.
Promosi
.

Satu Penceraian Setiap 15 Minit


Bismillahirrahmaanirrahiim.

PUTRAJAYA 3 Mac – Purata pasangan Islam yang bercerai di negara ini mencatatkan rekod mengejutkan iaitu satu pasangan setiap 15 minit.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, angka itu diperoleh berdasarkan rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2009.

Menurut beliau, statistik perceraian itu terus menunjukkan peningkatan saban tahun dan ia mencetuskan kebimbangan mengenai keharmonian rumah tangga terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Beliau berkata, kebanyakan kes perceraian berlaku disebabkan pasangan suami isteri tidak begitu menghayati kehendak ajaran agama dalam melayari kehidupan rumah tangga termasuk menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin.

‘‘Masalah ini mungkin disebabkan peredaran masa yang memaksa mana-mana pasangan mengambil jalan mudah menamatkan ikatan perkahwinan mereka.

‘‘Oleh itu, Jakim akan meningkatkan usaha menyedarkan masyarakat mengenai kebaikan memelihara kerukunan rumah tangga dan mengelakkan penceraian,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan seminar sempena sambutan Maulidur Rasul yang bertajuk Rasulullah Ikon Keluarga Bahagia.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Othman Mustapha.

Seminar tersebut dihadiri 1,500 kakitangan kerajaan dengan menampilkan dua ahli panel terkemuka iaitu pakar motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan Datuk Dr. Fatma Zahrah Mohd. Ramadan.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, Jakim melaksanakan pelbagai program untuk memantapkan institusi kekeluargaan selain membina keluarga bahagia.

Katanya, program tersebut bertujuan menimbulkan kesedaran kepada setiap pasangan yang berkahwin selain menerangkan peranan sebenar sebagai suami, isteri, ibu dan bapa.

Beliau menasihatkan pasangan yang bakal berkahwin supaya bersedia menghadapi tekanan seperti proses penyesuaian tingkah laku dan tabiat suami isteri.

Dalam pada itu, katanya, mereka juga harus bersedia menanggung beban tugas dengan penambahan anak, beban membayar hutang, membeli kenderaan dan menguruskan perbelanjaan persekolahan anak-anak.

Sementara itu, katanya, perceraian memberi kesan buruk kepada anak-anak hingga banyak gejala sosial berpunca daripada keluarga yang kucar-kacir.

Sumber : Utusan Malaysia, 4 Mac 2011.

Pandangan FARISZ@AZ.Com :

1. Penceraian berlaku bukanlah semata-mata berfaktorkan perkahwinan pada usia muda kerana penceraian juga banyak berlaku pada pasangan yang sudah bernikah 10 tahun ke atas.

2. Penceraian berlaku adalah berpunca dari awal sebelum pernikahan dilakukan.Pasangan perlu faham atas dasar apa mereka bernikah dan memahami serta merancangan supaya pernikahan tersebut kekal.Kecuaian memahami atas dasar apa pernikahan dilakukan adalah punca utama pasangan suami isteri bercerai.

3. Saya bukanlah hendak menghukum atau pun "memukul sama rata" namun hakikat yang berlaku sekarang kebanyakan pasangan bernikah tidak faham atas dasar apa pernikahan mereka dilangsungkan malah kebanyakkannya bernikah atas dasar "nafsu" kerana bernikah atas dasar "perasaan cinta" walaupun hakikatnya mereka tidak faham atas dasar apa mereka saling mencintai. Jika seorang isteri atau suami bertanyakan "awak sayang saya sebab apa?" , kebanyakkan jawapan atas soalan tersebut adalah jawapan yang tiada kepastian sama ada benar atau tidak sebab suami atau isteri yang menjawab soalan tersebut sendiri ragu-ragu atas jawapan yang diberikan. Malah terlalu sedikit akan menjawab "Saya sayang awak kerana Allah". Jika anda tidak bersetuju sila anda tanya suami atau isteri anda dan lihat jawapan tersebut,mungkin anda juga mungkin ragu-ragu atas jawapan suami atau isteri anda tersebut.

4. Tidak ramai pasangan mahu pun dari pihak suami atau pun isteri benar-benar menjaga hubungan suami isteri melalui cara "dalaman" atau pun dengan bahasa mudahnya kerohanian kerana sikap kebanyakkan masyarakat sekarang terlalu sibuk dengan rutin harian sehingga suami tidak mempunyai masa mendidik dan mengajar isteri berkaitan fardhu ain mahu pun perkara fardhu kifayah serta jauh sama sekali suami menjadi imam kepada isterinya dan isteri menjadi makmum kepada suaminya.

5. Mungkin khusus pernikahan perlu di laksanakan secara lebih realistik untuk membuatkan bakal penganti memahami tanggugjawab dan atas dasar apa pernikahan dilaksanakan. 

Wallahua'lam.
 

1 ulasan:

Raden said...

takot nk kawen la camni

Design by FARISZ@AZ.Com