.
Promosi
.

Poco-Poco : Pendapat Ustaz Asri Zainal Abidin dan Ustaz Harussani Tidak Saling Bercanggah


Bismillahirrahmaanirrahiim,

Baru-baru telah timbul isu tarian poco-poco di mana Ustaz Harussani telah menyatakan ia haram dan Ustaz Asri Zainal Abidin pula telah menyatakan ia harus.Namun bagaimanapun saya ingin mengemukan hujah bagi kedua-dua pihak tersebut terlebih dahulu untuk para pembaca membaca dan memahami padangan ke dua-dua pihak tersebut.

Pendapat dari Ustaz Asri :

S.S Mufti Perak, Ybg Tan Sri Harussani telah mengharamkan tarian poco-poco atas asas ia berasal dari agama lain yang berunsur pemujaan ruh dan bercirikan agama Kristian. Pihak beliau mungkin ada alasan yang tersendiri. Namun, dengan menghormati hak Negeri Perak, S.S Mufti Perak dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, izinkan saya ingin memberikan pandangan mengenai hal ini. Ini kerana bimbang prinsip asas Islam disalahfahami oleh sesetengah pihak yang lain. Berikut perkara yang perlu difahami oleh kita;

i. Pada asasnya, semua urusan harian (daily life) dalam kehidupan manusia yang membabitkan persoalan keperluan atau kepentingan hidup insan adalah harus dilakukan KECUALI jika terdapat dalil yang jelas mengharamkan hal tersebut. Maka, segala bentuk senaman, tarian, makanan, perhiasan dan seumpamanya adalah harus atau dibolehkan melainkan ada bukti yang jelas dari nas syarak ia diharamkan, atau dimakruhkan.

Justeru itu, Nabi s.a.w tidak mengharamkan banyak budaya Arab yang memberikan faedah kepada insan secara langsung atau tidak langsung, antaranya; nyanyian dan gendang semasa perkahwinan. Dalam hadis al-Bukhari:
Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka Nabi bersabda: “Wahai ‘Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan”. Hadis menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan hiburan yang menjadi amalan dalam sesuatu masyarakat.

najib-poco2.jpg
- Gambar Hiasan

ii. Cumanya, jika ada unsur yang tidak baik, baginda Nabi s.a.w menegur atau menapisnya. Sebab itu apabila baginda Nabi s.a.w mendengar wanita menyanyi dengan lirik
“Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok”. Baginda bersabda: “Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu” (Riwayat al-Bukhari).
Ungkapan dalam lirik tersebut yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w mengetahui apa yang akan berlaku esok adalah salah. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Maka, Nabi s.a.w membetulkan lirik itu, tetapi tidaklah pula mengharamkan nyanyian atau lirik lain yang tidak bercanggah dengan akidah atau hakikat yang sebenar.

iii. Muslim hendaklah tahu tentang keluasan Islam dalam hal ini. Nabi s.a.w apabila mengizinkan hiburan pertunjukan permainan pedang dan lembing dalam masjid pada hariraya, baginda menegaskan:
Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).
Maka, fatwa dalam hal tarian, senaman, permainan dan seumpamanya, hendaklah luas, tidak sempit dan berusaha melihat ruang keizinan yang diberikan oleh Islam. Apatah lagi kita yang hidup dalam masyarakat yang serba rencam dan pelbagai cabaran ini.

iv. Atas asas ini, -pada pandangan saya- tarian poco-poco adalah harus, melainkan jika seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah. Jika setakat tarian kesihatan atau biasa tanpa sebarang kepercayaan yang salah, atau dicampuri perbuatan yang salah seperti arak, seks bebas dan seumpamanya, maka ia dibolehkan dari segi syarak dan tidak wajar diharamkan. Jika ada unsur yang salah, hendaklah dibuat seperti Nabi s.a.w iaitu membuang unsur yang buruk dan meninggalkan unsur yang baik.

v. Jika tarian poco-poco diharamkan atas asas asal-usulnya yang tidak islamik, sekalipun yang mengamalkan tidak meniru atau beriktikad perkara yang salah, maka nanti akan membawa kesan diharamkan aktiviti lain yang mempunyai latar yang tidak Islamik juga seperti tai-chi, chi-kung, kata tae-kwondo dan pelbagai lagi.

vi. Untuk itu, dengan menghormati S.S Mufti Perak dan Jawatankuasa Fatwa Perak, saya ingin menyatakan pandangan yang berbeza iaitu poco-poco yang tidak diamalkan dengan kepercayaan yang salah adalah diharuskan. Adapun, jika dilakukan dengan kepercayaan yang salah, atau diiringi perbuatan yang haram seperti arak dan seks bebas, maka kepercayaan dan amalan yang salah itu wajib dibuang, tarian yang memberikan kebaikan kepada kesihatan itu diizinkan.

Sumber : Dr Maza


Pendapat Ustaz Harussani :



Ustaz Harussani menfatwakan HARAM dengan sebab ia mencirikan agama kristian dan di samping percampuran bebas.


Ulasan saya :

Sebenarnya pandangan kedua-dua pihak tersebut tidaklah saling bercanggah tetapi perbezaan pandangan ini dilihat kerana sudut pandangan kedua-dua belah pihak adalah sudut berbeza dan saya yakin jika Ustaz Harussani melihat pada sudut padangan Ustaz Asri dalam permasalahan ini maka Ustaz Harussani juga akan berpandangan begitu dan jika Ustaz Asri melihat pada sudut pandangan Ustaz Harussani dalam permasalahan ini maka Ustaz Asri juga akan berpandangan begitu juga.

