.
Promosi
.
Showing posts with label Iman. Show all posts
Showing posts with label Iman. Show all posts

Mukmin Yang Berakhlak Mendapat Darjat Yang Tinggi


Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya seseorang mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang ditengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia”.

(Riwayat Abu Daud)

Penerangan :

1. Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia, setaraf dengan orang yang berpuasa serta mendirikan sembahyang di tengah malam.

2. Setiap Muslim hendaklah berusaha mempertingkatkan kualiti akhlaknya agar menjadi baik dan lebih baik sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini kerana setiap amalan akan dihitung dan dihisab di akhirat kelak.

3. Mukmin yang mempunyai akhlak mulia, bukan sahaja mendapat kemulian di dunia, bahkan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah di akhirat nanti.

Wallahua'lam.

Islam Melarang Umatnya Memohon Untuk Mati


Rasulullah S.A.W Bersabda bermaksud : “Janganlah ada diantara kamu yang bercita-cita hendak mati. Sekiranya ia seorang yang baik mudah mudahan ia dapat menambahkan lagi kebaikan, dan sekiranya ia seorang yang jahat mudah mudahan ia dapat bertaubat kepada Allah”.

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Penerangan :

1. Haram hukumnya bagi seseorang muslim bercita cita dan berdoa untuk mati apabila hidup didalam kesengsaraan dan menderita.

2. Setiap mukmin yang panjang umurnya mempunyai banyak peluang untuk ia beramal ibadat kepada Allah sebagai bekalan di akhirat nanti.

3. Islam tidak membenarkan umatnya bercita cita untuk mati, tetapi menggalakkan umatnya supaya bercita cita untuk menambahkan ilmu pengetahuan demi kemajuan ummah.

Wallahua'lam.

Amanah Kunci Keamanan

Bismillahirrahmaanirrahiim,


Dari Huzaifah, katanya : “Diajarkan oleh Rasulullah S.A.W kepada kami dua buah hadis ; salah satu dari padanya telah saya lihat kenyataannya dan sekarang saya sedang menunggu kenyataan hadis yang kedua. Hadis yang pertama, bahawa amanah itu turun lalu masuk ke lubuk hati orang, Kemudian turun Al-Quran lalu menjadi pedomannya, demikian pula sunnah Rasulullah S.A.W. Hadis yang kedua, tentang pencabutan amanah. Kata Rasulullah S.A.W : “Seseorang tidur sekejap lalu dicabut amanah dari hatinya dan tinggallah bekasnya seperti titik yang kecil; kemudian ia tidur pula lalu dicabut lagi sisa amanah itu, dan hanya tinggal seperti bengkak kecil di telapak tangan yang timbul setelah mengerjakan sesuatu dengan memakai kapak atau sebagai bengkak di kaki kerana memijak bara, isinya hanya sedikit cairan. Pada masa itu kelak hampir saja tak ada lagi amanah dalam masyarakat sehingga dikatakan: “Oh, di sana ada orang yang amanah; kata orang kepadanya; alangkah sabarnya, alangkah baiknya, alangkah cerdiknya; tetapi sebenarnya batin orang itu kosong dari keimanan, Kata Huzaifah : ” Pada masa yang silam, zaman kejujuran itu telah ku alami, sehingga saya biasa berniaga dengan siapa pun; jika dengan orang Muslim ia jujur kerana agamanya, jika dengan orang Nasrani atau Yahudi maka kejujuran itu ada di tangan atasannya.” Adapun zaman sekarang, aku tidak mahu lagi berniaga kecuali dengan si Anu dan si Anu (kerana amanah)”.

(Riwayat Muslim)

Penerangan :

