.
Promosi
.
Showing posts with label Amal. Show all posts
Showing posts with label Amal. Show all posts

Kelebihan Sayidina Umar Dalam Ilmu Agama


Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a : ” Rasulullah SAW pernah bersabda : ” Di dalam tidur ku, aku melihat mangkuk penuh susu diberikan kepada ku dan aku meminumnya hingga membasahi sebahagian jemari ku. Kemudian aku memberikan sisanya kepada Umar bin al-Khattab.” (Para sahabat nabi SAW bertanya : ” Apakah tafsiran anda (terhadap mimpi itu) ya Rasulullah SAW? Nabi SAW menjawab : ” Itulah ilmu (agama)”.

Penerangan :

Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang tafaqquh (mendalam ilmu agamanya). Dalam hal ini cuba kita renung sejenak tentang kisah Sayidina Umar Al Khattab RA. Beliau adalah orang yang paling disegani dan paling digeruni semasa zaman jahiliah. Demikian juga setelah beliau memeluk Islam, beliau tetap disegani dan ditakuti termasuk syaitan sendiri. Apakah rahsianya Sayidina Umar boleh mencapai tahap tersebut? Jawapannya tidak lain ialah kerana beliau benar-benar mendalami ilmu agama. Sungguh banyak pengajaran yang dapat diambil daripada kisah beliau. Di antaranya, kisah tentang beliau berkata dengan Hajar Al Aswad, kisah beliau tidak memotong tangan pencuri kerana terlalu fakir, kisah beliau memotong kedua-dua tangan pencuri kerana telah berdusta atas nama Allah, kisah beliau mengubah destinasi setelah mendapat berita wabak taun di negeri yang akan dituju, kisah tentang beliau berhijrah dan lain-lain. Beliau dikenal sebagai khalifah yang paling adil. Mukmin yang mendalam ilmu agamanya memang lebih ditakuti oleh syaitan berbanding dengan orang yang banyak beribadah tetapi jahil tentang seluk-belok agama. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW bermaksud : Seorang Faqih adalah lebih digeruni oleh syaitan daripada seribu orang 'Abid (orang yang banyak beribadat)” (at- Tirmidzi dan Ibnu Majaah)

Wallahua'lam.

Perbaiki Wudhuk


Dari Umar bin al-Khattab r.a katanya : ” Ada seorang lelaki berwudhuk tetapi ada kakinya yang tidak terkena air selebar kuku. Dan hal itu dilihat oleh Nabi s.a.w. Disebabkannya baginda bersabda : ”Ulang kembali wudhukmu dengan sempurna dan sebagus-bagusnya!” Orang itu pun berwudhuk kembali dan sesudah itu dia solat”.

(Riwayat Muslim)

Penerangan :

Wudhuk mempunyai enam rukun dan syarat sah wudhuk bergantung kepada enam rukun tersebut. Jika tertinggal atau sengaja meninggalkan salah satu daripada rukun itu, maka wudhuk dikira tidak sah. Rukun-rukun wudhuk ialah:

1. NIAT, iaitu diniatkan di dalam hati untuk mengambil wudhuk yang ertinya "Sahaja aku mengangkat hadath kecil kerana Allah Ta'ala".

2. MEMBASUH MUKA, mengalirkan air serta meratakannya keseluruh muka yang dibasuh, dari dahi sampai ke dagu (jika ada janggut hendaklah diratakan seluruhnya) dan dari telinga kanan hingga ke telinga kiri- disunatkan sebanyak 3 kali.

3. MEMBASUH KEDUA TANGAN HINGGA KE SIKU, mengalir dan meratakan air dari bahagian siku hingga ke hujung jari. Mulakan dari tangan kanan dahulu diikuti tangan kiri, juga dilakukan sebanyak - 3 kali.

4. MENYAPU AIR DI KEPALA iaitu menyapu kepala dengan air sekurang-kurangnya tiga helai rambut dan yang lebih baik ialah menyapu seluruh kepala. - 3 kali.

5. MEMBASUH KEDUA KAKI, mengalir dan meratakan air kepada dua kaki serta celah-celah jari kaki tumit hingga buku lali, mulakan sebelah kanan dahulu. - 3 kali.

6. TERTIB iaitu mengikut turutan, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan.

Wallahua'lam.

Kekayaan Harta dan Kekayaan Ilmu


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya : “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda : ” Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain”.

(Riwayat al-Bukhari)

 Penerangan :

Setiap perbuatan ada matlamatnya masing-masing. Tetapi apa yang kita inginkan dalam hidup ini? Ilmu, wang atau selainnya? Perumpamaan orang yang kaya harta dan menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada setiap butir terdapat seratus biji. Hakikatnya, kaya dan miskin akan menguji tahap keimanan seseorang. Tidak semestinya yang kaya kurang imannya dan yang miskin pula kuat imannya atau sebaliknya. Jika direnung manakah yang lebih utama, ilmu atau harta? Tentu sekali ilmu kerana seperti kata sayidina Ali: “Ilmu akan menjaga diri mu, sementara harta adalah sebaliknya, kamu yang harus menjaganya.” Namun alangkah baiknya jika kita kaya kedua-duanya. Kaya harta dan kaya ilmu kerana kedua-dua mampu menaikkan kedudukan kita bukan sahaja di sisi manusia bahkan di sisi Allah SWT iaitu dengan cara memanfaatkan kurniaan Allah itu ke jalan yang diredhai-Nya.

Wallahua'lam.

Permudahkan Segala Urusan Berkaitan Islam


Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya :

“Permudahkanlah semua urusan dan jangan menyusahkannya, berilah khabar gembira dan janganlah membuat sesuatu yang menyebabkan orang lain lari.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Penerangan :

1. Islam adalah agama yang mudah dan senang diamalkan oleh setiap golongan, oleh itu hendaklah ia dipermudahkan dan janganlah dijadikan sebagai sesuatu bebanan.

2. Umat Islam hendaklah sentiasa menyampaikan perkhabaran yang menggembirakan dan janganlah menimbulkan perkara-perkara yang membawa kepada kesulitan hidup.

3. Islam menuntut agar umatnya berdakwah ke jalan Allah dengan penuh hikmah dan bijaksana supaya ia boleh diterima dengan mudah dan rela.

Wallahua'lam.

