.
Promosi
.

Muslimah Duta Pengubah Masyarakat




Tanggungjawab menegakkan syariat Allah bukan sahaja menjadi tanggungjawab golongan muslimin, sebaliknya kaum muslimat juga turut terlibat secara langsung melaksanakan tuntutan tersebut. Agama Islam sebagai agama yang syumul tetap mengiktiraf peranan dan akhlak yang dimiliki oleh kaum muslimat untuk sama-sama menggemblengkan tenaga mereka.

Kaum muslimin dan muslimat masing-masing perlu berganding bahu melaksanakan tugas amar makruf dan nahi munkar, sebagaimana firman Allah (SWT) di dalam surah At-Taubah, ayat 71 yang bermaksud: "Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan rasul-Nya. Mereka itu akan dberikan rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Sesungguhnya kedatangan Islam telah menyelamatkan maruah wanita daripada belenggu jahiliah. Islam juga mengangkat martabat wanita daripada terus diperhambakan oleh lelaki. Akan tetapi putaran sejarah seolah-olah telah kembali ke asalnya. Wanita sekarang ini bagaikan hidup kembali seperti pada zaman jahiliah. Tambahan pula akhir-akhir ini, krisis gejala sosial semakin meruncing di kalangan muda-mudi yang merupakan harapan masyarakat dalam mempertahankan agama Islam.

Kebanyakan masalah yang berlaku hari ini iaitu kes pembuangan bayi yang amat membimbangkan. Manusia hari ini bagai hilang akal dan tiada rasa perikemanusiaan, sehinggakan untuk mengatasi masalah ini, ada pihak mencadangkan untuk mengadakan sekolah bagi wanita yang hamil anak luar nikah.

Inilah antara tugas dan tanggungjawab para muslimat, khususnya mahasiswi Islam dalam membawa dan menarik masyarakat ke jalan yang benar. Tugas yang sebegitu besar tidak mampu dilaksanakan tanpa adanya ilmu dan kefahaman yang jelas serta matlamat yang diinginkan oleh Islam itu sendiri.

Menyedari hakikat inilah Hal Ehwal Wanita Islam Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang bertemakan “Kesatuan Ukhuwwah Manifestasi Tarbiah” menyeru kepada ahli HEWI agar sama-sama merealisasikan tema yang dibawa demi membanteras dan membasmi masalah gejala sosial yang berlaku sama ada di bumi Mesir ini ataupun di tanah air.

Bahkan, mahasiswi perlu bangkit dan melangkah ke hadapan mempertahankan agama Islam yang sehingga kini masih ditohmah dan dicaci oleh musuh-musuh Islam, dan janganlah kita membiarkan mereka yang jahil memperkatakan tentang Islam di tengah-tengah kewujudan kita. Selama manakah kita mahu menyelubungi diri kita dengan ketakutan dan teragak-agak untuk bertindak sedangkan di sana terlalu banyak golongan jahil mempersendakan agama Islam, manakala kita hanya berpeluk tubuh dan teragak-agak untuk bertindak dan bersuara.

Jadikanlah Asma' binti Abu Bakar sebagai muslimah contoh di zaman Rasulullah S.A.W kerana dengan semangat dan keberanian yang dimilikinya dalam membantu Rasulullah S.A.W dan ayahdanya Saidina Abu Bakar yang bertindak sebagai penghantar makanan ke Gua Thur, biarpun ketika itu dirinya sarat mengandung.

0 ulasan:

Design by FARISZ@AZ.Com