Dunia hari ini sering digemparkan dengan berita-berita mengenai pecah amanah di sana sini. Bapa merogol anak, bayi baru lahir dibuang, warga tua diragut, kanak-kanak didera, dan berbagai-bagai lagi kejadian yang menyentuh hati dan membangkitkan kemarahan banyak pihak. Semuanya berpunca daripada hilangnya sifat amanah dari jiwa manusia. Sesungguhnya di akhir zaman ini amat sukar untuk mencari orang yang benar-benar amanah sedangkan apa jua perkara dan tindakan yang diambil perlukan sifat amanah. Seorang bapa yang khianat tidak akan menjaga anak yang menjadi amanah Allah kepadanya bahkan diperkosa anaknya sendiri atau dia berzina dengan wanita lain. Begitu juga dengan kerajaan yang dipimpin oleh penguasa yang tidak amanah sudah pasti suatu hari nanti umat akan hancur. Fakir yang sombong juga tidak akan sudi menerima bantuan dan perhatian orang lain sedangkan ia sangat memerlukannya. Kesudahannya hidupnya tidak akan berubah sampai bila-bila hinggakan kefakiran tersebut membawanya kepada kekufuran. Hakikatnya janganlah kita mengkhianati amanah sedangkan kita mengetahuinya. Balasannya di hari akhirat kelak amat dahsyat menunggu kita.

Wallahua'lam.

Menjauhi Perbuatan Yang Mendatangkan Bahaya

Rasulullah S.A.W bersabda : "Sesungguhnya syaitan ada baginya bisikan ke hati anak Adam, dan Malaikat juga ada bisikannya; ada pun bisikan syaitan itu ialah galakannya supaya seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan bisikan Malaikat pula ialah galakannya supaya seseorang mengamalkan kebaikan dan meyakini kebenaranya; oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik, maka hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, serta hendaklah ia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah dari angkara syaitan".

(Ibn Mas'ud r.a)
 
Penerangan :

1. Setiap manusia mempunyai lintasan hati yang berlainan kerana berlainan sebabnya.

2. Satu daripada jenis lintasan itu adalah lintasan yang dibawa oleh malaikat yang bertugas memancarkan ke dalam hati manusia perasaan suka berbuat kebajikan dan menerima kebenaran; sementara satu lagi lintasan adalah lintasan syaitan iaitu lintasan untuk melakukan kejahatan dan menolak kebenaran.

3. Lintasan malaikat ini dinamakan sebagai “ilham” dan lintasan jahat syaitan itu sebenarnya adalah “was-was” di mana kita diperintahkan memohon perlindungan Allah daripadanya sebagaimana yang dimaksudkan di dalam al-Quran, Surah an-Nas.

4. Oleh yang demikian selaku manusia biasa, apabila datang sesuatu lintasan hati, maka hendaklah kita mempertimbangkannya terlebih dahulu dengan neraca syarak ; jika bersesuaian kerjakanlah, jika sebaliknya jauhkanlah.

Wallahua'lam.

Keistimewaan Memeluk Islam

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a : ” Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : ” Apabila seseorang memeluk agama Islam dengan ikhlas, Allah akan mengampunkan semua dosa-dosanya di masa lalu. Kemudian setelah itu mulai diadakan perhitungan, pahala untuk setiap perbuatan baik yang dilakukannya dilipat gandakan sepuluh sampai tujuh ratus kali ganda sedangkan setiap dosa yang dilakukannya akan dicatat sebanyak dosa yang dilakukannya kecuali apabila Allah mengampunkannya”.
(Riwayat al-Bukahri)
Penerangan :

Mualaf ialah orang yang baru berjinak-jinak Islam. Dari segi bahasa mualaf bererti lemah. Istilah ini lalu disandarkan kepada mereka yang baru saja memeluk Islam dan masih lemah pemahamannya tentang Islam. Kebanyakan daripada kita tidak memahami keperluan mualaf. Mualaf sebenarnya mengharapkan teman dan sahabat yang dapat memberi sokongan moral dan perlindungan dari kecaman keluarga mahupun saudara, kerana perpindahan agama bukanlah perkara yang mudah sebaliknya memerlukan banyak pengorbanan. Justeru perlu ada pihak yang menyelia dan membimbing golongan yang baru memeluk Islam ini agar mereka tidak kembali murtad. Contohnya menziarahi mereka supaya tidak terabai dan memantau perkembangan mereka. Kebanyakan kes yang berlaku hari ini, orang memeluk Islam sekadar untuk mencukupkan syarat membolehkannya berkahwin dengan pasangan yang beragama Islam. Bukan dengan niat yang benar-benar ikhlas mahu mentauhidkan Allah SWT. Bagi mualaf yang ikhlas ingin memeluk Islam pula, mereka akan melaksanakan ajaran Islam secara bertahap. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ada antara golongan mualaf ini yang jauh lebih taat daripada mereka yang sejak lahir memeluk Islam. Golongan inilah yang disebutkan di dalam hadis di atas.