Carilah Rezeki Dari Usaha Sendiri


Dari Zubair bin Awwam r.a, dari nabi s.a.w sabdanya : ”Apabila kamu menyiapkan seutas tali, lalu pergi mencari kayu api, kemudian dibawanya seikat kayu di punggungnya lalu dijualnya dan Allah memberi kecukupan bagi keinginannya, itulah yang lebih baik baginya daripada ia meminta-minta kepada orang ramai diberi ataupun tidak.”

(Riwayat al-Bukhari)

Penerangan :

Orang yang berjaya ialah orang yang mampu menempuh berbagai rintangan dan cabaran dalam hidup. Walau daripada mana ceruk asal seseorang itu, sekiranya dia rajin berusaha maka kejayaan akan menjadi miliknya. Bukankah rezeki Allah S.W.T ada di mana-mana. Cuma yang bakal menentukan hanyalah ‘mahu’ atau ‘tidak’ kerana kemalasan akan menjunamkan seseorang itu ke lembah kehinaan. Begitu juga dengan sikap malu hendaknya biarlah bertempat. Kata orang malu bertanya sesat jalan, malu makan perut lapar dan malu dalam mencari rezeki alamat hidup akan melarat. Sesungguhnya Islam memandang mulia pada manusia yang bekerja membanting tulang empat kerat untuk mencari sesuap nasi atau rezeki yang halal berbanding dengan mereka yang hidup meminta-minta daripada orang lain.

Wallahua'lam.

Taat


Dari Abu Hurairah Abdul Rahman bin Sakhr r.a katanya : ”Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : ”Apa yang aku tegahkan kamu daripadanya maka hendaklah kamu menjauhinya dan apa yang aku perintahkan kamu dengannya maka hendaklah kamu kerjakan daripadanya apa yang kamu mampu. Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu oleh sebab banyaknya pertanyaan mereka dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka”.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Penerangan :

1. Segala apa yang dilarang oleh Rasulullah S.A.W adalah semua perkara yang haram dari segala macam bentuk maksiat dan kejahatan sama ada berhubung dengan diri, masyarakat dan lain-lainnya. Ada yang berkait dengan harta benda seperti larangan mencuri, merompak, meragut atau membazirkan wang di mana setiap larangan itu ada hikmah dan faedahnya.

2. Manakala segala bentuk suruhan pula hendaklah dikerjakan menurut kadar yang dapat dilakukan sesuai dengan kekuatan atau kemampuan yang ada. Sesiapa pun tidak harus meninggalkan atau mencuaikannya tetapi mestilah dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dengan penuh ketaatan.

3. Punca kebinasaan umat-umat sebelum ini adalah disebabkan perselisihan terhadap nabi-nabi mereka. Mereka suka membantah dan menentang apa-apa yang disampaikan serta banyak mengemukakan pertanyaan yang bukan-bukan sehingga menimbulkan banyak masalah dan akhirnya menyulitkan keadaan.

Wallahua'lam.


Balasan Meninggalkan Solat Asar


Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a beliau mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda : ”Orang yang luput solat Asarnya samalah ertinya dia telah kehilangan keluarga dan harta kekayaannya”.

(Riwayat al-Bukhari)

Penerangan :

Solat adalah perkara yang diwajibkan dalam Islam malah ia termasuk dalam salah satu daripada rukun Islam yang lima. Dari sudut pelaksanaan solat, seseorang itu tidak boleh sewenang-wenangnya meninggalkan solat kecuali mereka yang menghadapi suasana darurat yang membolehkan ia berbuat demikian sebagaimana yang dilakukan Nabi s.a.w dan umat Islam Madinah ketika berlaku peperangan Khandak yang sungguh sengit di mana pihak musuh telah mengepung Kota Madinah. Demi menjaga keselamatan mereka terpaksa menunda solat Asar hingga ke waktu Maghrib.

Wallahua'lam.


Pengertian Aspek Ibadat


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : ”Bertafakur sesaat adalah lebih baik daripada beribadat setahun”.

(Riwayat ad-Dailani)

Penerangan :

1. Islam menyediakan suatu jalan yang sempurna untuk manusia beribadat.Di mana setiap aspek ibadat bersesuaian dengan kekuatan dan keupayaan yang ada pada seseorang.

2. Ibadat bukan hanya himpunan amal seperti sembahyang, puasa, haji, doa dan sumpamanya tetapi apa jua perkara yang dilakukan dengan niat atau tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

3. Ibadat terbahagi kepada 4 aspek iaitu:

i) ibadat akal-ia dicapai dengan cara berfikir, merenung, mengkaji sesuatu makhluk Allah serta memerhatikan keindahan dan keagungan ciptaan Allah S.W.T.

ii) Ibadat jiwa- ia dilakukan dengan adanya sifat khusyuk, tawakkal, redha terhadap qadha dan qadar, bersyukur, ikhlas, cinta, belas kasihan, al-khauf (takut) dan raja’ (mengharap). Tanpa sifat-sifat ini maka sesuatu ibadat itu dikatakan ibadat yang mati dan tidak diterima oleh Allah S.W.T.

iii) Ibadat badan – iaitu segala amalan anggota tubuh termasuklah segala gerak-geri seperti mata, telinga, mulut, hidung, kaki, tangan dan sebagainya. Termasuk juga segala perkataan dan perbuatan.

iv) Ibadat harta- iaitu dengan cara mengeluarkan zakat, mengerjakan haji, memberi nafkah dan mengorbankan harta fi sabilillah, bersedekah, dan menyediakan kemudahan untuk orang ramai (wakaf).

Wallahua'lam.


Melagukan Bacaan al-Quran


Dari Abu Hurairah r.a bahawa dia mengatakan, Rasulullah s.a.w pernah bersabda : ” Tiadalah keizinan Allah untuk mengerjakan sesuatu yang dapat menyamai izin-Nya kepada nabi s.a.w untuk melagukan bacaan al-Quran.”

(Riwayat Muslim)

Penerangan :

Adat manusia menyukai akan seni lagu walaupun mempunyai selera dan rentak yang berbeza. Lagu dan irama biasanya dapat memberi keselesaan kepada perasaan manusia yang mendengar. Membaca Al-Quran dengan tartil atau memperelokkan bacaannya dengan lagu atau tajwid adalah sangat-sangat dituntut dalam cara membaca al-Quran, kerana tujuan utama membacanya ialah memikirkan maksud-maksudnya. Cara membacanya dengan tartil akan dapat menolong memahami maksud-maksudnya. Sebab itu Ummu Salamah r.a. ketika membaca al-Quran sering mencontohi bacaan Rasulullah s.a.w dan membacanya seolah-olah ia sedang mentafsirkan huruf demi huruf dari al-Quran itu. Oleh itu orang yang sentiasa membaca al-Quran dengan baik dan sempurna akan mempunyai hati dan jiwa yang lembut kerana ia memahami tentang ayat-ayat yang berunsur ancaman dan kecaman serta janji-janji Allah yang terkandung dalam ayat yang dibacanya itu.

