.
Promosi
.

Kelantangan, keberanian dan ketegasan al-Qardhawi berkaitan Isu Mesir


Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syaikh Yusuf Qardhawi menyeru Presiden Mesir, Husni Mubarak berundur 'dengan kedua-dua kakinya' secara sukarela, sebelum beliau diundurkan secara paksa.
Al-Qardhawi menyifatkan regim Husni Mubarak sebagai tidak sedar, tidak faham, buta, pekak.
Beliau berkata kepada Husni Mubarak melalui siaran satelit al-Jazeera “berundurlah wahai Mubarak andainya di dalam hati kamu ada sebesar zarah sifat rahmat (kasihan belas) atau dalam kepala kamu sebesar zarah fikiran”.
Dalam masa yang sama, beliau meminta Mubarak kasihankan dirinya dan keluarganya, kerana jika pemerintahan itu satu ghanimah (harta rampasan),maka sudah cukup untuk Mubarak memerintah selama 30 tahun. Sekiranya ia merupakan satu bebanan, 30 tahun juga sudah memadai untuk Mubarak memikul bebanan itu.
Beliau turut menasihatkan Mubarak  supaya berundur daripada kerajaan dan berpindah meninggalkan Mesir kerana Mesir telah kerugian berbilion-bilion harta benda.
Beliau dengan tegas menyatakan, “sudah tiada tempat bagi kamu wahai Mubarak, aku mahu supaya kamu keluar dengan kedua-dua kaki kamu supaya kamu dihukum dan dibicarakan di Mahkamah Awam, bukannya Mahkamah Tentera yang kamu tubuhkan untuk menghukum musuh-musuh kamu, dimana kamu telah menghukum mereka dengan hukuman yang zalim di bawah peruntukan Undang-undang Kecemasan.
Sesungguhnya bagi setiap orang yang zalim ada kesudahannya dan tiada sesiapa pun yang mampu menentang sejarah”.
Qardhawi menganggap Mubarak sebagai tidak faham mesej rakyat apabila tampil dengan ucapan yang menunjukkan bahawa beliau tidak sedar dengan apa yang sedang berlaku. Beliau,menurut Qardhawi, berada pada alam lain, bukannya alam kita dan tidak sedar tentang orang-orang yang kelaparan atau tercedera”.
Beliau tertanya-tanya apakah faedah pembubaran kerajaan Mesir yang dilakukan Mubarak, sedangkan beliau selaku Presiden Mesir tidak menyebut apa-apa tentang pembubaran parlimen dan pemansuhan Undang-undang Kecemasan.
Kebangkitan rakyat Mesir 'kebangkitan yang diberkati'
Dalam ucapannya, Qardhawi mengucapkan syabas kepada rakyat Mesir di atas 'kebangkitan yang diberkati' bagi melawan suasana pincang yang mereka sudah lama bersabar.
Sekian lama mereka bersabar sedangkan mereka melihat pihak-pihak tertentu  merompak kekayaan negara dan menikmatinya, sedangkan mereka sebagai rakyat tidak memiliki sesuap makanan.
Qardhawi menyifatkan kebangkitan rakyat Mesir sebagai kebangkitan yang aman tanpa menggunakan senjata yang bertujuan menuntut kehidupan yang mulia dan sesuap makanan halal, tetapi tiba-tiba dikejutkan dengan peluru hidup dari pasukan keselamatan yang menyebabkan kematian berpuluh-puluh nyawa.
Beliau menegaskan bahawa para demontrasi yang sebenar tidak akan terlibat dalam perbuatan merompak harta benda awam, sambil menasihatkan mereka supaya “jangan sekali-kali kamu menghulurkan tangan kamu ke arah mana-mana harta milik institusi awam atau khas, kerana perbuatan itu adalah haram".
Disamping itu, beliau turut melahirkan rasa bangga dan penghargaannya kepada tentera Mesir, sambil meminta pihak tentera melindungi Mesir pada masa-masa akan datang, tanpa masuk campur dalam soal pemerintahan, dan menyerahkan soal pemerintahan kepada rakyat bagi membolehkan Presiden baru Mesir dipilih melalui saluran demokrasi. 
Sumber : Al Jazeera

0 ulasan:

Design by FARISZ@AZ.Com