Wallahua'lam.

Taat


Dari Abu Hurairah Abdul Rahman bin Sakhr r.a katanya : ”Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : ”Apa yang aku tegahkan kamu daripadanya maka hendaklah kamu menjauhinya dan apa yang aku perintahkan kamu dengannya maka hendaklah kamu kerjakan daripadanya apa yang kamu mampu. Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu oleh sebab banyaknya pertanyaan mereka dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka”.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Penerangan :

1. Segala apa yang dilarang oleh Rasulullah S.A.W adalah semua perkara yang haram dari segala macam bentuk maksiat dan kejahatan sama ada berhubung dengan diri, masyarakat dan lain-lainnya. Ada yang berkait dengan harta benda seperti larangan mencuri, merompak, meragut atau membazirkan wang di mana setiap larangan itu ada hikmah dan faedahnya.

2. Manakala segala bentuk suruhan pula hendaklah dikerjakan menurut kadar yang dapat dilakukan sesuai dengan kekuatan atau kemampuan yang ada. Sesiapa pun tidak harus meninggalkan atau mencuaikannya tetapi mestilah dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dengan penuh ketaatan.

3. Punca kebinasaan umat-umat sebelum ini adalah disebabkan perselisihan terhadap nabi-nabi mereka. Mereka suka membantah dan menentang apa-apa yang disampaikan serta banyak mengemukakan pertanyaan yang bukan-bukan sehingga menimbulkan banyak masalah dan akhirnya menyulitkan keadaan.

Wallahua'lam.


Harta Jambatan Ibadah


Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : ”Sesungguhnnya bagi setiap
umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan”.

(Riwayat at-Tirmidzi)

Penerangan :

1. Harta kekayaan, kemewahan dan pangkat menyilaukan pandangan serta dapat mengubah pendirian seseorang.

2. Islam melarang umatnya bersikap terlalu mementingkan kehidupan dunia dan mengutamakan kehidupan peribadi lebih daripada kepentingan masyarakat. Sedangkan pemberian atau nikmat-nikmat keduniaan itu sebenarnya adalah suatu bentuk ujian daripada Allah SWT untuk mengukur sama ada manusia menghargainya dengan bersyukur atau tenggelam dalam kelekaan hingga menjadi kufur terhadap Allah SWT.

3. Oleh itu setiap individu perlu berwaspada agar tidak menjadikan harta kekayaan sebagai alasan untuk melupakan perintah dan suruhan Allah SWT sebaliknya menjadikan nikmat-nikmat tersebut sebagai faktor pendorong untuk melakukan kebajikan dan amal soleh yang dituntut dengan ikhlas bersungguh-sungguh kerana golongan seperti ini bukan sahaja akan beruntung di dunia bahkan mendapat ganjaran besar yang di akhirat kelak.

Wallahua'lam.

Menjadi Insan Yang Bersyukur


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda : ”Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-limpah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang serba kekurangan”.

(Riwayat Bukhari)

Penerangan :

Firman Allah SWT yang maksudnya : ”Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih" (Surah Ibrahim : ayat 7). Sesungguhnya setiap nikmat itu wajib disyukuri dan antara kunci rahsia dalam bersyukur yang dapat mengundang nikmat Allah yang seterusnya sebagaimana yang disebut dalam firman Allah di atas ialah :

i.) Tidak merasa memiliki kecuali meyakini bahawa segalanya adalah menjadi milik Allah. Hal demikian dapat mengelak seseorang daripada menjadi angkuh dan sombong dengan nikmat yang ada padanya.

ii) Selalu mengucapkan “alhamdulillah”, memuji Allah dalam segala keadaan sama ada ketika susah ataupun senang kerana nikmat yang harus disyukuri itu sebenarnya lebih banyak daripada musibah.

iii) Mempercayai bahawa sebarang nikmat yang dikurniakan adalah jalan menuju Allah atau mendekatkan diri kepada Allah.

iv) Tahu membalas budi dan berterima kasih dengan kebaikan yang telah diberikan oleh seseorang.

Wallahua'lam.