Wallahua'lam.

Kebersihan Dan Kesucian Dalam Islam


Dari Aisyah r.a, katanya : Rasul S.A.W bersabda : “ Sepuluh perkara dari (peraturan-peraturan kebersihan) yang dituntut oleh agama, iaitu: menggunting misai, membiarkan janggut(tumbuh panjang serta mengemaskannya), bersugi(membersihkan gigi), menyedut air-membersihkan hidung, memotong kuku, membasuh buku-buku jari, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, dan beristinjak”. Kata Mas`ab (salah seorang rawi hadis ini) : “dan aku lupa akan perkara yang kesepuluh, aku fikir perkara itu) tidak lain dari berkumur-kumur”.

(Riwayat Muslim)

Penerangan :

1. Perkara-perkara tersebut ada yang wajib hukumnya dan ada yang sunat

2. Perkara yang wajib ialah beristinjak, dan yang lain ialah sunat

3. Apa yang penting, menjaga kebersihan adalah dituntut oleh syarak kerana ia sebahagian daripada iman.

Wallahua'lam.

Islam dan Pekerjaan


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Berikanlah upah kepada pengambil upah (orang yang bekerja) sebelum kering peluhnya”

(Riwayat Ibn Majah)

Penerangan :

1. Bekerja merupakan keharusan mutlak yang harus dilakukan oleh seorang muslim untuk mendapat rezeki yang telah disediakan oleh Allah S.W.T, bahkan kalau perlu, seseorang itu digalakkan merantau ke pelbagai pelusuk dunia untuk meraih rezeki yang halal. Hal ini juga termasuk dalam kontek jihad.

2. Bekerja adalah senjata utama untuk memerangi kemiskinan, modal dalam mencapai kekayaan dan faktor dominan dalam mencipta kemakmuran hidup.

3. Seseorang itu dituntut supaya redha dengan pekerjaannya dan menjalankan kerja-kerja yang telah diamanahkan dengan tekun untuk menjamin kebersihan upah yang diterima daripada pekerjaan tersebut. Oleh itu, sesuatu pekerjaan yang dibuat hendaklah diniatkan kerana Allah.

4. Terdapat sekurang-kurangnya 3 jenis balasan bagi mereka yang kerjanya menjadi ibadah iaitu:

5. Mendapat balasan dalam bentuk material (gaji)

6. Mendapat balasan dalam bentuk kepuasan kerana dapat menyiapkan atau menyelesaikan kerjanya

7. Mendapat pahala untuk bekalan di hari akhirat.

8. Dalam konteks hubungan majikan-pekerja pula Islam melihat bahawa pekerja itu bukanlah sebagai hamba kepada manusia lain untuk menghasilkan sesuatu pengeluaran kerana penghambaan hanya dikhususkan untuk Allah S.W.T. Oleh itu hendaklah ada keadilan antara majikan dan pekerja di mana gaji yang diberi hendaklah setimpal dengan kerja serta tanggungjawab yang dipikul oleh pekerja tersebut bahkan kalau perlu sebelum keringatnya kering kerana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: Alangkah besar dosanya orang yang menahan-nahan makan (upah dan sebagainya) orang yang menjadi tanggungjawabnya.” .

Wallahua'lam.

Harta Jambatan Ibadah


Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : ”Sesungguhnnya bagi setiap
umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan”.

(Riwayat at-Tirmidzi)

Penerangan :

1. Harta kekayaan, kemewahan dan pangkat menyilaukan pandangan serta dapat mengubah pendirian seseorang.

2. Islam melarang umatnya bersikap terlalu mementingkan kehidupan dunia dan mengutamakan kehidupan peribadi lebih daripada kepentingan masyarakat. Sedangkan pemberian atau nikmat-nikmat keduniaan itu sebenarnya adalah suatu bentuk ujian daripada Allah SWT untuk mengukur sama ada manusia menghargainya dengan bersyukur atau tenggelam dalam kelekaan hingga menjadi kufur terhadap Allah SWT.

3. Oleh itu setiap individu perlu berwaspada agar tidak menjadikan harta kekayaan sebagai alasan untuk melupakan perintah dan suruhan Allah SWT sebaliknya menjadikan nikmat-nikmat tersebut sebagai faktor pendorong untuk melakukan kebajikan dan amal soleh yang dituntut dengan ikhlas bersungguh-sungguh kerana golongan seperti ini bukan sahaja akan beruntung di dunia bahkan mendapat ganjaran besar yang di akhirat kelak.

Wallahua'lam.

Hukum dan Adab Memberi Salam


Keperluan Memberi Salam

Allah subhanahu wa Ta’aalaa berfirman :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا لاَ تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتىَّ تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَى أَهْلِهَا ذَالِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya.Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat”.
(Surah an-Nur : Ayat 27)

Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa sallam bersabda :

حَقُّ اْلمُسْلِمِ عَلَى اْلمُسْلِمِ سِتٌّ إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ . .

“Hak seorang muslim atas muslim lainnya ada enam perkara: (1) Apabila engkau menjumpainya engkau berikan salam kepadanya. (2) Apabila ia mengundangmu engkau memperkenankan undangannya. (3) Apabila ia meminta nasihat, engkau menasehatinya. (4) Apabila ia bersin dan memuji Allah, hendaklah engkau mentasymitkannya (berdoa untuknya). (5) Apabila ia sakit hendaklah engkau menjenguknya. (6) Apabila ia mati hendaklah engkau hantarkan jenazahnya.” (HR. Muslim 2162)

وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا إِنَّ اللهَ كَانَ عَلَى كُلِّ شَيْئٍ حَسِيبًا

“Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan lebih baik, atau balaslah (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu”.
(Surah An-Nisa : Ayat 86)

Perlu kita sedari bersama bahawa mengucapkan salam ‘Assalamu’alaikum’ dalam Islam bukan hanya sekedar sapaan sahaja, tetapi lebih mulia dari itu. Ia merupakan sebahagian dari ibadah kepada Allah subhanahu wata’ala, yang jelas mempunyai nilai dan pahala yang besar di sisi-Nya. Ucapan salam itu adalah doa. Sedangkan doa itu sendiri merupakan inti ibadah dan diberikan pahala bagi siapa yang mengucapkannya.

