.
Promosi
.

Dr. Lo Lo telah kembali ke rahmatullah.

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Telah kembali ke rahmatullah YB Dr Lo'lo' Bt Mohd Ghazali pada jam 10.13 p.m (Waktu Malaysia). Solat jenazah di dijangkakan di Masjid al-Akram, Dato Keramat ( hampir dgn rumah Al-Marhumah) esok sekitar jam 9 a.m .

Laporan Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 17 Julai: Ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (gambar) menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang kira-kira jam 10.15 malam ini.

Jenazah beliau kini sedang diusahakan untuk dibawa ke Masjid Al-Akram, Dato Keramat.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof ketika dihubungi Harakahdaily.

Maklumat berkenaan kematian itu juga turut dimuatkan pada laman Facebook dan Twitter Allahyarhamah atas nama keluarga.

Beliau sebelum ini menerima rawatan akibat kanser.

Dalam respons awal, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Allahyarhamuha seorang yang istiqamah berjuang untuk Islam sehingga akhir hayat.

"Saya dimaklumkan oleh keluarga terdekat almarhumah Dr Lo' Lo', MP PAS Titiwangsa tentang pemergian beliau sebentar tadi.

"Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Beliau seorang yang istiqomah berjuang untuk Islam hingga ke saat akhir hayatnya," tulisnya di Facebook.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan pula menyifatkan Allahyarhamah seorang tokoh pejuang Islam yang tabah.

"PAS dan rakyat sebentar tadi kehilangan tokoh pejuang Islam yg tabah apabila sbentar td Dr Lo' Lo' telah kembali ke rahmatillah.. Al Faatiihah." tulisnya di Twitter.

Menurut anak allahyarhamuha, Muhd Fawwaz, jenazah akan diuruskan di Masjid al-Akram, Datuk Keramat pagi esok.

"Insya allah, akan dikebumikan pada waktu pagi di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat," tulisnya melalui sistem mesej singkat (SMS) kepada Harakahdaily.




Laporan The Malaysian Insider


KUALA LUMPUR, 17 Julai — Ahli Parlimen Titiwangsa dari PAS Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali yang menerima rawatan kerana kanser di Hospital Selayang meninggal dunia malam ini.

Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Ya, saya pun baru dimaklumkan mengenai berita ini. Tapi saya belum ada butiran lanjut,” kata seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi.

Wakil rakyat penggal pertama itu (gambar) meninggal dunia kira-kira 10.13 malam tadi, kata seorang anggota keluarga menerusi mesej SMS.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan esok, kata anggota keluarga itu.

“Jenazah akan diuruskan pagi esok, akan dibawa ke Masjid Al-Akram, Datuk Keramat,” katanya.

Maklumat daripada ibu pejabat PAS menyebut jenazah akan diuruskan sekitar 8 pagi esok.

Sejak tengah hari tadi, khabar angin mengatakan Dr Lo’ Lo’ yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat telah meninggal dunia disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas SMS dan laman sosial Facebook dan Twitter.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh pemimpin-pemimpin kanan parti yang secara kebetulan mengadakan mesyuarat di Ampang pagi tadi.

Dr Lo’ Lo’, 53, dirawat di Hospital Selayang akibat kanser.

Pada pilihan raya umum 2008, Dr Lo’ Lo’ menewaskan calon BN Datuk Aziz Jamaludin Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Allahyarham Dr Lo’ Lo’ merupakan wakil rakyat kelima dari PAS meninggal dunia selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Sebelum ini PAS kehilangan Ahli Parlimen Bukit Gantang dan disusuli Adun Permatang Pasir, Manek Urai dan Galas.

Kekosongan kali ini tidak akan membawa kepada pilihan raya kecil.


Wallahua'lam.

0 ulasan:

Design by FARISZ@AZ.Com