Roh Yang Wangi Dan Roh Yang Busuk


Dari Abu Hurairah r.a katanya : ”Apabila roh orang-orang mukmin keluar dari tubuhnya dua orang malaikat menyambutnya dan menaikkannya ke langit.” Kata Hammad : ”Kerana baunya harum seperti kasturi.” Kata penduduk langit “ Roh yang baik datang dari bumi. Sallallahu ‘alaika (semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepadamu) dan kepada tubuh tempat engkau bersemayam.” Lalu roh itu dibawa ke hadapan Tuhannya Azza wa Jalla. Kemudian Allah berfirman:”Bawalah dia ke Sidratul Muntaha dan biarkan di sana hingga hari kiamat.” Kata Abu Hurairah selanjutnya:” Apabila roh orang-orang kafir keluar dari tubuhnya – kata Hammad, berbau busuk dan mendapat makian, maka berkata penduduk langit, ”Roh jahat datang dari bumi.” Lalu diperintahkan, bawalah dia ke penjara dan biarkan di sana hingga hari kiamat.”

(Riwayat Muslim)

Penerangan :

Kematian sesungguhnya amat menyiksakan. Kematian orang-orang yang tidak beriman mempunyai banyak perbezaan dengan kematian orang-orang yang beriman. Tanda-tandanya bukan sahaja dapat dilihat oleh orang yang hidup bahkan ini diperakukan sendiri di dalam al-Quran melalui firman Allah S.W.T yang maksudnya:"Kalau sekiranya kamu dapat melihat malaikat-malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka serta berkata, "Rasakanlah olehmu siksa neraka yang membakar." (niscaya kamu akan merasa sangat ngeri) (al-Anfal :50). Rasulullah s.a.w sekalipun dianggap sebagai kekasih Allah turut merasakan kesakitan sakratulmaut. Itupun baginda diperlakukan secara lembut oleh malaikat. Maka bayangkanlah bagaimana kesakitannya jika kita selaku insan biasa dapat berhadapan dengan situasi ini. Oleh itu seharusnya kita sentiasa berwaspada agar tidak tergolong di kalangan orang-orang yang tidak beriman, lalai dan lupa kepada Allah kerana sudah pasti roh kita nanti bakal ditempatkan di dalam penjara sehingga hari kiamat.

Wallahualam.

Tetap Pendirian (Istiqomah)


Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : “Tidak lurus (istiqomah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya”.

(Riwayat Ahmad)

Penerangan :

1. Maksud istiqomah ialah tetap teguh di atas jalan yang betul lurus yang membawa keredhaan Allah S.W.T.

2. Dasar istiqomah adalah istiqomah hati iaitu lurusnya hati di atas tauhid. Apabila hati telah beristiqomah kepada Allah dalam erti kata takut, cinta, tawakkal dan mengagungkan Allah maka seluruh anggota tubuh akan taat kepadanya. Ini ialah kerana hati adalah raja kepada badan manakala anggota badan adalah rakyatnya.

3. Anggota terpenting selepas hati yang mesti diberi perhatian serius agar beristiqomah ialah lidah kerana lidah adalah terjemahan hati yang menggambarkan pemikiran seseorang.

Wallahualam.

Sempadan Ketaatan Pada Pemimpin


Dari Ali (bin Abi Talib) r.a, katanya : “Pada suatu ketika, Rasulullah SAW mengirim sepasukan tentera (ke medan perang) dan melantik seorang lelaki menjadi komandan mereka. Satibanya di suatu tempat, komandan tersebut menyalakan api (unggun) dan memerintahkan anak buahnya melompat ke dalam unggun api tersebut. Sebahagian anak buahnya telah bersedia untuk melompat ke dalam unggun api tersebut tetapi yang lain berkata : ”Kita harus lari dari api itu.” Peristiwa itu mereka laporkan kepada Rasulullah SAW. Maka beliau bersabda: ”Seandainya kamu melompat ke dalam api itu kamu akan sentiasa berada di dalamnya hingga hari kiamat nanti.” Kemudian baginda bersabda pula kepada yang lain dengan lemah lembut: ”Tidak wajib taat kepada perintah untuk menderhakai Allah. Taat itu hanya wajib dalam rangka menegakkan kebajikan.”