Salam juga merupakan amalan dan tradisi (sunnah) para Rasul-rasul Allah dan para malaikat-Nya. Sebagaimana Allah subhanahu wata’ala berfirman tentang kisah para malaikat yang datang bertemu dengan Nabi Ibrahim ‘alaihissalam:

هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَاهِيمَ الْمُكْرَمِينَ () إِذْ دَخَلُوا عَلَيْهِ فَقَالُوا سَلَامًا قَالَ سَلَامٌ قَوْمٌ مُنْكَرُونَ

“sudahkah sampai kepadamu (Wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim Yang dimuliakan?ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam Dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” ia menjawab: salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata Dalam hati): mereka ini orang-orang Yang tidak dikenal.”
(Surah Adz-Dzariyat : Ayat 24 - Ayat 25)

Sahabat Abu Hurairah radhiyallahu’anhu meriwayatkan bahwa Nabi shallallahu’alaihi wasallam telah bersabda,

لَمَّا خَلَقَ اللَّهُ آدَمَ قَالَ: اذْهَبْ فَسَلِّمْ عَلَى أُولَئِكَ النَّفَرِ مِنَ الْمَلَائِكَةِ جُلُوسٌ فَاسْتَمِعْ مَا يُحَيُّونَكَ فَإِنَّهَا تَحِيَّتُكَ وَتَحِيَّةُ ذُرِّيَّتِكَ. فَقَالَ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ فَقَالُوا السَّلَامُ عَلَيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ فَزَادُوهُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ (متفق عليه)

“Tatkala Allah menciptakan Adam ‘alaihissalam, Dia berfirman, “Pergilah dan ucapkanlah salam kepada para Malaikat yang sedang duduk, lalu perhatikanlah apa yang mereka akan jawab, sesungguhnya jawaban (para malaikat itu) adalah salam (penghormatan)mu dan anak keturunanmu. Maka Adam ‘alaihissalam berkata, “Assalamu’alaikum”, lalu mereka (para malaikat) menjawab, “Assalamu’alaika wa Rahmatullah”. Mereka menambahkan: “Warahmatullah”.
(HR Bukhari 6227 dan Muslim 2841).

Salam juga merupakan ajaran dan amalan Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam dan para shahabat ridwanullahu’alaihim.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرو بْنِ العَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْإِسْلَامِ خَيْرٌ قَالَ تُطْعِمُ الطَّعَامَ وَتَقْرَأُ السَّلَامَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَمَنْ لَمْ تَعْرِفْ (متفق عليه)

Dari ‘Abdullah bin ‘Amru bin al’Ash radhiyallahu’anhuma bahwa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam, “ajaran Islam yang manakah yang paling baik”? Beliau menjawab, “Kamu memberi makan (orang yang membutuhkannya), dan kamu mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”.
(HR Bukhari 4684 dan Muslim 993).

* Digalakkan mengucapkan salam tiga kali jika memberi salam kepada khalayak yang ramai supaya semua dapat mendengarinya.

Di dalam hadits Anas disebutkan

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا تكلم بكلمة أعادها ثلاثا، وإذا أتى على قوم فسلم عليهم سلم عليهم ثلاثا) رواه البخاري

“Sesungguhnya Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam apabila ia mengucapkan suatu kalimat, ia mengulanginya tiga kali. Dan apabila ia datang kepada suatu kaum, ia memberi salam kepada mereka tiga kali”
(HR. Al-Bukhari).

* Sunnah bagi orang menaiki kenderaan memberikan salam kepada orang yang berjalan kaki dan orang yang berjalan kaki memberi salam kepada orang yang duduk, orang yang sedikit kepada yang banyak, dan orang yang lebih muda kepada yang lebih tua.

Demikianlah disebutkan di dalam hadits Abu Hurairah yang muttafaq’alaih.

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ليسلم الصغير على الكبير، والمار على القاعد, والقليل على الكثير. وفي رواية: والراكب على الماشي. متفق عليه.

Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah yang muda memulai memberi salam kepada yang tua, yang berjalan kepada yang duduk dan yang sedikit kepada yang lebih banyak..” Dan dalam suatu riwayat: “dan yang bertunggangan (berkenderaan) kepada yang berjalan.”
(Bukhari 6231, 6234 dan Muslim 2160).

* Disunatkan memberi salam dalam nada tegas dan jelas dan demikian pula ketika menjawabnya, kecuali jika di sekitarnya ada orang-orang yang sedang tidur. Ini bermakna tiada istilah “menjawab salam di dalam hati” kerana kita hendaklah menjawab salam yang diberikan supaya pemberi salam dapat mendengar jawapan salam tersebut.

Di dalam hadits Miqdad bin Al-Aswad disebutkan di antaranya:

فكان نحتلب فيشرب كل إنسان منا نصيبة، وبرفع للنبي صلى الله عليه وسلم نصيبه قال: فيجيء من الليل فيسلم تسليما لا يوقظ نائما، ويسمع اليقظان. رواه مسلم

“dan kami pun memerah susu (binatang ternak) hingga setiap orang dapat bahagian minum dari kami, dan kami sediakan bahagian untuk Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam Miqdad berkata: Maka Nabi pun datang di malam hari dan memberikan salam yang tidak membangunkan orang yang sedang tidur, namun dapat didengar oleh orang yang bangun”.
(HR. Muslim).

* Disunatkan memberikan salam di waktu masuk ke suatu majlis dan ketika hendak meninggalkannya.

Kerana hadith menyebutkan:

إذا انتهى أحدكم إلى المجلس فليسلم، فإذا أراد أن يقوم فليسلم فليست الأولى بأحق من الثانية (رواه أبوداود وصححه الألباني)

“Apabila salah seorang kamu sampai di suatu majlis hendaklah memberikan salam. Dan apabila hendak keluar, hendaklah memberikan salam, dan tidaklah yang pertama lebih berhak daripada yang kedua.
(HR. Abu Daud dan disahihkan oleh Al-Albani).

