Bismillahirrahmaanirrahiim.
ALOR SETAR: “Disebabkan ibu tak mampu membayar hutang karpet kira-kira RM3,000, saya terpaksa berkahwin dengan lelaki Pakistan yang menjual permaidani itu untuk melangsaikan hutang.
“Namun, selepas berkahwin pada Mac lalu, baru saya tahu dia tidak jujur kerana selepas enam bulan, suami meninggalkan saya tanpa khabar berita,” kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Hashimah, 29.
Dia yang kesal berkahwin dengan Mat Karpet itu berkata, semuanya bermula selepas ibunya membeli empat helai karpet daripada lelaki asing itu, tiga tahun lalu.
“Ibu saya beli secara bayaran ansuran RM30 sebulan, itu pun jika ada duit. Malangnya, ibu gagal membayar ansuran selama dua tahun sehingga bunga semakin meningkat.
“Lelaki terbabit meminta ibu menjelaskan hutangnya. Apabila ibu memberitahu dia tak ada duit, lelaki itu minta dikahwinkan dengan saya sebagai syarat untuk melangsaikan semua hutang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Kuala Kedah, di sini, semalam.
Hashimah berkata, kerana tiada pilihan selain bimbang nasib keluarganya terancam dia hanya mengikut kata-kata lelaki itu dan keluarganya.
Menurutnya, majlis pernikahannya diadakan secara kecil-kecilan dengan dihadiri saudara-maranya serta beberapa rakan lelaki itu.
“Majlis kenduri termasuk akad nikah diadakan di rumah saya dan ia dibuat secara kecil-kecilan,” katanya.
Menurutnya, pada awal perkahwinan tiada apa berlaku, tetapi selepas enam bulan, baru dia tahu yang suaminya mengaut keuntungan berlipat kali ganda hasil perniagaan karpet.
“Dia beli sehelai karpet daripada rakannya RM65, tetapi menjualnya kepada orang kampung sehingga RM400 dengan mendakwa ia berkualiti selain sukar didapati di negeri ini. “Saya anggap ibu dan ramai penduduk kampung yang membeli karpet daripada suami saya tertipu,” katanya.
Hashimah yang bekerja di sebuah pasar mini, dekat sini, berkata sejak itu dia mula meragui suaminya, malah mendakwa penjual karpet dari Pakistan datang ke negara ini hanya untuk berkahwin dengan gadis tempatan sebelum meninggalkan mereka.
“Apa yang berlaku ke atas saya mengaibkan, namun saya sedia mendedahkan untuk memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak mengalami nasib sama,” katanya.
Sementara itu, Harian Metro turut menemubual seorang Mat Karpet warga Pakistan di Jitra yang ketika itu rancak menjual permaidani kepada penduduk di Kampung Padang Sera, di sini.
Mat Karpet yang dikenali sebagai Bakti, 47, itu berkata, dia sudah lama menjual karpet di bandar ini, Jitra dan Perlis dengan menunggang motosikal sendirian sejak 20 tahun lalu sehingga mendapat taraf kerakyatan negara ini.
Katanya, karpet yang dijualnya itu buatan China yang dijual RM300 hingga RM500 sehelai dan pelanggan akan membayar ansuran RM30 hingga RM40 sebulan kerana tidak berkemampuan.
“Ada juga pelanggan tidak membayar ansuran bulanan, tetapi saya kasihan kerana ramai antara mereka orang susah.
“Ramai juga rakan saya yang menjual karpet berkahwin dengan gadis tempatan kerana ibu bapa mereka tidak mampu membayar hutang dan itu cara untuk melangsaikan hutang,” katanya yang mengakui lebih 10 rakannya menjalankan kegiatan menjual karpet di negeri itu.
Bakti mengakui harga sebenar karpet dijualnya jauh lebih murah, tetapi disebabkan mahu mengambil untung dan kos pengangkutan dia menjualnya pada harga tinggi.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail mengesahkan menerima lebih 20 aduan penduduk tempatan yang tidak puas hati dengan peniaga karpet, kebanyakannya rakyat Bangladesh, Pakistan dan Indonesia.
“Bagaimanapun, kes membabitkan peniaga karpet dari Pakistan yang dikesan bernikah dengan gadis tempatan hanya dua iaitu di Kulim dan Kuala Kedah,” katanya.
Yusoff berkata, lelaki warga asing terbabit kebiasaannya menjual karpet pada harga dua kali ganda lebih mahal berbanding harga pasaran walaupun tidak bermutu tinggi.
“Biasanya, mereka akan memujuk pelanggan supaya membeli karpet dan boleh membuat bayaran secara ansuran serendah RM20 setiap bulan.
“Kes ini kebanyakannya dikesan di luar bandar membabitkan pembeli yang tidak mampu membeli secara tunai. Apabila mereka gagal melunaskan hutang, Mat Karpet memberi pilihan supaya dikahwinkan dengan anak gadis mereka dan semua hutang termasuk bunga yang tinggi dikira selesai,” katanya.
Sumber : MyMetro
Pandangan FARISZ@AZ.Com :
1. Jika dulu ibulah paling setia menjaga maruah anak namun kini bukan semua ibu setia menjaga maruah anak,malah pepatah "haruan makan anak juga" yang sering diperkatakan kepada bapa yang merosakkan ana kini ia juga layak diperkatakan kepada ibu yang menjual anak demi harta.
2. Agak pelik situasi ini,seorang ibu berhutang karpet sehingga mencecah RM3000.Jika tidak mampu membayar hutang sebaiknya dipulangkan semula karpet.
4. Mengapa ibu berhutang tetapi anak menjadi mangsa?Sepatutnya ibu yang berhutang secara tidak bertanggungjawab maka biarlah ibu tersebut yang menikahi "mat karpet" untuk ia merasai kesan sifat tidak bertanggungjawab tersebut.
5. Sebenarnya Islam tidak menggalakkan hutang kerana berbagai masalah akan berlaku akibat hutang.Dan jika keadaan memaksa untuk berhutang maka berhutanglah untuk sesuatu yang perlu dan berpada-pada pada pembelanjaan.
Hadith daripada Uqbah bin 'Amir yang bermaksud : “Janganlah kalian membuat takut jiwa selepas ketenangannya.” Mereka berkata : “Apa itu wahai Rasulullah?” Baginda bersabda : “Hutang.” Oleh itu Rasulullah mengajarkan kita sepotong doa yang bermaksud : “Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada kegundahan dan kesedihan, daripada kelemahan dan kemalasan, daripada sifat pengecut dan bakhil, daripada kesempitan hutang dan penindasan orang.”
Wallahua'lam.
3 ulasan:
sampai macam tu sekali ,.
Bagi y, tak perlu nak beli karpet2 tu. Sebabnya ianya bukanlah satu keperluan bg saya la..hehe
Cuma,kalu teringin sangat tu,beli satu sudey.Jangan melebih2.sanggup pulak maknya jual anak sampi gitu..hmm na'uzubillahiminzalik.
erm..mcm2 dunia skung..huhu
Post a Comment