(Riwayat Muslim)

Penerangan :

Kepatuhan dan ketaatan kepada manusia dan peraturan ada batasnya. Manakala kepatuhan dan ketaatan kepada Allah adalah telus kepada-Nya dan seharusnya tidak ada hijab yang menghalangnya. Faham tentang batas dosa dan pahala, tahu tentang batas halal dan haram, mengerti tentang situasi fasad dan mungkar, maklum tentang wajib dan harus akan memberikan kita gambaran sejauh manakah sesuatu perintah seseorang ketua itu wajib ditaati. Sekadar pertimbangan akal semata tidak ada jaminan yang sesuatu perintah itu wajib dipatuhi. Sekadar ukuran logik dan rasional juga tidak memadai. Sekadar berpandukan orang ramai yang juga melakukannya juga belum ada jaminan ia selari dengan syarak. Justeru hanya sifat manusia yang memiliki jiwa hamba yang tinggi yang akan patuh dan taat kepada perintah Allah. Keimanan manusia kepada Allah menyebabkan manusia ada benteng. Ketakutan manusia sesama manusia boleh dielakkan dan boleh dicari jalan keluar. Benteng syarak inilah yang memandu manusia memilih jalan yang baik dan jalan yang sebaliknya.

Wallahua'lam.

Insan dan Hubungannya dengan Masyarakat


Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : "Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata-kata dengan kebaikan atau jika tidak, hendaklah dia diam sahaja. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya”.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Penerangan :

Setiap insan yang mendiami bumi ini seharusnya menjalinkan hubungan sesama mereka dengan adab-adab muamalah dan pergaulan sosial yang baik sama ada berbentuk perkataan yang baik dan enak didengar, kejiranan yang mendamaikan dan layanan terhadap tetamu yang selayaknya. Semua ini adalah unsur-unsur keimanan seseorang kepada Allah SWT yang menyuruh kita agar berakhlak mulia yang akan memberi manfaat di dunia dan akhirat. Beramal dengan apa yang terkandung di dalam hadis di atas akan mewujudkan kesatuan ummah dan menjinakkan hati manusia serta menghapuskan sifat hasad dengki di antara satu sama lain sebaliknya akan meluaskan perasaan kasih sayang yang berpanjangan.

Wallahua'lam.

Wasilah menghampirkan diri kepada Allah SWT dan mencapai Cinta-Nya



Daripada Abu Hurairah r.a katanya : Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman : “Sesiapa yang memusuhi wali-wali-Ku sesungguhnya Aku mengisytiharkan perang ke atasnya. Dan tidaklah seseorang hamba itu menghampirkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Ku cintai melainkan dengan apa yang telah Aku fardhukan ke atasnya, berterusanlah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada mu dengan mengerjakan (amalan-amalan) nawafil hinggalah Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya Aku akan menjadi pendengarannya yang dengannya ia mendengar, Aku adalah penglihatannya yang dengannya ia melihat dan tangannya yang dengannya ia memegang dan kakinya yang dengannya ia berjalan. Dan jika ia meminta dari-Ku, Aku akan mengurniakannya dan jika ia memohon perlindungan dengan-Ku, Aku akan melindunginya.”

(Riwayat Al-Bukhari)

Penerangan :


1) Wali adalah hamba-hamba Allah yang ikhlas dalam melaksanakan perintah Allah SWT semata-mata kerana Allah SWT .
Ini tersebut dalam firman Allah SWT : 
 
أَلا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلا هُمْ يَحْزَنُونَ (٦٢)الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ (٦٣)لَهُمُ الْبُشْرَى فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ لا تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (٦٤)

62. Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
63. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang Yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
64. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan Yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah Yang demikian itulah kejayaan Yang besar.
(Surah Yunus : Ayat 62 - 64)

2) Apabila hati penuh dengan kebesaran Allah SWT maka dihapuskan apa yang selain darinya. Dia tidak akan berbicara melainkan dengan zikir kepada Allah, tidak mendengar melainkan tentang Allah SWT, tidak melihat melainkan tanda-tanda kebesaran Allah SWT.

3) Setiap orang yang menyakiti wali Allah, contohnya seorang yang fasik memusuhi wali disebabkan sentiasa menegahnya daripada melakukan kejahatan dan maksiat, maka Allah SWT akan memusuhinya. Ini disebabkan seorang wali merupakan mereka yang benar-benar mencintai Allah dan sentiasa menghampirkan diri pada-Nya maka sebagai balasannya Allah akan memeliharanya dan mengawasinya daripada segala ancaman yang tidak baik kerana ia seolah-olah telah menyakiti Allah juga.