* Disunatkan memberi salam di saat masuk ke suatu rumah sekalipun rumah itu kosong

Allah telah berfirman yang ertinya:

فَإِذَا دَخَلْتُم بُيُوتاً فَسَلِّمُوا عَلَى أَنفُسِكُمْ

“Dan apabila kamu akan masuk ke suatu rumah, maka ucapkanlah salam atas diri kalian”
(Surah An-Nur(24) : Ayat 61)

Ucapan Ibnu Umar Radhiallaahu ‘anhuma :

إذا دخل الرجل البيت غير المسكون فليقل: السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين (رواه البخاري فى الأداب المفرد وصححه الألباني)

“Apabila seseorang akan masuk ke suatu rumah yang tidak berpenghuni, maka hendaklah ia mengucapkan : Assalamu `alaina wa `ala `ibadillahis shalihin”
(HR. Bukhari di dalam Al-Adab Al-Mufrad, dan disahihkan oleh Al-Albani).

* Dimakruhkan memberi salam kepada orang yang sedang buang hajat

kerana hadits Ibnu Umar Radhiallaahu ‘anhuma yang menyebutkan

أن رجلا مرّ رسول الله صلى الله عليه وسلم يبول فسلّم : فلم يرد عليه (رواه مسلم)

“Bahawasanya ada seseorang yang datang ketika Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam sedang buang air kecil, dan orang itu memberi salam. Maka Nabi tidak menjawabnya”.
(HR. Muslim)

* Disunnatkan memberi salam kepada kanak-kanak,

kerana hadith yang bersumber dari Anas Radhiallaahu ‘anhu menyebutkan:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يفعله (متفق عليه)

Bahawasanya ketika ia melalui sekumpulan kanak-anak dia memberi salam, dan dia mengatakan: “Demikianlah yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam”. (Muttafaq’alaih).

* Tidak memulakan memberikan salam kepada Ahlu Kitab, sebab Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

لا تبدءوا اليهود والنصارى بالسلام …. (رواه مسلم)

” Janganlah kalian terlebih dahulu memberi salam kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani…..” (HR. Muslim). Dan apabila mereka yang memberi salam maka kita jawab dengan mengucapkan “wa `alaikum” saja, kerana sabda Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

* Disunnatkan memberi salam kepada orang yang kamu kenal ataupun yang tidak kamu kenal. Di dalam hadits Abdullah bin Umar Radhiallaahu ‘anhu disebutkan bahwasanya ada seseorang yang bertanya kepada Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

أي الإسلام خير؟ قال : تطعم الطعام وتقرأ السلام على من عرفت ومن لم تعرف (متفق عليه

“Islam yang manakah yang paling baik? Jawab Nabi: Engkau memberikan makanan dan memberi salam kepada orang yang telah kamu kenal dan yang belum kamu kenal”. (Muttafaq’alaih).

* Disunatkan menjawab salam orang yang menyampaikan salam melalui orang lain.

فقد جاء رخل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: إن أبي يقرئك السلام فقال: عليك وعلى أبيك السلام (رواه أبو داود وحسنه الألباني)

“Pada suatu ketika seorang lelaki datang kepada Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam lalu berkata: Sesungguhnya ayahku menyampaikan salam untukmu. Maka Nabi menjawab : “`alaika wa `ala abikas salam ( HR . Abu dawud dan dihasankan Al Albani )

* Dilarang memberi salam dengan isyarat kecuali ada uzur, seperti sedang solat, bisu atau orang yang akan diberi salam itu jauh jaraknya. Di dalam hadits Jabir bin Abdillah Radhiallaahu ‘anhu diriwayatkan bahwasanya Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لا تسلموا تسليم اليهود والنصارى فإن تسليمهم إشارة بالكفوف (رواه البيهقي وحسنه الألباني)

“Janganlah kalian memberi salam seperti orang-orang Yahudi dan Nasrani, karena sesungguhnya pemberian salam mereka memakai isyarat dengan tangan”.
(HR. Al-Baihaqi dan dinilai hasan oleh Al-Albani).

* Disunnatkan kepada seseorang berjabat tangan dengan saudaranya. Hadits Rasulullah mengatakan:

ما من مسلمين يلتقيان فيتصافحان إلا غفر لهما قبل أن يتفرقا (رواه أبوداود وصححه الألباني)

“Tiada dua orang muslim yang saling berjumpa lalu berjabat tangan, melainkan diampuni dosa keduanya sebelum mereka berpisah”
(HR. Abu Daud dan dishahihkan oleh Al-Albani).

* Dianjurkan tidak menarik (melepas) tangan kita terlebih dahulu di saat berjabat tangan sebelum orang yang diajak berjabat tangan itu melepasnya. Hadits yang bersumber dari Anas Radhiallaahu ‘anhu menyebutkan:

كان النبي صلى الله عليه وسلم إذا استقبله الرجل فصافحه لا ينزع يده من يده حتى يكون الرجل الذي ينزع (رواه الترمذي وصححه الألباني)

“Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam apabila ia diterima oleh seseorang lalu berjabat tangan, maka Nabi tidak melepas tangannya sebelum orang itu yang melepasnya….”
(HR. At-Tirmidzi dan dishahihkan oleh Al-Albani).

* Haram hukumnya membungkukkan tubuh atau sujud ketika memberi penghormatan, karena hadits yang bersumber dari Anas menyebutkan:

قال رجل : يا رسول الله احدنا يلقا صديقه أينحني له ؟ قال صلى الله عليه وسلم لا . قال فيلتزمه ويقبله ؟ قال : لا . قال : فيصافحه ؟ قال : نعم إن شاء ( رواه الترمذي وصححه الألباني)

Ada seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, kalau salah seorang di antara kami berjumpa dengan temannya, apakah ia harus membungkukkan tubuhnya kepadanya? Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Tidak”. Orang itu bertanya: Apakah ia merangkul dan menciumnya? Jawab nabi: Tidak. Orang itu bertanya: Apakah ia berjabat tangan dengannya? Jawab Nabi: Ya, jika dia hendak berjabat.
(HR. At-Turmudzi dan dinilai shahih oleh Al-Albani).

* Haram berjabat tangan dengan wanita yang bukan mahram. Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam ketika akan dijabat tangani oleh kaum wanita di saat baiat, beliau bersabda:

إني لا أصافح النساء (رواه الترمذي والنسائي وصححه الألباني)

“Sesung-guhnya aku tidak berjabat tangan dengan kaum wanita”.
(HR.Turmudzi dan Nasai, dan dishahihkan oleh Albani).

