.
Promosi
.

LIBYA : Ulama' Seru Hentikan Pembunuhan

TRIPOLI 20 Feb. - Para Ulama dan ketua kabilah Libya menggesa pasukan keselamatan negara ini menghentikan pembunuhan orang awam dalam kekacauan yang tercetus ekoran protes yang semakin meningkat mencabar kuasa pemimpin veteran, Muammar Gaddafi dengan angka korban dilapor mencecah 200 orang.

Pasukan keselamatan Libya menembak mati berpuluh-puluh penunjuk perasaan antikerajaan di bandar raya Benghazi, timur negara ini dalam keganasan terbaru malam tadi, lapor stesen televisyen Al-Jazeera.

Pertumpahan darah itu mendorong kira-kira 50 ulama dan ketua kabilah mengeluarkan rayuan kepada pasukan keselamatan, selaku orang Islam, supaya menghentikan pembunuhan.

"Rayuan penting ini datang daripada para ulama, golongan cendekiawan dan ketua-ketua kabilah dari Tripoli, Bani Walid, Zintan, Jadu, Msalata, Misrata, Zawiah serta pekan dan bandar lain di kawasan barat.

"Kami merayu kepada setiap Muslim, yang menganggotai rejim atau membantunya dengan apa cara, supaya menyedari bahawa pembunuhan orang awam diharamkan oleh Pencipta kita dan oleh Nabi-Nya yang dikasihi...Jangan bunuh saudara seagama kamu. HENTIKAN pembunuhan beramai-ramai SEKARANG!", menurut rayuan itu.

Pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch mengesahkan 104 orang terbunuh dalam tempoh tiga hari lalu apabila pasukan keselamatan menggunakan kekerasan untuk menghentikan protes yang meniru pemberontakan rakyat di Mesir dan Tunisia.

Akhbar Britain, Independent hari ini melaporkan, angka kematian di Benghazi, bandar raya kedua terbesar di Libya, mungkin setinggi 200 orang.

"Berpuluh-puluh orang terbunuh. Kami sedang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai di sini (Libya)," kata seorang saksi.

Benghazi dan kawasan sekitarnya menjadi fokus kekacauan tetapi laman rangkaian sembang sosial turut melaporkan berlaku pertempuran kecil di ibu negara, Tripoli dan bunyi tembakan di bandar Nalut, ke barat, malam tadi.

Al-Jazeera hari ini melaporkan sebilangan anggota pasukan keselamatan yang ditangkap oleh penunjuk perasaan dipercayai warga asing yang diupah oleh pihak berkuasa.

Stesen itu sebelum itu berkata, sekurang-kurangnya 15 orang maut apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penduduk yang menghadiri pengebumian seorang penunjuk perasaan. - Reuters

1 ulasan:

Woofer Storm said...

apa dah ajdi dgn dunia skg ni..bunuh menbunuh dah macam sarapan pagi..ermmm

Design by FARISZ@AZ.Com