4) Amalan-amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT ialah mengerjakan perintah-perintahnya dan menjauhi larangannya serta banyak mengerjakan amalan-amalan sunat dan kebajikan. Antara doa yang selalu dibaca oleh untuk menjadikan diri kita dekat kepada Allah ialah sebagaimana doa Rasulullah SAW yang bermaksud : ” Ya Allah, jadikanlah cahaya di dalam hati ku, cahaya di dalam penglihatan ku dan cahaya di dalam pendengaran ku”. Sesungguhnya doa seorang wali adalah mustajab.


5) Golongan wali-wali yang paling utama di sisi Allah SWT ialah para Nabi dan Rasul yang maksum disusuli pula oleh para sahabat dan mereka yang datang selepasnya.

Wallahua'lam.

Ukuran Iman Yang Sempurna


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : “Seseorang yang hendak berzina, tidak akan melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak minum arak, tidak akan minum arak tersebut semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak mencuri, tidak kan melakukan perbuatan itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak melakukan rompakanyang lazimnya menjadikan orang yang merompak itu memandang sahaja kepadanya, tidak akan merompak semasa ia berkeadaan sempurna imannya.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Penerangan :

1. Orang yang tergamak melakukan perbuatan yang ditegah agama menandakan ketidaksempurnaan iman di jiwanya.

2. Kebahagiaan hidup adalah bergantung pada pertalian keturunan yang baik, keselamatan akal dan fikiran serta harta benda kerana keturunan yang terpelihara akan menjamin kesejahteraan keluarga dan masyarakat, akal yang sihat membolehkan seseorang itu membezakan antara yang baik dan buruk, hak dan batil serta keselamatan harta benda itu pula membolehkan segala perancangan dilakukan dengan lancar dan sempurna.

3. Oleh itu Islam melarang keras daripada melakukan perbuatan zina yang boleh mencemarkan keturunan manusia, minum arak atau menagih dadah yang boleh merosakkan akal fikiran serta perbuatan mencuri yang menyebabkan kesusahan orang lain dan sebagainya.

4. Sesungguhnya kekuatan iman itu dinilai pada sejauh mana seseorang itu dapat membendung hasutan nafsunya serta menjauhi bisikan-bisikan jahat yang menggodanya. Oleh itu amat penting bagi setiap mukmin sentiasa menjaga pergaulannya agar tidak terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat yang berlaku di sekitarnya.

Wallahua'lam.

Kelebihan Mukmin Dan Kekurangan Kafir


Dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya apabila orang-orang kafir mengerjakan kebajikan di dunia dia diberi upah dengan amalnya itu berupa rezeki di dunia. Sedangkan orang-orang mukmin, pahala kebajikannya disimpan Allah Taala untuknya di akhirat kelak serta diberinya rezeki di dunia berhubung dengan taatnya.” 

(Riwayat Muslim)

Penerangan :

1. Usaha merupakan asas kepada pembentukan dan kemajuan hidup manusia walau apa pun agama dan bangsa yang dianuti. Dalam kehidupan di dunia ini manusia dikehendaki berusaha untuk mendapatkan sesuatu hajat termasuklah mendapatkan rezeki. Oleh itu di atas nama keadilan, Allah S.W.T Yang Maha Adil akan mengganjari sesiapa sahaja yang berusaha bersungguh-sungguh tidak kira sama ada dia seorang mukmin atau kafir.

2. Ini merupakan suatu bentuk motivasi agar manusia itu tidak merasa kecewa dalam meneruskan kehidupan mereka. Namun begitu, di samping memberikan balasan di dunia, orang-orang mukmin juga diberikan pahala yang akan menolongnya di akhirat kelak iaitu sebagai balasan kebaikan yang telah dilakukannya ketika di dunia.

Wallahua'lam.