Harus hukumnya mencium tangan ibu bapa ketika bersalam dan tidak ada seorang ulamak muktabar pun yang mengatakan haram.

Begitu juga harus mencium tangan pemimpin yang adil dan ulamak dan juga orang2 soleh sebagaimana yang disebut oleh ulamak didalam kitab2 mereka.

Ulamak berdalil dengan perbuatan para sahabat mencium tangan Nabi saw dan sesama sahabat r.a.

Rujukan Kitab Fatawa Imam Nawawi dan Fatawa Universiti Al-Azhar

wallahua’lam

Hukum Berjabat Tangan, Hukum mencium tangan, Hukum membongkokkan badan dan Hukum bersujud kepada selain Allah

1. Hukum Berjabat Tangan/Bersalam
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Abu Qatadah berkata, aku bertanya kepada Anas r.a.: “Apakah para sahabat Rasulullah s.a.w. dahulu saling berjabat tangan” Dia menjawab: “Ya.”
(HR Bukhari)

Dari al-Barraa’ bin Azib r.a., katanya telah sabda Rasulullah s.a.w.:
“Tidaklah dua orang Islam bertemu lalu saling bersalaman/berjabat tangan, melainkan diampuni dosa keduanya sebelum mereka berpisah.” (HR Abu Daud, al-Tarmizi & Ibnu Majah)

Dari Athaa’ bin Abdullah al-Khurasani, katanya Nabi s.a.w. telah bersaba:
“Hendaklah kamu saling berjabat tangan, nescaya hilanglah rasa dengki. Hendaklah kamu saling menmberi hadiah, nescaya kamu saling mencintai dan hilanglah permusuhan.”
(Hadis Mursal riwayat Imam Malik)

Dari al-Barra”bin al-Azib r.a., katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesungguhnya jika dua orang Islam bertemu, lalu saling berjabat tangan, saling mengasihi dan saling menasihati, nescaya bertebaranlah dosa-dosa yang ada pada kedua orang itu.”?
(HR Ibnu Sunni)

Hadis di atas adalah di antara hadis yang menunjukkan bahawa berjabat tangan ketika bertemu adalah sunat hukumnya.

2. Hukum Mencium Tangan
Al-Nawawi mengatakan bahawa dianjurkan agar mencium tangan orang yang kemuliaannya disebabkan oleh perkara yang bersangkut paut dengan agama. Seperti seorang yang zuhud, alim/ulamak, soleh, warak dan sebagainya. Ini termasuklah kedua ibubapa kita yang muslim.

Dimakruhkah mencium tangan seseorang yang dipandang mulia dengan sebab-sebab keduniaan, seperti orang kaya, orang yang berpangkat, berkedudukan tinggi dan sebagainya. Perbuatan ini amat tidak disukai.

Dari Zari’ r.a., yang termasuk di dalam rombongan Abdul Qais, dia berkata: “Kamipun berlumba-lumba turun dari kenderaan kami, lalu kami mencium tangan dan kaki Nabi s.a.w.”


3. Hukum Membongkokkan Badan
Adalah dimakruhkan membongkokkan badan kerana mahu menghormati seseorang.

Dari Anas r.a., katanya: Seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w., jika seseorang dari kita bertemu saudaranya atau temannya, apakah dia perlu membungkuk kepadanya? Baginda menjawab: “Tidak.” Orang itu bertanya: “Apakah dia perlu memeluk dan menciumnya?” Baginda menjawab “Tidak.” Orang itu bertanya: “Apakah perlu dia memegang tangannya dan bersalam dengannya?” Baginda menjawa: “Ya.”
(HR al-Tarmizi)

Hadis di atas bermaksud:
1. Makruh membungkukkan badan kepada seseorang.
2. Makruh memeluk dan mencium seseorang kecuali jika kembali dari bermusafir
3. Sunat berjabat tangan ketika bertemu.

Kita sering melihat mereka yang berada di atas pentas kerana berucap atau membuat persembahan. Sebelum atau selepas berucap atau membuat persembahan, mereka akan menundukkan badan sebagai tanda hormat kepada para hadirin. Perbuatan ini adalah dimakruhkan.

4. Hukum Bersujud Kepada Selain Allah
Umat Islam dilarang bersujud kepada selain dari Allah, samada ia berbentuk peribadatan atau penghormatan sahaja.

Jika ditanya, bagaimana dengan sujud para malaikat kepada Adam? Bukankah itu sujud dari makhluk kepada makhluk?

Jawab: Sujud yang dilakukan oleh para malaika kepada Adam bukanlah sujud yang berbentuk penyembahan (ibadah), tetapi sebagai penghormatan. Perkara ini disepakati oleh para ahli tafsir.

Lagi pula sujud malaikat kepada Adam adalah atas titah perintah Allah yang wajib dipatuhi.

Sehingga kita sendiripun, jika seandainya Allah memerintahkan kita agar sujud kepada seseorang, kita wajib mematuhinya. Jika perintah sujud itu diperintahkan oleh selain Allah, maka haram melakukan.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Seandainya aku diperintahkan agar seseorang itu boleh sujud kepada seseorang lain, nescaya aku akan memerintahkan perempuan sujud kepada suaminya.” (HR al-tarmizi)

Hadis di atas menunjukkan:
1. Larangan bersujud kepada selain dari Allah, kerana tiada arahan berbuat demikian.
2. Suami wajib ditaati dan dipatuhi oleh si isteri.

Ahli taFsir mengatakan ada bebepa kemungkinan di dalam masalah sujud malaikat kepada Adam:

1. Malaikat benar-benar sujud kepada Adam dengan meletakkan dahinya ke tanah. Bukan sebagai penyembahan tetapi sebagai penghormatan serta melaksanakan perintah Allah.
2. Boleh jadi juga para malaikat itu pada hakikatnya bersujud kepada Allah, tetapi dengan menjadikan Adam sebagai kiblatnya. Ini sebagaimana kita diperintahkan bersujud kepada Allah dengan menjadikan ka’bah sebagai arah kiblah kita.
3. Ada juga yang mengatakan bahawa sujud malaikat kepada Adam bukanlah sujud dalam ertikata bersujud yang sebenarnya. Tetapi ia berbentuk sujud maknawi, iaitu dengan berikrar dan mengiktiraf kelebihan Adam.