Saya katakan begitu kerana sudut pandangan dalam permasalahan ini adalah luas dan jika diambil pandangan dari kedua-dua pihak maka kita akan bertemu dengan berbagai sudut dalam permasalahan ini.Pandangan Ustaz Harussani adalah pandangannya jika poco-poco dilakukan secara asas dan asal poco-poco bersandarkan kajiannya dan pandangan Ustaz Asri adalah pandanganya jika poco-poco dilakukan dengan menapis segala unsur yang bercanggah dengan syara'.

Permasalahan ini juga seperti seni mempertahankan diri yang di namakan Silat.Jika silat diamalkan dengan pengambilan jin sebagai pendinding dan pencampuran bebas antara lelaki dan wanita serta tidak menutup aurat maka ia jatuh kepada hukum haram tetapi apabila telah ditapis dengan tidak mengamalkan perkara yang bercanggah dengan syara' maka silat jatuh kepada hukum harus malah tiada masalah diamalkan setelah segala perkara yang bercanggah dengan syara' ditapis.

Rumusan

Jika poco-poco di amalkan seperti yang diperkatakan oleh Ustaz Harussani seperti mempunyai kaitan dengan Kristian,pencampuran bebas antara lelaki dan wanita dan tidak menutup aurat serta jika gerak lakunya merangsang hawa nafsu pelihat maka jatuhlah hukumnya haram dan jika poco-poco di amalkan seperti yang diperkatakan oleh Ustaz Asri dengan mengamalkan tetapi menapis perkara yang tidak bercanggah dengan syara' maka ia diharuskan.

Pandangan dan rumusan ini sekadar pandangan yang mencari titik sama pandangan antara Ustaz Asri dan Ustaz Harussani dan menerangkan titik persamaan pandangan kedua-dua belah pihak dan menerangkan mengapa perbezaan pendapat kedua-dua belah pihak bersandarkan "kaca mata" saya.Berharap Majlis Fatwa Kebangsaan menyelesaikan perkara ini dengan sebaiknya dan bukan saja membincangkan perkara kecil tetapi turut membincangkan perkara yang lebih besar untuk kepentingan ummah.

Wallahua'lam.

7 ulasan:

Mencari Redha Illahi said...

dah name pon tarian.
mesti lah haram
banyak lagi benda berfaedah laen boleh dibuat
"jika seseorang meninggalkan sesuatu yang syak, maka sesungguhnya dia telah memelihara agamanya"
daripada dok bertekak haram ke halal
baek tinggal je
xpayah buat
banyak lagi acara senaman laen
yang boleh mengeratkan silaturahim dan mencergaskan badan

cikpuanyuz said...

jarang nak tengok orang buat poco2 tanpa bercampur dengan bukan muhrim..so,bile bercampur dengan bukan muhrim dah jatuh haram...sedangkan suara pun adalah aurat,inikan pulak lenggang lenggok badan seseorang bile orang bukan muhrim yg tengok..

farhana sahri said...

so?..hehe..lau chicken dance cne lak?..hehe

Ain Shdn said...

kbanyakannya smua bcampur dah kat dunia ni..

btw :0 nice info.. thanks..

~nsar~ said...

pada pandangan sy plak kan.. dato' harunsani mengeluarkan fatwa ini adlah untuk menyedarkan semua umat islam di malaysia...
bukan tarian poco-poco yang menjadi keutamaan sebenarnya...

tapi apa sja yang berkaitan dengan tarian dan nyanyian yang melibatkan percampuran bukan muhrim - contohnya konsert2...

jadi bila dato' harunsani keluarkan fatwa cm gi ni.. orang akan berpk.. yang mahu brpk la.. 'oh poco-poco haram, yang lain tu telah la..'..

tapi yang belum bukak mata tu yang terus membangkang tanpa sebab tu.. tak pk la.. tak terpk lagi kot..

boleh juga dato' harunsani nak ishtihar haram pada semua konsert2.. tapi kot nanti jadi macam dato' Ishak baharom.. jadi... beliau mulakan yang kecik kecik dulu la..

yusman said...

kisahnya, klu saya tengok perempuan menari poco2 saya akan tengok punggungnya bergerak2. Harus ke hukumnya. Sbb saudara PASTI akan ditarik ke situ juga. Badan2 wanita2 itu menarik bila digerak2 kan, ia adalah aurat. Samalah dengan aerobik taman pagi sabtu. Kecualilah dibuat mengikut jantina dan asing2. yusmanbadar@gmail.com

Ismi Azraf said...

@yusman.

Jika diperhatikan sebenarnya saya meletakkan 2 hukum ke atas poco-poco dan jenis tarian lain iaitu HARUS dan HARAM. jika ditempat yusman tarian poco-poco tidak melibatkan akidah tetapi pelaksanaannya percampuran antara lelaki dan wanita atau wanita berjoget dikawasan umum maka ia menjadi HARAM tetapi jika di kawasan saya ia tidak melibatkan akidah dan ia dilakukan dengan mengasingkan antara lelaki dan wanita malah wanita melakukannya di dewan secara tertutup maka ia menjadi HARUS.

terima kasih atas pertanyaan dan pandangan yusman.

Design by FARISZ@AZ.Com