Mengetahui Waktu Sembahyang



"Daripada Abdullah bin Amru r.a. bahawasanya Nabi s.a.w bersabda, "waktu zuhur bermula dari tergelincir matahari di mana bayang seseorang itu sama panjang dengan tingginya selagi tidak masuk waktu asar, waktu asar pula berakhir sehingga cahaya matahari menjadi kuning (matahari hampir terbenam), waktu sembahyang maghrib pula akan berakhir sehingga hilang awan merah dilangit sebelah barat. Waktu isyak pula berakhir sehingga pertengahan dari setengah malam. Waktu sembahyang subuh pula ialah dari terbit fajar sehingga terbit matahari".

(Riwayat Muslim)

Penerangan :

1. Waktu zuhur bermula dari tergelincir matahari sehingga bayang seseorang itu sama panjang dengan tingginya.

2. Waktu asar bermula dari bayang seseorang itu lebih panjang dari tingginya yang sebenar sehingga matahari hampir terbenam.

3. Waktu maghrib bermula ketika tenggelam matahari sehingga hilang tanda-tanda merah (syafaq) di sebelah barat.

4. Waktu isyak bermula dari hilang tanda-tanda merah (syafaq) dilangit sehingga pertengahan dari setengah malam.

5. Waktu subuh ialah bermula dari naik fajar hingga terbit matahari.

Wallahua'lam.

Ancaman Meninggalkan Solat Jumaat


(Masjid Mohamed Ali di Egypt)

Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya: ”Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?”

(Riwayat Muslim)

Penerangan :

Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain. Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar'i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir. Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain dariapada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah S.W.T ia juga merupakan suatu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.

Wallahua'lam.

Jalan Ke Syurga




Daripada Abu Abdillah Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW : “Apakah pendapat tuan sekiranya saya melakukan solat-solat fardu (lima waktu), berpuasa di bulan Ramadhan, menghalalkan apa yang halal, mengharamkan apa yang haram dan tidak menambahkan sesuatu pun padanya, adakah aku akan masuk ke dalam syurga”.

(Riwayat Muslim)

Penerangan :

Jalan ke syurga adalah jelas dan mudah kerana Allah telah menentukan baginya batasan-batasan dan amalan-amalan yang menyampaikan seseorang itu kepadanya. Apa yang penting adalah iltizam seseorang itu dengan segala apa yang difardukan serta meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan kerana Allah SWT sesungguhnya tidak meletakkan beban dan kesusahan yang tidak mampu dipikul oleh hamba-Nya. Ini sejajar dengan firman Allah SWT :


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (١٨٥)


185. (Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain. (dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
(Al-Baqarah : Ayat 185)

Seharusnya jika kita mengharapkan kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat maka kita hendaklah menjadi ‘tamak’ untuk menempati kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT dengan tidak meninggalkan amalan sunat dan tidak juga mendekati perkara yang makruh. Demikian juga kita tidak seharusnya membeza-bezakan antara amalan yang dituntut sama ada yang wajib mahupun yang sunat sebagaimana juga kita tidak akan membeza-bezakan perkara yang jelas dicegah iaitu haram dengan perkara yang tidak digalakkan seperti makruh.

Wallahua'lam.

Kesempurnaan Iman



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang mempunyai akhlak mulia, orang-orang yang terpilih antara kamu ialah mereka yang baik pergaulan serta hubungannya dengan isteri-isteri mereka.”

(Riwayat At - Tirmidzi)

Penerangan :

1. Kesempurnaan iman seseorang itu adalah dinilai dari segi akhlaknya yang mulia.

2. Para suami dituntut oleh Islam supaya berlaku adil dan baik terhadap isteri serta bijaksana dalam mengendalikan urusan rumahtangga.

3. Asas keluarga bahagia adalah membentuk keluarga dengan sifat takwa dan mempunyai ilmu pengetahuan dunia dan akhirat.

Wallahua'lam.

Tipu Daya


Dari Huzaifah r.a, dari Nabi S.A.W sabdanya : ”Dajal selalu membawa air dan api. Api itu sebenarnya adalah air sejuk, sedangkan air sebenarnya adalah api. Kerana itu waspadalah kamu agar tidak celaka.

(Riwayat Muslim)

Penerangan :

Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Menjelang turunnya Dajal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai.” Dari Jabir bin Abdullah pula katanya, Rasulullah s.a.w ada bersabda : “Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu. Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi.”

Wallahua'lam.

Design by FARISZ@AZ.Com