Perlakuan sujud kerana menghormati (bukan penyembahan/ ibadah) memang berlaku pada umat zaman dahulu. Termasuk pada zaman Ya’qub dan Yusof, firman Allah Taala menceritakan mengenai Yusof a.s. :

“Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf”
(Surah Yusof : Ayat 100)

Tradisi bersujud kerana hormat ini berlaku hinggalah berakhir pada zaman Rasulullah s.a.w. Umat Muhamad di larang bersujud kepada selain dari Allah.

Ketika para sahabat melihat pokok dan unta bersujud kepada Rasulullah s.a.w., mereka berkata: “Kami adalah lebih patut bersujud kepadamu.”Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak sepatutnya seseorang itu bersujud kepada selain dari Allah Tuhan seru sekelian alam.”

Perkara ini juga pernah terjadi kepada Mu’az bin Jabal yang baru sampai dari Syam, lalu bersujud kepada Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda: “Apa ini”? Mu’az menjawab: “Wahai Rasulullah s.a.w., aku baru datang dari Syam, aku pernah melihat mereka (penduduk Syam) bersujud kepada pembesar dan pendeta mereka. Aku ingin melakukan itu terhadapmu.” Baginda bersabda: ” Jangan lakukan. Jika aku diperintahkan sesuatu itu boleh bersujud kepada sesuatu, nescaya aku akan memerintahkan agar wanita bersujud kepada suaminyaa£á|.al-hadis.”
(HR Ibnu Majah)

Oleh itu, bersujud kepada selain dari Allah adalah haram hukumnya. Tidak kira samada sujud itu kerana penyembahan atau hanya semata-mata penghormatan.

Rumusan :

1. Berjabat tangan adalah sunat.
2. Mencium tangan adalah dianjurkan kepada mereka yang dimuliakan dari segi keagamaan. Dimakruhkan jika kemuliaan itu dari segi keduniaan.
3. Membongkokkan badan kerana menghormati seseorang adalah makruh.
4. Bersujud kepada selain dari Allah adalah haram.
5. Apabila kita berjabat tangan dengan ibu atau bapa kita, kita terpaksa membongkokkan badan kerana mahu mencium tangannya. Kita membongkokkan badan bukan atas tujuan menghormatinya. Hal ini dibolehkan, cuma tidak boleh berlebih-lebihan.

Wallahua’lam…

Rujukan :

1. Al-Quran
2. Tafsir al-Qurthubi
3. Sahih Bukhari
4. Al-Azkar
5. Ahsanul Kalam

Rujukan Tambahan :

Ustadz Ridwan

Ustazah Azimah

Ustaz Aziz

Mencegah Kezaliman / Keganasan


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : ” Janganlah salah seorang daripada kamu berpeluk tubuh dalam keadaan seseorang itu dibelasah secara zalim, kerana laknat akan turun ke atas orang yang menyaksikan ketika mereka tidak mempertahankannya.”

(Riwayat at-Tabrani)

Penerangan :

1. Perbuatan zalim adalah perbuatan yang mendatangkan kesusahan atau kemudaratan kepada orang lain atau mungkin dalam bentuk mengambil manfaat dari orang lain dengan cara yang salah ataupun melakukan sesuatu terhadap orang lain yang menimbulkan rasa sakit kerana perlakuan tersebut memberi keseronokan atau kepuasan kepada yang melakukannya. Pemerasan, pemaksaan dan penipuan demi keuntungan peribadi juga termasuk dalam perbuatan yang zalim.

2. Perbuatan zalim lazimnya dilakukan oleh orang yang mempunyai kelebihan dan kekuatan berbanding dengan orang yang dizalimi. Ini kerana, fenomena kezaliman tidak akan berlaku sekiranya orang yang hendak dizalimi mempunyai kelebihan atau kekuatan yang sama. Kelebihan atau kekuatan ini boleh diukur dari pelbagai aspek, seperti kekuatan fizikal, kekayaan, kebijaksanaan, kuasa ataupun pengaruh.

3. Realiti masyarakat hari ini mengamalkan gaya hidup individualistik sehingga sanggup membiarkan penganiayaan dan kezaliman berlaku di hadapan mata mereka sendiri. Sikap ‘tidak mengambil endah’ ini tidak wajar berlaku kerana selaku anggota sesebuah masyarakat setiap individu mestilah bersikap saling mengambil berat, sayang-menyayangi dan belas-kasihan di antara satu sama lain.

4. Doa orang yang dizalimi terhadap orang yang menzaliminya sangat mudah dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Oleh itu perbuatan zalim sebenarnya merupakan perbuatan yang sangat merugikan kepada si pelakunya. Allah S.W.T boleh memberi hukuman ke atas si pelaku tersebut ketika di dunia lagi seperti nasib yang menimpa Firaun. Malah di akhirat kelak orang-orang yang berlaku zalim akan menerima nasib yang sangat malang kerana kebaikan yang dimilikinya akan berpindah kepada orang-orang dizaliminya. Sekiranya dia tidak mempunyai kebaikan, maka keburukan orang-orang yang teraniaya akan terlempar kepadanya dan akan ditanggung olehnya.

Wallahualam.

Kumpulan Kebaikan


Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda maksudnya : ”Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari Akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya. Dan sesiapa mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga. Tidak berkumpul satu kaum di dalam rumah dari rumah-rumah Allah dan saling belajar dan mengajar antara satu sama lain melainkan turunlah ketenangan atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut (nama-nama) mereka di sisi-Nya. Dan sesiapa yang kurang amalannya maka nasab (keturunannya) tidak akan dapat menyempurnakannya.”

(Riwayat Muslim)

Penerangan :

Masyarakat Islam adalah seperti satu jasad yang setiap anggota akan merasai apa yang dirasai oleh orang lain malah mereka juga bersama-sama berkongsi kegembiraan. Maka antara yang menjadi kewajipan penting seorang Muslim ialah agar segera melepaskan kesempitan yang dialami oleh saudaranya. Dengan cara ini masyarakat yang sempurna dan tolong-menolong dapat diwujudkan. Sebaliknya mencari-cari keburukan orang lain dan menyebarkannya pula adalah satu tanda kemunafikan kerana disebabkan perkara tersebut sesuatu kejahatan yang dilakukan itu boleh menjadi pemangkin kepada orang yang sepertinya agar lebih agresif dan liar dengan kejahatan hingga seluruh masyarakat menjadi rosak. Sesungguhnya balasan Allah SWT kepada makhluk-Nya adalah dalam bentuk yang menyerupai amalan yang dilakukan itu.

