Akhlak dijaga"


Wallahua'lam.

6 ulasan:

nabilah said...

salam,mohon share article tidur selepas subuh dan mengendali marah di facebook..tq

Ismi Azraf said...

Waalaikumsalam. dibenarkan share mana-mana artikel di dalam blog ini ke facebook.

Wallahualam.

Anonymous said...

dear farisz.... rasanya kita tak perlu membandingkan satu hukum dengan hukum yang lain... apa yg penting setiap umat Allah perlu patuh pada setiap suruhanNYA dan bukannnya patuh pada beberapa perkara sahaja....membuka aurat dan mengumpat apatah lagi meninggalkan solat, hukumannya adalah tetap berdosa kerana kita melanggar perintah Allah.... jika kita sangat menyayangi jasad dan intelektual yg kita ada yg dianugerahkan oleh ILAHI, maka marilah kita bersama-sama patuh pada SETIAP suruhanNYA......

Ismi Azraf said...

Terima Kasih Anonymous November 23, 2010 5:31 AM
Sebaiknya setiap comment diberi nama dan link profile.(Untuk memastikan yang memberikan comment bertanggungjwab atas apa yang dicomment)

Namun anda perlu memahami setiap apa penulis tulis dan bukannya pembaca sekadar membaca bersandarkan pemikiran pembaca semata-mata.

Fahami keadaan semasa dan sikap masyarakat.
Memang setiap dosa akan mendapat pembalasan dan memang WAJIB mencengah segala kemungkaran.
NAMUN adakah penulis menulis perlu mencengah sebilangan dosa dan sebilangan dosa tidak perlu dicengah?ADAKAH PENULIS MENULIS BEGITU?

Tajuk ini ditulis bagi memastikan masyarakat bukan saja menutup auratnya dengan pakaian tetapi turut menutup lidahnya dari mengumpat atau memfitnah.Kerana kebanyakannya masyarakat kita lebih mempersoalkan penutupan aurat tetapi lupa menutup lidah ketika perlu ditutup.

Wallahualam.

Anonymous said...

Camne plak kalau ade yang mengumpat sesetangah pemimpin?
Sebab kalau kita lihat ade beberapa pemimpin mengumpat pemimpin yang lain.

Ismi Azraf said...

Seandai apa yang diumpatkan itu tidak benar maka ia menjadi fitnah.
Jika apa yang diumpatkan itu adalah salahlaku kepimpinan seperti rasuah maka ia dibenarkan (sila rujuk 6 perkara yang dibenarkan diumpat di kitab ihya' ulumuddin)

Wallahua'lam.

Design by FARISZ@AZ.Com