Wallahua'lam

Tiada Tolak Ansur Dalam Maksiat


Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : ”Sesungguhnya kecacatan pertama yang berlaku pada Bani Israil ialah apabila seorang lelaki melihat lelaki lain melakukan maksiat, dia akan berkata: ”Wahai si fulan! Takutlah kepada Allah dan tinggalkan kerja maksiat yang engkau sedang lakukan itu kerana ia tidak harus bagi engkau untuk melakukannya. Kemudian pada keesokan harinya lelaki yang menegah itu melihat lelaki yang melakukan maksiat itu masih melakukan maksiat yang sama, tetapi dia tidak mencegahnya kerana barangkali pelaku maksiat itu merupakan orang yang memberinya makan dan minum atau rakan baiknya. Apabila Bani Israel melakukan perbuatan seperti itu, maka Allah telah memperlagakan sesama hati mereka dan kemudian Allah melaknat mereka melalui lidah para anbiya’-nya.”
(Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Penerangan :

1. Allah SWT melarang kita daripada bertolak ansur dan berkompromi dalam perbuatan maksiat kerana perkara tersebut merupakan suatu dosa besar dan mengundang laknat daripada-Nya.

2. Segala kebaikan dan kesenangan yang diperolehi adalah rahmat daripada Allah SWT. Oleh itu, sebagai hamba-Nya kita wajib bersyukur dengan melakukan ketaatan dan menjauhi sebarang perbuatan maksiat kerana melakukan maksiat adalah sifat hamba yang tidak tahu bersyukur.

3. Sesungguhnya apa jua yang kita perolehi yang berupa kebaikan segalanya adalah daripada Allah SWT dan apa jua keburukan yang menimpa maka itu adalah disebabkan diri kita sendiri disebabkan oleh dosa-dosa yang dilakukan.

Wallahua'lam.

Tiada Ketaatan Di Dalam Maksiat


Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : Tidak boleh taat kepada seseorang dalam melakukan maksiat kepada Allah. Sesungguhnya ketaatan itu dalam melakukan kebaikan.

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Penerangan :

1. Ketaatan adalah terhad kepada perkara kebaikan sahaja.

2. Tidak wajib patuh kepada kepimpinan (suami, ketua, dll ) sekiranya disuruh melakukan perbuatan yang dilarang oleh agama tetapi sekiranya suruhan itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam maka ia wajib dituruti (taati).

3. Taat kepada suami merupakan tempat kedua setelah taat atau patuh kepada perintah dan larangan Allah. Bahkan ketaatannya kepada Allah diukur daripada sejauh manakah seseorang itu dapat menyelesaikan kewajipannya terhadap suaminya.

4. Ketaatan pada pemimpin juga terbatas kerana ketaatan terhadap Allah dan Rasul melebihi ketaatan terhadap pemimpin.Taati pemimpin selagi mana pemimpin itu mentaati Allah dan Rasul.Tiada ketaatan terhadap maksiat pemimpin.Dan tiada ketaatan di dalam melaksanakan perintah yang berkait dengan maksiat.

Wallahua'lam.

Suami Yang Bertanggungjawab


Saad bin Abi Waqas r.a menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda : "Nafkah (infak) yang kamu berikan semata-mata kerana Allah nescaya diberi pahala oleh Allah ; bahkan apa yang kamu berikan untuk makanan isteri kamu (perbelajaan rumah tangga) akan diberi pahala juga oleh Allah.”

(Riwayat al-Bukhari)

Penerangan :

Perkahwinan dalam Islam bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan biologi terhadap satu sama lain, malah satu daripada tanda kekuasaan dan kebesaran Allah Yang Maha Esa (Surah Ar-Rum : Ayat 21). Iaitu kekuasaan-Nya menyatukan dua makhluk yang berlainan jantina serta mempertautkan hati kedua-duanya dengan ikatan kasih mesra. Maka, suami yang baik ialah yang menyayangi serta melindungi isterinya dari perkara berbahaya atau memudaratkannya. Suami ialah ketua keluarga yang bertanggungjawab memastikan isterinya memperoleh keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian yang secukupnya. Suami juga hendaklah membimbingnya agar selamat daripada api neraka. Firman Allah bermaksud : "Kaum lelaki itu ialah pemimpin dan pengawal yang bertanggunjawab terhadap kaum perempuan, oleh sebab Allah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan juga kerana orang lelaki telah memberi nafkah daripada harta mereka."
(Surah An-Nisa : Ayat 34)

Wallahualam.

Kemuliaan Diri Dengan Berakhlak Baik


Rasulullah S.A.W bersabda : “Sebesar-besar kebajikan itu ialah berakhlak dengan akhlak yang baik, dan dosa itu ialah perasaan bimbang dalam jiwa dan engkau tidak suka keadaan itu diketahui oleh orang lain”.

(Riwayat Muslim)

Penerangan :

1. Seseorang yang berakhlak mulia akan mendapat pahala dan boleh mendatangkan kebaikan untuk diri sendiri dan kebajikan kepada orang lain.

2. Orang yang melakukan dosa tidak akan mendapat ketenangan jiwa didalam hidupnya.

3. Berakhlaklah dengan akhlak yang mulia kerana ia sebesar besar kebajikan dan janganlah melakukan dosa kerana dosa itu ialah azab seksa, yang dirasai baik didunia mahupun diakhirat.

Wallahualam.

Tidak DiTerima Sesuatu Sedekah Dari Rezeki Yang Haram


Dari Ibnu ‘Umar r.a., katanya: ” Ku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda katanya: ” Tidak diterima sembahyang tanpa bersuci, begitu pula derma yang didapat dari korupsi (pecah amanah).”

(Riwayat Muslim)

Penerangan :

Islam menilai yang terbaik hanyalah yang suci sebagaimana solat hanya akan diterima apabila sesorang itu telah bersuci. Allah SWT tidak menilai sesuatu kebaikan itu hanya daripada luaran semata-mata tetapi dinilai dari dalaman juga yang datangnya daripada hati. Sesungguhnya apa jua kebajikan yang dilakukan walaupun dengan niat kerana Allah perlu diambil kira dari mana punca ia diperolehi sama ada halal atau pun haram. Samalah keadaannya dengan sepohon pokok yang tumbuh subur tetapi sebenarnya ia beracun yang jika dimakan akan membawa maut.

Wallahua'lam.

Design by FARISZ@AZ.Com